Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dolla 'Blackpink Malaysia'

Feb 17, 2021 | 5:30 AM
BUKAN HANYA PANDAI MENARI, MENYANYI: Anggota Dolla, (dari kiri) Angel, Syasya, Sabrina dan Tabby yang dikatakan setaraf dengan kumpulan wanita K-Pop, mempunyai pendidikan tinggi peringkat ijazah sebagai inspirasi buat gadis yang meminati mereka. - Foto INSTAGRAM DOLLA
BUKAN HANYA PANDAI MENARI, MENYANYI: Anggota Dolla, (dari kiri) Angel, Syasya, Sabrina dan Tabby yang dikatakan setaraf dengan kumpulan wanita K-Pop, mempunyai pendidikan tinggi peringkat ijazah sebagai inspirasi buat gadis yang meminati mereka. - Foto INSTAGRAM DOLLA -

EMPAT gadis Malaysia, Sabrina, Tabby, Angel dan Syasya, menembusi pasaran hiburan dengan gaya nyanyi dan tari yang mempesona dan memperkasa kaum Hawa.

Dolla adalah kumpulan wanita terkini penuh potensi di bawah label rakaman mapan Universal Music Malaysia.

Kehadiran mereka dalam industri muzik Nusantara menerusi lagu Make You Wanna yang sudah distrim 947,000 kali di Spotify bahkan disamakan dengan kumpulan wanita Korea Selatan pencetus fenomena, Blackpink.

Siapakah Dolla yang melantunkan lagu penyala semangat, Impikan dan Watch Me Glow?

Apakah impian mereka yang setiap seorang memiliki ijazah teknologi kardiovaskular, pentadbiran perniagaan, pemasaran dan muzik?

Ikuti wawancara Zoom bersama Dolla yang diselaras Universal Music.

Soalan (S): Bagaimana Dolla ditubuhkan?

Syasya: Awal 2019, Universal Music Malaysia mengadakan sesi uji bakat bagi menubuhkan kumpulan wanita baru.

Ia peluang keemasan tampilkan bakat menari dan menyanyi saya.

Sebelum ini, saya adalah penari latar bagi penyanyi. Saya dahagakan pengalaman baru.

Sabrina: Nyala rasa saya adalah dalam bidang persembahan. Saya ingin melakukannya sejak kecil.

Kadangkala, saya terasa bagai mimpi terpilih anggotai Dolla.

Tabby: Saya menyanyi sejak usia sembilan tahun. Impian saya ialah menyertai industri muzik.

Saya bertuah kerana bertemu tiga gadis lain dengan impian serupa. Kami dah macam adik-beradik.

Angel: Saya pelajar muzik. Apabila menyertai uji bakat ini, tekad saya mulakan kerjaya seni saya.

S: Dolla membawa pengertian 'feminin' dan 'buas'. Bagaimana ciri-ciri ini menjadi pegangan anda?

Sabrina: Ada dua dimensi personaliti kami - kami miliki ciri kewanitaan yang ketara tetapi kami juga lasak bekerja keras demi mengejar impian. Kami hustler!

S: Siapakah kumpulan wanita kegemaran anda?

Sabrina: The Pussycat Dolls menakjubkan kerana mereka boleh menari dan menyanyi dengan baik.

Saya akan tarikan setiap video muzik mereka dan miliki aspirasi bergelar penghibur seperti mereka.

Syasya: 2NE1, sebuah kumpulan K-Pop. Saya membesar mendengar lagu-lagu mereka. Mereka terbaik!

Tabby: Kumpulan Britain, Little Mix yang memiliki vokal hebat. Tumpuan saya lebih pada vokal merdu anggota kumpulan ini.

Angel: Saya lebih mengaitkan diri saya dengan lagu Little Mix walaupun saya juga menyukai Destiny's Child.

S: Apakah keseronokan menjadi sebahagian 'girl group' Dolla? Bagaimana ia mengubah hidup anda?

Tabby: Saya bangun tidur setiap pagi dengan kesedaran saya ada tanggungjawab besar untuk digalas sebagai karyawan muzik.

Syasya: Sewaktu bergelar penari latar penyanyi terkenal, tiada yang mengenali saya. Kini, ke mana-mana saya pergi, ada yang kedengaran berkata, 'Eh itu Syasya Dolla..."

Angel: Lebih ramai orang memerhatikan anda walau di alam maya dan menakutkan. Maklumlah, apabila kami dilancarkan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Internet segalanya bagi promosikan kerja seni kami.

Kami terima banyak kecaman tetapi tak apa...orang kata itulah permulaan mengusahakan sesuatu yang baik dan kuatkan semangat kami.

Sabrina: Sebelum ini, saya memburu ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Los Angeles, Amerika. Masih lagi fikir arah tuju saya. Apabila saya menyertai Dolla, misi dan visi saya lebih jelas. Saya tahu keutamaan saya.

S: 'Impikan' dan 'Watch Me Glow' membawa pesanan positif. Apa yang anda ingin sampaikan?

Tabby: Kami berharap Dolla akan terus hasilkan lagu memperkasa generasi muda khususnya wanita.

Kami mahu pendengar merasakan walau ada jerih payah dalam hidup, apa yang diimpikan akan mampu menjadi kenyataan kalau kita yakin dan berusaha.

S: Anda semua wanita berpendidikan tinggi. Apakah kepentingan pendidikan yang ingin anda tekankan?

Syasya: Bidang pengajian saya adalah teknologi kardiovaskular. Saya pegang pada prinsip 'Beauty With Brains'. Kecantikan dengan kebijaksanaan itu mustahak.

Saya tak nak orang kata, 'Dia ni pandai menari dan menyanyi sahaja tapi tak ada ilmu pengetahuan...'

Lagi-lagi dalam tempoh pandemik, masa depan tidak menentu. Justeru, ilmu dan kemahiran penting sebagai bekalan dan sandaran.

Sabrina: Keseimbangan pelajaran dan kerjaya seni penting. Walau sibuk bagaimanapun, kita boleh kejar impian dalam bidang yang disukai.

Tidak semua orang bernasib baik untuk meraih pendidikan tinggi dan berkecimpung dalam bidang seni. Kalau diberi kesempatan, jangan sia-siakan.

BIODATA DOLLA

WAN SABRINA WAN RUSLI

Nama pentas: Sabronzo

Usia: 25 tahun

- Lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA)

- Penari latar Elizabeth Tan dalam video Shh.

TABITHA ARIEL LAM LIANNE

Nama pentas: Tabby

Usia: 20 tahun

- Lulusan ijazah perniagaan dengan pengkhususan pemasaran di samping modul minor psikologi.

- Kacukan Cina-Jepun. Mampu rap dalam bahasa Korea.

ANGELINA CHAI KA YING

Nama pentas: Angie

Usia: 20 tahun

- Lulusan ijazah muzik dengan pengkhususan piano.

- Fasih berbahasa Cina dan dialek Sarawak.

NOORSYASYA AFIQAH SHAHRIZAL

Nama pentas: Syasya

Usia: 20 tahun

- Lulusan ijazah teknologi kardiovaskular.

- Penari latar program Big Stage dan Mentor.

Sumber: KProfile

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg