Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dua pasangan suami isteri jana karya sanjungan buat pengasas Apad, Abdul Ghani Hamid

Jan 20, 2022 | 05:30 AM



Sempena Minggu Seni Singapura (SAW), Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) menampilkan 18 pelukis yang terbahagi kepada sembilan duo yang bekerjasama untuk menghasilkan kerja seni silang generasi.Bridging Through The Age yang berlangsung di balai seni Maya Gallery antara 13 Januari hingga 3 Februari ini adalah sebahagian acara sempena ulang tahun Apad yang ke-60 tahun ini. BERITA HARIAN melaporkan.




DUA pasangan suami isteri yang sekali gus penggiat seni visual tanah air melalui satu proses pembelajaran yang tidak dapat dijual beli hasil kerjasama yang dijalinkan.



Sambil menggali sejarah penglibatan seni dan karya kesusasteraan anggota pengasas Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad), Allahyarham Abdul Ghani Abdul Hamid, mereka juga terapkan dalam diri mereka proses memberi dan menerima demi merealisasikan karya seni yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.



Pemilik balai seni Maya Gallery, Encik Jeffrey Wandly, 58 tahun, dan Cik Masturah Sha'ari, 53 tahun, malahan secara berseloroh menyatakan mereka 'bertukar pasangan' demi menjayakan pameran seni silang generasi Apad, Bridging Through The Age.



Pameran sempena ulang tahun ke-60 Apad serta Minggu Seni Singapura (SAW) itu berlangsung di Maya Gallery sejak 13 Januari lalu hingga 3 Februari ini dengan penyertaan 18 penggiat seni.



Setiap daripada mereka dipasangkan dengan seniman daripada generasi berbeza.



Encik Jeffrey dipasangkan dengan Cik Fazelah Abas, 44 tahun, bagi karya lukisan akrilik dan dakwat berjudul Pedoman 2.1 to 2.6.



Suami Cik Fazelah, Encik Dino Hafian, 42 tahun, pula berganding bahu dengan Cik Masturah untuk menjana kerja seni media campuran pada kanvas serta seni lipatan kertas bertajuk Ombak Berkicauan.



Selain berkongsi pengalaman masing-masing dan bertukar idea, pameran ini juga membuka ruang untuk seniman yang sudah biasa berkarya sendiri untuk merapatkan jurang generasi bersama pelukis lebih mapan atau lebih muda.



Ketika dihubungi, Encik Dino, seorang pendidik seni, berkata:



"Saya dan Masturah mencari sesuatu yang sama dalam kerja seni kami yang boleh kami bangunkan. Ternyata, saya belajar erti kesabaran daripada beliau.



"Sebabnya, saya selalu hasilkan kerja seni secepat kilat. Apabila bekerja dengannya yang banyak urusan, banyak masa menunggu. Lebih-lebih lagi tatkala melipat kertas origami dan kemudian kanvas untuk dijadikan unggas.



"Ia memerlukan kesabaran dan merupakan proses yang makan masa, tidak seperti kerja seni saya terdahulu yang sekelip mata sahaja sudah siap."



Encik Dino dan Cik Masturah mengupas isu kehidupan dengan menjadikan dua sajak tulisan Allahyarham Abdul Ghani sebagai penggerak idea.



Dua sajak yang dipilih adalah Seekor Burung Hitam dan Coretan Gelombang Legenda yang mempunyai perlambangan dan pedoman tentang kehidupan yang penuh asam garamnya.



Cik Masturah, berkata:



"Dalam lautan yang nampak tenang, banyak gelombang dan badai yang menyelubunginya. Ombak dalam kerja seni kami melambangkan tentang perjalanan hidup yang tidak indah belaka. Ada pasang surutnya. Disisipkan kisah legenda Mahsuri dengan ombak dan lautan sebagai penyampai cerita. Kisah si burung hitam yang mencari makan tetapi diserang burung lain juga gambaran metafora tentang laluan kita memburu kejayaan, kita akan bertemu orang yang akan cuba mengambil kesempatan atau tikam belakang."



Setelah 'menggantung' berus lukisannya selama 15 tahun, Cik Fazelah teruja dapat kembali mempamerkan kerja seninya dan belajar daripada pelukis mapan seperti Encik Jeffrey.



"Penglibatan dalam pameran ini merupakan satu motivasi buat saya untuk menukik kemahiran dan meraih kekuatan daripada semangat Jeffrey dalam terus berkarya. Saya belajar banyak daripadanya tentang menghasilkan garisan lukisan yang cantik dan tersusun. Selain itu, kerana terbiasa menjana lukisan penuh warna, saya terfikir bagaimana untuk wujudkan kerja seni hitam putih kehidupan yang tetap menarik dipandang mata sebagaimana yang Jeffrey hasilkan," kongsinya.



Encik Jeffrey pula berkata karya mereka bersama berpandukan novel mengenai adab, adat dan nilai kehidupan, Desa Di Hatiku, yang ditulis Allahyarham Abdul Ghani.



"Menarik untuk melihat bagaimana sebuah skrip drama yang dijadikan novel ini boleh dialihkan ke medium seni visual sebagaimana yang saya dan Fazelah hasilkan sebagai sanjungan buat arwah Cikgu Ghani.



"Sebagai penggiat seni yang tekankan tentang warisan dan budaya, merujuk pada karya Cikgu Ghani ini membuka ruang baru untuk mengkaji semula kehidupan pada waktu itu. Novel cemerlang yang pernah memenangi Hadiah Sastera 1980 ini memberi kita gambaran tentang sejarah hubungan Singapura dengan Malaysia. Ada banyak iktibar tentang kemanusiaan yang boleh kita raih," jelasnya.



Cik Fazelah menambah:



"Perkongsian nilai Cikgu Ghani ini disampaikan dalam konteks sembang minum petang orang kampung dalam masyarakat yang rapat bermusyawarah. Ada tentang nilai bertimbang rasa dan bekerjasama."




  • Pameran Bridging Through The Age dibuka di Maya Gallery, 57 Genting Lane, #05-00, hingga 3 Februari (kecuali Isnin) dari 12 tengah hari hingga 6 petang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >