SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Drama tular 'Sabarlah Duhai Hati' cukup rasa

Drama tular 'Sabarlah Duhai Hati' cukup rasa

Gandingan serasi, lakonan 'sweet' tapi jaga batas Saharul Ridzwan, Amyra Rosli, dipuji
Jul 2, 2021 | 5:30 AM

Drama tular 'Sabarlah Duhai Hati' cukup rasa

'SWEET' TANPA PERLU PIMPIN TANGAN: Peneraju 'Sabarlah Duhai Hati', Saharul Ridzwan dan Amyra Rosli, dipuji peminat drama kerana menjaga batas lakonan dengan tidak bersentuhan tanpa menjejas adegan romantis suami isteri yang saling menyokong satu sama lain. - Foto TV3
'SWEET' TANPA PERLU PIMPIN TANGAN: Peneraju 'Sabarlah Duhai Hati', Saharul Ridzwan dan Amyra Rosli, dipuji peminat drama kerana menjaga batas lakonan dengan tidak bersentuhan tanpa menjejas adegan romantis suami isteri yang saling menyokong satu sama lain. - Foto TV3 -

KISAH kahwin paksa, dulu benci sekarang suka, ibu mentua pentingkan status sampai sanggup mendera menantu atau kehadiran orang ketiga yang mengganggu-gugat rumah tangga.

Isu-isu sebegini sudah biasa diketengahkan dalam drama Melayu khususnya yang dipadankan daripada novel popular yang dicedok menjadi jalan cerita.

Disebabkan persoalan klise yang sering diketengahkan maka sebilangan penonton Melayu yang penulis kenali mula beralih kepada drama Korea yang menawarkan kelainan dengan penghujung yang mengejutkan dan tidak seperti cerita dongeng yang berakhir dengan kebahagiaan.

Namun, apakah tarikan semberani drama seberang Tambak, Sabarlah Duhai Hati, yang awalnya disiarkan di saluran TV3 pada Ramadan lalu dan kini boleh ditonton secara eksklusif di aplikasi iQiyi?

Ia menjadi buah mulut peminat drama Melayu, 'trending' malah dikatakan akan ada susulan musim kedua pula.

Drama arahan Mohd Fazli Yahya yang dipadankan daripada novel karya Mimie Afnie ini dibintangi Amyra Rosli, Saharul Ridzwan, Iman Suhana, Izzue Islam, Puteri Sarah Liyana, Fadilah Mansor, Emelda Rosmila dan Aiman Badrul.

Ia mengisahkan tentang keluarga Opah (lakonan Fadilah), tiga anak perempuan dan tiga cucunya.

Affan (Saharul) adalah cucu kesayangan Opah yang pandai dan berjaya. Demi memastikan hak dan harta keluarganya terpelihara, Opah lebih gemar menjodohkan anak cucunya dengan mereka yang ada pertalian darah dengannya.

Selepas meradang lantas sentiasa mencari pasal dengan anak sulungnya, Laila (Haleeda Mazlin), kerana membuat pilihan sendiri mengahwini jejaka yang dicintai dan bukan atas restu ibunya, Opah juga ingin menjodohkan Affan dengan seorang lagi cucunya, Nadia (Iman Suhana).

Namun, Affan sudah ada pilihan hati, Fira (Amyra Rosli), yang merupakan teman baik adiknya, Dian (Puteri Sarah Liyana).

Terdapat beberapa faktor yang membuatkan drama 35 episod ini begitu seronok ditonton.

Dari segi persoalan, ia begitu dekat dengan permasalahan sesetengah keluarga dengan ada perihal perebutan harta, layanan terhadap cucu atau anak dibeza-bezakan, adik-beradik yang lebih bermusuh daripada hidup rukun ataupun soal anak tunggal belasan tahun yang tiba-tiba dikejutkan dengan berita ibu bapanya bakal menimang cahaya mata.

Konflik keluarga yang tidak berkesudahan dengan orang busuk hati ada dalam lingkungan darah daging sendiri, lebih mengejutkan wujud dalam watak si ibu atau nenek, menjadikan Sabarlah Duhai Hati buat ramai tak sabar menyaksikan lanjutan episod yang disiarkan.

Meskipun anak keduanya, Shima (Emelda), mengalami keretakan rumah tangga setelah dijodohkan dengan saudaranya manakala Laila yang membuat pilihan hidup sendiri bahagia dengan suaminya, seorang doktor, Opah tetap enggan berganjak daripada mentaliti hanya puak sendiri melindungi harta keluarga.

Kemudian, betapa seorang anak seperti Dian akan resan hati jika dia sering dibanding-bandingkan dengan abangnya oleh ibu bapa, sahabat karib atau Opah.

Dari segi plot sampingan pula, ada kisah Fira yang membangun perniagaan dalam talian, menjadi pempengaruh sosial, terdedah pada penularan berita palsu tentang produknya yang dikatakan tiruan serta dengki khianat musuh yang mahu menjatuhkan bisnesnya yang mula mekar.

Dilihat dua jejaka dalam hidupnya, baik Affan mahupun Nazim (Izzue Islam) cuba mendekati dan memberi semangat buat Fira dengan membeli produknya.

Bezanya, Nazim membeli secara terang-terangan manakala Affan menyamar sebagai Nick, pelanggan maya yang sentiasa menjadi tempat Fira mengadu.

Tema bisnes dalam talian dan pempengaruh sosial ini memberi gambaran tentang trend masa kini di mana dek dicerut pandemik Covid-19, ramai yang beralih membangun perniagaan menerusi media sosial.

Watak Opah berjiwa samseng dan berhati kering yang tidak pudar semangat menganiaya Fira (wanita yang dirasakan merampas kasih sayang cucunya Affan) begitu hidup apabila digalas Fadilah dengan yakin.

Biasanya, kita lihat Fadilah dalam watak ibu lemah lembut, memahami lagi penyayang. Sebagai Opah, beliau benar-benar bertukar kulit menjadi garang, bermulut 'laser' dan tidak berhati perut.

Dia kerap pura-pura sakit untuk mengganggu Affan atau setakat ingin cucunya keluar dating dengan Nadia. Dalam keadaan dilanda strok pun, dia masih berkasar dan menyimpan niat memusnahkan hidup Fira.

Sungguhpun begitu, yang menjadi bual bicara penonton di media sosial adalah keserasian padu dan babak-babak manis antara wira dan wirawati drama ini, Saharul dan Amyra.

Dengan menekankan prinsip menjaga batas lakonan tanpa perlu berpelukan, bersentuhan atau berpimpinan tangan secara mesra, mereka berdua tetap mampu mewujudkan secara realistik kemanisan alam bercinta dan berumah tangga.

Mereka begitu menjaga memandangkan kedua-duanya pun sudah mempunyai isteri atau suami yang perlu dijaga hatinya di samping penampilan Amyra yang sudah berhijab serta prinsip Saharul yang teguh sebagai menjaga etika agama.

Cukup dengan ekspresi wajah yang senyum manis, tutur kata dan susunan bahasa cinta, serta 'bermain' mata tanda kasih - tiada kurangnya babak romantis 'manis bak potong kaki' dalam drama ini.

Keserasian yang Saharul dan Amyra miliki sejak mereka dipasangkan dalam drama Ramadan lima tahun lalu, Seindah Takdir Cinta, dipindahkan ke dalam Sabarlah Duhai Hati.

Pujian juga wajar diberi kepada Emelda, Puteri Sarah dan Aiman yang menambah warna pada drama ini dengan perangai jahat mengada-ngada Shima, gurau selamba Dian dan gelagat comel tapi nakal Danish.

Sabarlah Duhai Hati terbitan Suhan Movies (yang diasaskan Rosyam Nor) mengetengahkan isu berat dengan banyak babak tangisan dan 'frust' tetapi tetap kaya dengan humor.

ANTARA DRAMA MELAYU DENGAN DRAMA KOREA...

MASIH TERPAUT PADA DRAMA MELAYU

"Lima faktor yang saya titikberatkan dalam menyaksikan sesebuah drama adalah jalan cerita, pelakon, promo sinopsis, waktu tayangan dan sama ada ia dipadankan daripada karya novel ataupun tidak. Sabarlah Duhai Kasih miliki ciri-ciri yang dicari seperti gandingan hebat Saharul Ridzwan dan Amyra Rosli sampaikan saya ikut sama menangis dalam babak sedih antara mereka. Lakonan bersahaja Puteri Sarah Liyana, Iman Suhana dan Emelda Rosmila pun membantu. Ada banyak pengajaran dalam drama ini. Cuma saya harapkan kalau ada sekuel, watak Fira yang dibawa Amyra perlu lebih berani tangani penindas macam Opah." - Peminat drama, Cik Norzaidah Suparman.

BERALIH KE DRAMA KOREA

"Sejak penularan wabak Covid-19, saya memang sudah lama beralih kepada drama Korea. Sebabnya, kebanyakan drama Melayu terlalu klise dengan topik seperti mak mentua jahat dan cinta tak direstui. Saya begitu terkesan dengan drama Korea, Move To Heaven. Sebabnya, ia mengisahkan tentang pekerja pembersihan tapak jenayah atau 'trauma cleaner'. Pasangan anak dan bapa yang menjalankan tugas ini sentiasa menemui punca kematian berbeza saban hari. Salah satu watak menghidap Sindrom Asperger yang berkaitan pembangunan minda dengan watak itu payah berinteraksi secara sosial. Drama 10 episod ini membuka mata kerana ia berdasarkan kisah sebenar." - Peminat drama Korea, Cik Suhaila Mansor.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg