DRAMATIS veteran Zainon Ismail, 77 tahun, yang lebih mesra dengan panggilan Mak Otek, meninggal dunia pada 5.55 petang Jumaat (3 Jun) di rumah anaknya, Cik Fareena Mehr Omar.
Pemergiannya itu dalam keadaan tenang susuli rawatan dari rumah yang dijalaninya selepas tiga bulan dirawat di hospital tatkala dilanda strok sekitar September tahun lalu.
Mengesahkan pemergian Mak Otek ketika dihubungi Berita Harian, Cik Fareena, 44 tahun, anak sulung dalam dua beradik, berkata:
"Ibu saya yang turut menghidap penyakit ginjal dan menjalani dialisis serta berpenyakit kencing manis memang tidak mampu berbual selepas dilanda strok tetapi beliau dapat memberi respons pada kata-kata yang kami ucapkan kepadanya.
"Sejak dahulu, beliau memang seseorang yang tabah, ceria dan bersemangat waja. Orangnya aktif dan suka berjenaka. Beliau memang serba boleh, baik dalam bidang seni dan dunia perniagaan andaman.
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang tampil membantu seperti Prihatin (Penggiat Seni Melayu Singapura) dan Perkumpulan Seni bersama Mediacorp.
"Ramai teman seperjuangannya juga datang untuk mendoakan, menceriakannya dan memberinya kata-kata semangat.
"Dapat lihat betapa gembiranya ibu saya pada saat-saat akhir kehidupannya apabila teman seperjuangan dalam bidang seni datang melawatnya. Antaranya adalah aktivis seni, Encik M. Saffri A. Manaf."
Menurut Cik Fareena lagi, keadaan kesihatan ibunya mula merosot sejak Isnin lalu.
"Ramai yang mengenali ibu saya, Mak Otek tahu beliau memanfaatkan sepenuhnya setiap detik kehidupan dengan mengasah kemahiran seni dan perniagaan andaman atau masak-memasak.
"Sewaktu aktifnya dahulu, beliau memang ada sahaja di mana-mana dan suka membantu orang dan berihsan terhadap keperluan orang yang memerlukan," jelas Cik Fareena.
Dalam wawancara awal Berita Harian pada 2014 bersamanya, Mak Otek menceritakan beliau terlibat dalam pementasan teater Ribut (arahan Allahyarham Bani Buang) di Panggung Victoria pada 1962, sesuatu yang membuatnya terus terpaut dengan dunia lakonan.
Watak pembantu rumah yang terpikat dengan majikannya dalam karya agung penulis naskhah pentas China, Ts'ao Yu, yang diadaptasikan ke dalam bahasa Melayu itu, membawa pada penghargaan daripada Kelab Amatur Cina.
Lakonan hidup si remaja 19 tahun yang menerajui watak wanita tua, Nursyiemah, yang berusia 56 tahun itu begitu digemari meskipun itulah kali pertama Zainon bergelar pelakon.
Masih segar di ingatannya rasa teruja menerima penghargaan daripada hero filem Chinta, Allahyarham Datuk S. Roomai Noor.
Namun, nama Mak Otek itu melekat dengannya hingga ke akhir hayat selepas berlakon dalam drama ikonik Pak Awang Temberang.
Beliau yang mendapat pendidikan Melayu di Sekolah Melayu Kampong Gelam dan Scotts Road, menghadiri kelas bahasa Inggeris di Geylang Crest Centre dan turut terlibat dalam lakonan bangsawan.
Sambil berlakon, beliau juga pernah menjadi petugas di Persatuan Rakyat (PA) yang giat dengan kerja-kerja sosial bagi pelbagai lapisan usia.
Mak Otek meninggalkan dua anak dan tiga cucu.
Jenazahnya akan bertolak daripada rumah Cik Fareena sekitar 10 pagi Sabtu (4 Jun), dijadualkan disolatkan dan kemudian dikebumikan di Pusara Abadi selepas itu.
Al-fateha. Semoga Mak Otek ditempatkan dalam kalangan mereka yang dirahmati.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg