Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Didik anak tentang kesopanan, batas sentuhan walau masih kecil

Adalah jadi kewajipan ibu bapa juga untuk hormati anak dan hak mereka
Jan 9, 2025 | 5:00 AM
Penulis, Ustazah Siti Syariati Sulaiman.
Penulis, Ustazah Siti Syariati Sulaiman. - Foto ihsan SITI SYARIATI SULAIMAN

Anak-anak adalah anugerah dan amanah yang diberikan oleh Allah swt kepada ibu bapa mereka.

“Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mengurniakan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” (As Shuraa 42:49).

Perkataan yang digunakan di sini menggambarkan anak perempuan dan anak lelaki sebagai hadiah dan mereka dipilih untuk kita oleh pencipta kita.

Peranan pengasuhan dalam sesebuah keluarga dikongsi oleh kededua ibu bapa dan sering kali turut dilaksanakan oleh beberapa orang dewasa lain dalam keluarga termasuk pembantu rumah.

Adalah menjadi kewajipan ibu bapa untuk menghormati anak-anak dan memberikan hak mereka.

Antara hak mereka ialah:

• Kehidupan: asuhan yang baik

• Pendidikan: agama dan akademik

• Harta pusaka

• Hormat

• Bebas daripada bahaya: Kanak-kanak mempunyai hak untuk dilindungi daripada penganiayaan, eksploitasi dan pengabaian.

Menetapkan batasan antara ibu bapa, adik-beradik dan penjaga lain adalah penting untuk memastikan ruang yang sesuai dan sihat diwujudkan bagi kanak-kanak membesar dengan selamat dan dilindungi daripada bahaya dan penganiayaan.

Secara amnya, garis panduan dalam batasan fizikal telah ditetapkan dengan jelas untuk mendidik kanak-kanak agar sedar tentang privasi dan ruang peribadi.

Ini selaras dengan konsep kesopanan dalam Islam.

Salah satu batasan yang ditetapkan oleh Islam adalah aurat.

Tujuan menutup aurat adalah untuk memelihara kesopanan, tidak menunjukkan bahagian yang sepatutnya tertutup dan melindungi seseorang itu daripada bahaya.

Aurat antara ibu bapa dengan anak-anak perlu dijaga selepas anak-anak mencapai umur matang atau baligh.

Aurat antara ibu bapa di hadapan anak-anaknya adalah antara pusat dengan lutut.

Ibu bapa juga wajib menutup bahagian tubuh yang boleh menaikkan syahwat dan menyebabkan fitnah walaupun bukan kategori aurat.

Sebelum mencapai usia baligh, iaitu semasa bayi dan kanak-kanak, ibu bapalah yang memandikan, menukarkan pakaian dan menjaga anak-anak secara fizikal.

Adalah penting pada masa ini untuk melindungi privasi kanak-kanak dengan tidak mendedahkan mereka ketika mereka berada dalam keadaan tidak berpakaian.

Apabila mereka sudah dapat memahami perbualan, ibu bapa atau penjaga boleh mula mendidik mereka tentang konsep kesopanan, aurat dan apakah sentuhan yang sesuai dan tidak sesuai.

Ibu bapa juga boleh menunjukkan contoh yang baik dengan tidak membuka pakaian di hadapan anak-anak serta menetapkan batasan antara adik-beradik.

Mengenai pengaturan tidur antara adik-beradik, kita diajar untuk mengasingkan katil atau ruang tidur mereka.

Jika mereka berlainan jantina, sebaik-baiknya asingkan juga bilik tidur mereka.

Sabda Baginda saw dalam satu hadis yang bermaksud, “… apabila mereka berumur 10 tahun; dan susun katil mereka (untuk tidur) secara berasingan. (Sunan Abu Dawaud, Bab: Bila Seorang Anak Lelaki Harus Diperintahkan Untuk Solat Hadis No. 105).

Ini boleh diamalkan secara beransur-ansur supaya apabila mereka berumur lebih kurang 10 tahun dan sudah mempunyai pemahaman, mereka boleh menerima aturan itu dengan selesa.

Jika seorang kanak-kanak berkongsi bilik dengan adik-beradiknya yang sejantina, mereka perlu diingatkan agar meminta izin sebelum masuk ke bilik dan menutup aurat sesama mereka.

Semua ini menyumbang kepada pemahaman kanak-kanak bahawa batasan itu adalah untuk keselamatan dan rasa nilai yang tinggi pada diri mereka sendiri.

Mereka akan lebih sedar dan dapat menahan diri, serta berhati-hati apabila seseorang kelihatan seperti melanggar batasan.

Mereka akan tahu bila untuk bersuara kepada orang dewasa yang mereka percayai sekiranya mereka memerlukan bantuan atau berasa tidak selamat dengan orang lain.

Ustazah Siti Syariati Sulaiman memiliki kelulusan dalam Pengajian Bahasa Arab dan Pengajian Islam dari Mujamma’ Sheikh Ahmad Kaftaro di Damsyik, Syria, serta Ijazah Kepujian dalam bidang Ilmu dan Warisan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau bertugas sebagai pensyarah bebas, mendidik dan menyokong masyarakat melalui komitmennya terhadap pendidikan Islam menyeluruh, dan peranan aktifnya dalam membimbing masyarakat melalui kelas di institusi swasta, masjid, serta wadah dalam talian di peringkat antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg