LAUTAN yang bergelora, kapal yang terumbang-ambing dek pukulan badai dan arus serta kepala yang pening gara-gara mabuk laut.
Semua ini pernah dialami deejay (DJ) dan pencinta muzik dansa elektronik (EDM), Muhammad Zulhakim Muhammad Himli atau nama pentasnya Habashi (bagi menjunjung nama keluarga sebelah nenek, Alhabshee), ketika menjalani Perkhidmatan Negara dalam divisyen pengawal polis pantai, tujuh tahun lalu.
Namun, penawar bagi sakit kepala yang dialaminya datang dalam bentuk muzik 'trance', satu cabang EDM.
Ia adalah sejenis muzik menenangkan yang muncul dalam persada muzik era baru Britain serta muzik tekno dan 'hardcore' Jerman sekitar awal 1990-an.
Frasa berirama dalam lagu 'trance' diulang-ulang dan mengirim isyarat kepada otak sang pendengar serta mencetus ketenangan atau ibarat membawa mereka ke alam khayalan.
Sejak jatuh hati dengan irama 'trance' ini, Zulhakim, 29 tahun, mula membina kerjaya seketika sebagai deejay di pusat hiburan malam.
Bermula sebagai kru belakang tabir rancangan televisyen Suria, Anugerah V, beliau mula berminat menjadi deejay daripada seseorang yang dikenali sebagai Abang Zack dari syarikat Sound Vox.
Zulhakim turut menjadi deejay majlis perkahwinan dengan membeli alat pengadun lagu terpakai.
Namun, keinginannya mencipta lagu 'trance' sendiri begitu kuat dengan harapan ia dapat menjadi penawar menenangkan buat pendengar yang tertekan.
Terhasillah lagu Christine, I Am King dan yang terkini, Orientalism, yang boleh didengar di gedung muzik digital Spotify.
Orientalism pula adalah hasil kerjasama Zulhakim dengan deejay dari Mesir, Fawzy, yang juga cenderung dengan muzik 'trance' ini.
Beliau menghubungi Fawzy selepas mendengar nama deejay itu disebut juruhebah stesen radio dalam talian, Armin Van Buuren, yang memutarkan lagu 'trance'.
"Saya terdengar nama Fawzy dan langsung teringatkan sahabat saya, Fauzy, di Madrasah Al-Arabiah dahulu.
"Saya cukup meminati lagu yang dicipta Fawzy, lantas menjejaknya di Instagram. Kami mula berbual dan semakin rapat. Timbullah idea berkolaborasi dengannya.
"Alhamdulillah, beliau pemuzik yang komited dan banyak idea segar. Kami saling memahami dan tahu cita rasa serta keperluan masing-masing. Lebih memudahkan urusan kami adalah kerana saya memahami bahasa Arab yang Fawzy gunakan sebagai perantaraan," jelasnya lagi.
Cabaran yang dihadapi Zulhakim dalam menghasilkan Orientalism bersama Fawzy adalah zon masa berbeza.
"Apabila waktu malam di Mesir, kita di Singapura melalui waktu pagi. Justeru, membereskan lagu ini ambil masa yang amat panjang.
"Sebab utama adalah kerana kami merakamnya dengan alat muzik 'live'. Melodi dihasilkan oleh saya manakala Fawzy menyusun lagunya.
"Ilham lagu ini tercetus daripada buku terkenal Orientalism hasil karya Profesor Edward Said, yang diterbitkan pada 1978. Ia adalah penyampaian konsep kritikal bagi menjelaskan takrifan dunia Barat terhadap masyarakat Timur," ceritanya lagi.
Sejak disajikan di Spotify awal bulan lalu, lagu ini mendapat sambutan baik dengan ia distrim sekitar 13,487 kali.
Kerjasama ini juga memberi semangat baru buat Zulhakim. Banyak perkara yang dekat dengannya menjadi sumber ilham menjana lagu.
Lagu Christine yang sudah distrim hampir 90,000 kali di Spotify pula mendapat ilham daripada pengalamannya menonton filem seram 1983 tentang kereta berhantu, Christine.
I Am King yang distrim hampir 44,000 kali pula dicipta berdasarkan sumber inspirasi jenama minyak wangi I Am King kegemarannya.
"Pengalaman memutar lagu 'trance' bagi stesen radio trancefm memberi saya pendedahan. Saya lebih selesa dengan irama 'trance' yang membina atau 'uplifting trance'. Saya tidak senangi irama 'trance' yang disalahgunakan bagi tujuan negativiti seperti dikaitkan dengan dadah.
"Antara perancangan saya selepas ini adalah mengeluarkan album penawar jiwa yang bertajuk It's About Healing.
"Saya harap muzik 'trance' akan menjadi genre muzik 'Nombor 1' di Singapura kerana ia mempunyai keupayaan menyembuhkan jiwa serta minda dan boleh diputar sambil kita bersukan dan demi meraih motivasi diri," jelas Zulhakim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg