SELAMA 43 tahun bergelar anak seni, pelakon veteran Indonesia Lydia Kandou sentiasa mengingati kemanisan menimba ilmu dan bertukar-tukar fikiran dengan pelakon mapan seperti Yenny Rachman, Rudy Salam, Roy Marten, Robby Sugara dan Rano Karno.
Pada setiap kesempatan, beliau membawa empat anaknya ke set penggambaran agar mereka tidak terpisah lama darinya.
Ia juga peluang buat Lydia, kini 59 tahun, mendedahkan mereka kepada kerjaya seni yang sangat dicintainya hingga mencetus minat beberapa daripada mereka mendalami dunia lakonan.
Yang aktif berlakon, dan dikatakan mirip wajahnya, ialah puteri keduanya, Naysilla Mirdad, 34 tahun, yang buat julung-julung kalinya menjayakan filem misteri-seram Inang bersamanya.
Filem itu, ujar Lydia, merapatkan lagi hubungan mereka dalam konteks kerja seni mereka. Sebelum ini, mereka beberapa kali digandingkan dalam sinetron.
Dalam Inang, Naysilla adalah Wulan, seorang pekerja pasar raya hamil luar nikah dan mencari keluarga angkat di Facebook bagi bayinya yang bakal lahir.
Seorang wanita, Eva (lakonan Lydia), sudi memelihara bayi itu, tetapi ada agenda hendak menyelamatkan anak bujangnya Bergas (Dimas Anggara) yang lahir pada Rabu terakhir bulan Safar.
Mengikut mitos yang masih dipegang sebahagian masyarakat Jawa di Indonesia, anak lahir pada Rabu terakhir Safar, yang dipanggil Rebo Wekasan, membawa sial buat diri dan keluarganya
Anak itu dipercayai akan dilanda penyakit misteri kronik hingga nyawanya boleh diragut bila-bila masa.
Justeru, ada ritual membabitkan proses mengorbankan nyawa ibu dan anak itu setiap 10 tahun yang perlu dijalankan oleh Eva dan suaminya Agus Santoso (Rukman Rosadi) demi memastikan kesejahteraan hidup Bergas.
Ketika dihubungi Berita Minggu melalui satu panggilan jauh, Lydia, yang berkacukan Manado dan Belanda, berkata:
"Pernah suatu ketika saya berhenti sebentar daripada dunia lakonan. Tapi kerinduan pada bidang lakonan dan sahabat-sahabat seni saya membawa saya kembali meneruskan kerja seni saya. Ia sudah mendarah daging.
"Anak-anak pula sudah biasa makan malam dengan saya atau bikin tugasan sekolah di set penggambaran. Itulah masa emas saya buat mereka. Walau sibuk bekerja, mereka tetap amanah saya. Mereka tahu ibu mereka sibuk tetapi masih peka tentang mereka. Kami tak mampu berjauhan lama. Kasihan dengan anak.
"Kerana melihat saya gigih mencari rezeki, secara tidak langsung, anak-anak meraih inspirasi. Saya tidak pernah menetapkan mereka harus juga jadi anak seni.
"Minat mereka datang sendiri hasil mencuba sendiri berlakon tetapi untuk meneruskannya terpulang pada keperluan masing-masing. Yang lebih aktif dan tinggal bersama saya ialah Naysilla.
"Kakaknya Nana (Hanna Natasya Maria Mirdad) juga pernah berlakon. Adik lelaki mereka Kenang Kanna juga pernah berlakon sinetron."
Tentang Inang, Lydia berkata filem itu mempunyai cabaran tersendiri, bukan setakat filem seram yang membuat ramai berdiri bulu roma.
"Watak saya selaku Eva merupakan seorang psikopat yang pada luarannya nampak mencintai dan menyayangi Wulan seperti anak sendiri. Tapi sebenarnya, dia ada niat jahat untuk kepentingan sendiri, iaitu mengorbankan Wulan demi kepercayaan ritual itu dapat menyelamatkan Bergas," cerita Lydia.
Beliau menambah: "Tapi saya pasti Inang ini mengetengahkan isu yang menarik kerana tidak semua orang tahu tentang ritual dan mitos Rebo Wekasan itu. Ia masih lagi diamalkan di sesetengah kawasan Jakarta ini.
"Saya pernah menjayakan filem seram sebelum ini untuk saluran HBO tetapi tidak sama seperti Inang di mana permainan emosi saya lebih ketara... bagaimana menyembunyikan niat sebenar sehingga penonton tak jangka Eva itu simpan muslihat.
"Watak seram sebelum ini lebih pada suasana ilmu hitam diamalkan dan watak saya kerasukan," jelasnya.
Ditanya apakah nasihat beliau buat anak-anaknya, hasil perkongsian hidup dengan bekas suami, penyanyi dan pelakon Jamal Mirdad, Lydia berkata:
"Saya selalu menasihati mereka tentang kepentingan memberikan komitmen dan disiplin bagi setiap tugasan di set. Jadilah pelakon yang akan menceriakan suasana set penggambaran dan selalu bergaul dengan pelakon lain kerana ini usaha sama.
"Mereka tak mampu buat hal sendiri. Harus ramah dengan semua orang. Dalam penggambaran, pastikan suasananya nyaman dan tiada yang tidak enak atau jangan sampai timbul mood tidak baik."
Lydia menceburi dunia seni selepas menjadi peragawati pada usia 16 tahun dan dilamar pengarah Imam Tantowi. Filem pertamanya pada 1979 ialah Wanita Segala Zaman.
Dalam lima tahun, nama Lydia meningkat dan beliau menjayakan lebih 20 filem, seperti Anak-Anak Buangan, Seindah Rembulan, Bunga-Bunga SMA dan Perawan Rimba.
"Setiap filem ada impak tersendiri. Setiap watak yang diberi saya hargai sebab saya berpeluang mainkan peranan yang berbeza. Apa lagi kalau sesuatu watak atau kisah itu menggambarkan cerita hidup seseorang yang menonton dan berasakan kita berjaya menghidupkan watak tersebut," katanya.
Awal-awal berlakon, Lydia berasa malu, takut dan tertekan sebab beliau seorang yang tidak suka diberi lebih perhatian, lantas canggung apabila terus diperhatikan di set penggambaran.
"Bagaimanapun, masa mengubah segalanya dan saya bersyukur dapat lalui fasa demi fasa dunia perfileman,"ujarnya.
Tak pernah hamil disuruh hamil, dihantui mitos
MENGGIGIL seluruh badan jika pengalaman ngeri berlaku di set penggambaran filem seram misteri Indonesia Inang. Mujur ia tidak berlaku dan penggambaran filem yang kini ditayang pawagam Cathay (Singapura) itu berjalan lancar.
Dalam satu wawancara panggilan jauh Berita Minggu, pelakon utama Inang, Naysilla Mirdad, 34 tahun, menceritakan tentang pengalamannya menjayakan filem itu bersama pelakon mapan, ibunya Lydia Kandou.
Soalan (S): Apakah perasaan anda dilamar bagi filem 'Inang' selaku Wulan.
Naysilla (N): Yang pertama sekali, saya takut kalau ada perkara menakutkan berlaku di set. Kebanyakan masa, kita dengar tentang kejadian aneh berlaku di set filem seram atau 'thriller'.
Mujurlah, tiada apa-apa berlaku sebab kesemua pelakon Inang penakut sebenarnya! Segalanya berjalan lancar dari proses membaca skrip hinggalah melakonkan watak Wulan ini.
S: Bagaimana Wulan berbeza daripada watak lain anda sebelum ini?
N: Wulan gadis biasa sahaja, seorang pekerja pasar raya yang berdikari menyelesaikan masalahnya tanpa bantuan.
Hidupnya susah sehingga hamil di luar nikah. Saya tidak pernah hamil atau melahirkan. Jadi saya perlu membayangkan bagaimana kesukaran seorang wanita hamil yang tertekan dengan bermacam perkara, termasuk bertemu dengan keluarga Eva yang sebenarnya menyimpan rahsia besar yang mengancam nyawa Wulan.
Saya tidak tahu bagaimana seorang wanita itu melalui kesakitan melahirkan. Maka dari segi pergerakan dan mimik muka serta perjalanan nafasnya, perjalanan hi-dup sehariannya... semua saya perlu belajar hidupkan dalam lakonan saya.
Sutradara filem ini, Fajar Nugros, pula suka mengubah atau menambah baik dialog. Mana yang tidak sesuai, kami berbincang spontan untuk menukarnya.
S: Apakah anda tahu tentang kepercayaan 'Rebo Wekasan' dalam 'Inang', iaitu orang yang lahir pada Rabu terakhir Safar dianggap membawa sial?
N: Walaupun saya orang Jawa, ini baru kali pertama saya ketahui tentang mitos atau kepercayaan sebegini. Saya terkejut amalan ini masih diteruskan di sesetengah kawasan di Indonesia ini.
Pastinya Inang membuka pendedahan pada mitos dan ritual yang tidak pernah diketahui sebelum ini.
S: Apakah berlakon pilihan atau cita-cita anda sejak kecil?
N: Tidak, impian saya adalah untuk menjadi cef sebab saya suka buat kek di dapur dan memasak.
Sejujurnya, apabila dahulu saya lihat mama saya berlakon, saya dapat bayangkan betapa penat bekerja selaku pelakon dari pagi sampai tengah malam. Saya tidak suka.
Bagaimanapun, kebetulan ada rezeki. Saya ikut kakak saya, Kak Nana, pergi sesi uji bakat dan ditanya sama ada saya ingin berlakon sama dalam watak kakak dan adik bersama kakak saya.
Saya berbincang dengan papa dan mama saya. Mereka izinkan. Pada 2004, itulah detik saya mula berlakon dalam sinetron Liontin bersama Kak Nana. Sejak itu, saya jatuh hati dengan dunia lakonan, tetapi berbanding Kak Nana yang boleh menyanyi seperti papa, saya cuma penyanyi kamar mandi!
S: Apa nasihat papa dan mama?
N: Mereka pesan agar saya menjaga nama baik mereka, tidak mencemarinya dengan perbuatan yang tidak baik.
Mereka tekankan soal disiplin dan kesediaan menimba ilmu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg