Topic followed successfully
Go to BHkuSeri Wahyuni masih terkesan kehilangan ibu bapa yang sakit kronik
Seri Wahyuni masih terkesan kehilangan ibu bapa yang sakit kronik
Jerih payah yang dilalui golongan penjaga pesakit kronik khususnya warga emas disorot dalam siri drama 'Siapa Jaga Mak' (Musim Kedua). Penulis skrip dan juga pelakon drama yang mendapat sambutan ramai ini turut melalui pengalaman penting dan situasi genting sebagai penjaga ibu bapa mahupun anak yang diuji dengan penyakit. BERITA MINGGU melaporkan.
Seri Wahyuni masih terkesan kehilangan ibu bapa yang sakit kronik
SEWAKTU arwah bapanya tiba-tiba dikesan menghidap penyakit kencing manis lebih 15 tahun lalu, kehidupan pengarah, penulis skrip dan pelakon Seri Wahyuni Jaes bak diulit pelbagai keresahan, tekanan dan ketidaktentuan.
Beliau malahan murung sesudah bapanya meninggal dan buat tempoh masa yang lama payah menjejakkan kaki ke hospital untuk menziarahi saudara-mara atau teman yang sakit kerana diasak fobia yang membuatnya menangis tanpa henti.
Selang tujuh tahun selepas itu, ibunya pula meninggal dunia kerana barah pankreas tahap lanjutan sesudah dua bulan menjalani rawatan di hospital dan di kala Seri baru sahaja seminggu menjalani latihan menjaga pesakit terlantar.
Pemergian mendadak ibu bapanya itu begitu dirasakan hingga ke hari ini dengan cebisan memori dan pengalaman menjaga ibu bapanya turut menjadi bahan penceritaan dalam naskhah drama yang dihasilkan.
Siri drama Suria dan aplikasi meWATCH,Siapa Jaga Mak (Musim Kedua), justeru begitu dekat di hati Seri, 52 tahun, selaku penulis skripnya.
Ia menekankan betapa seorang individu yang menjaga ibu bapa, anak atau anggota keluarga yang sakit harus menjaga kesihatan dan kesejahteraan mindanya terlebih dahulu sebelum menjaga pesakit yang memerlukan belaian kasih dan perhatiannya.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Seri yang mula dikenali sejak zaman remajanya kerana drama sosial Sayang Mona berkata:
"Awalnya saya sangka selepas musim pertama Siapa Jaga Mak tamat, sudah tiada lagi isu penjagaan pesakit yang boleh diketengahkan.
"Rupanya selepas pihak penerbitan minta idea pelakon dan kru belakang tabir drama itu khususnya yang berpengalaman menjaga ibu bapa mereka, ada banyak lagi perkara tentang kehidupan penjaga pesakit yang belum kita teroka.
"Antara isu yang kami paparkan adalah penjaga pesakit yang masih belajar dan terpaksa menguruskan perihal rawatan dialisis ibunya. Kebiasaannya penjaga pesakit yang kita maklumi adalah golongan berusia 30-an, 40-an dan 50-an tahun.
"Jadi adalah jalan cerita tentang belia yang perlu luangkan masa daripada jadual persekolahannya untuk menjaga orang tuanya. Dia perlu cari duit sendiri untuk membiaya persekolahannya."
Seri banyak mengkaji kisah pesakit ginjal bagi drama ini kerana tidak begitu memahami tuntutan rawatan dialisis.
"Kalau cakap tentang penyakit kencing manis atau barah, memang saya berpengalaman menjaga ibu bapa yang mengalami kondisi itu. Tapi mujurlah ada yang berpengalaman menjaga penyakit kencing manis. Menerusinya, saya dapat keterangan yang boleh dijadikan bahan jalan cerita."
Dalam masyarakat Singapura yang kian menua, penjagaan warga emas menjadi satu isu penting yang tidak boleh diabaikan.
"Saya sendiri melaluinya... jaga ibu bapa dan mentua. Ada satu ketika kerana tertekan, kita jadi bingit dengan diri sendiri dan tertanya-tanya bila segalanya akan berakhir? Kadangkala rasa bersalah menyimpan rasa sebegini.
"Saya menyedari dalam keadaan sebegini, kita harus jaga diri kita juga. Jangan sampai bebanan memuncak dan mengganggu fikiran.
"Kita perlu berehat seketika dan mencari ruang berkongsi dengan teman-teman. Dapatkan bantuan orang kalau rasa dibelenggu dengan masalah anda. Anda perlu jadi penjaga yang berkesan kerana ia bukan mudah," tambahnya lagi.
Ujian buat Seri datang bertubi-tubi silih berganti pada waktu itu dalam menangani orang tua yang sakit.
Kali pertama berdepan dengan masalah bapa yang sakit, usia Seri baru 30-an tahun dengan anak yang masih kecil.
"Terkejut juga apabila diberitahu bapa saya berpenyakit kencing manis. Masa tu, tak pernah cucuk insulin pada perut orang dan diberitahu jangan cucuk di tempat yang sama kerana takut perut bapa saya menjadi keras. Saya jadi takut. Setelah biasa melakukannya, dah tak rasa apa-apa dan langsung cucuk sahaja.
"Ibu jari kakinya sudah hitam. Penyakitnya sudah merebak dan dia enggan ambil ubat atau memotong bahagian kakinya yang terjejas.
"Pada masa itu, saya tabik hormat seorang jururawat yang terus terang memberitahu saya agar saya menjangkakan situasi yang buruk berlaku pada bapa saya. Ia bukan tugas mudah untuk jujur dengan keluarga pesakit. Dia cakap yang benar dan bukan menakut-nakutkan.
"Dalam tempoh sebulan selepas itu, saya harus terima kenyataan bapa saya sudah tiada. Semasa itu, suami saya sambung belajar di luar negara. Saya menjaga anak seorang diri.
"Saya anak tunggal dan hanya sempat jaga bapa saya selama 30 hingga 40 hari. Ia kejutan yang tak dapat saya terima.
"Saya duduk dalam bilik dan menangis tanpa henti. Selepas itu, dah tak boleh pergi hospital lagi. Di tepi tangga hospital sebelum masuk wad, saya mula menangis dan enggan jenguk sesiapa yang sakit. Begitulah keadaannya selama enam tujuh tahun," cerita Seri.
Mengenai ibunya yang tidak dapat menjalani kemoterapi kerana jantung yang lemah pula, Seri dapat melihat kemerosotan kesihatan ibunya begitu ketara dan mendadak.
"Doktor dah berbual tentang memindahkan ibu ke hospis. Saya diminta menjalani latihan menjaga ibu kalau dia perlu dibawa pulang ke rumah dalam keadaan terlantar.
"Saya perlu kuat untuk ibu. Biasanya saya tak nak tunjukkan ibu saya menangis tetapi pada masa itu, tak dapat dielakkan. Doktor kata ibu saya hanya ada masa tiga bulan untuk hidup. Saya terlalu sebak. Ibu ternampak sebab doktor berikan kertas tisu pada saya,
"Saya pun tinggalkan wad tersebut dan masuk tandas untuk nangis sepuas hati. Ia ibarat adegan drama," kata Seri lagi.
Beliau bagaimanapun terharu dengan ingatan mereka yang datang menziarahi ibunya dan akur akan tekanan yang dirasakan seorang penjaga sepertinya.
"Kalau orang lain datang dalam keadaan sedih, seorang hamba Allah ni datang sekejap dan tak tanya pun apa jadi pada ibu saya seperti orang lain.
"Dia doakan ibu saya dan hanya mengucapkan terima kasih kepada saya kerana menjaga ibu dengan baik. Kata-katanya menyejukkan hati saya yang kusut ketika itu," tambah Seri.
Apakah perkara paling berharga yang dipelajarinya ketika menulis skrip Siapa Jaga Mak (Musim Kedua)?
Kata Seri:
"Saya belajar tentang kewujudan Surat Kuasa Berkekalan (LPA), dokumen guaman yang membolehkan seseorang mengamanahkan seorang individu lain untuk membuat keputusan untuknya jika dia hilang daya pemikiran kerana strok atau kondisi lain."
"Saya sendiri melaluinya... jaga ibu bapa dan mentua. Ada satu ketika kerana tertekan, kita jadi bingit dengan diri sendiri dan tertanya-tanya bila segalanya akan berakhir? Kadangkala rasa bersalah menyimpan rasa sebegini. Saya menyedari dalam keadaan sebegini, kita harus jaga diri kita juga. Jangan sampai bebanan memuncak dan mengganggu fikiran.'' - Seri Wahyuni Jaes.

