Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua sahabat majukan muzik tradisional Melayu di SG

Sep 9, 2022 | 5:30 AM
SENIMAN LAGU TRADISIONAL: Diana Nazyra dan Dhwan Abu ingin memberi tunjuk ajar kepada seniman muda mengenai nyanyian lagu tradisional seperti apa yang diajar oleh biduan dan biduanita tempatan. - Foto ihsan DIANA NAZYRA
SENIMAN LAGU TRADISIONAL: Diana Nazyra dan Dhwan Abu ingin memberi tunjuk ajar kepada seniman muda mengenai nyanyian lagu tradisional seperti apa yang diajar oleh biduan dan biduanita tempatan. - Foto ihsan DIANA NAZYRA -

MEREKA sama-sama meminati irama Melayu tradisional sejak berusia 10 tahun, bahkan menjalinkan persahabatan sejak sama-sama menyertai bengkel lagu-lagu Melayu yang dianjurkan di Telok Ayer Performing Arts Centre (Tapac) - pusat seni popular era 1990-an yang kini telah dirobohkan.

Persahabatan selama 30 tahun itu membantu Diana Nazyra dan Dhwan Abu menyemai keserasian. Justeru tidak memeranjatkan mereka kini sering muncul bersama memajukan lagu-lagu Melayu tradisional di pentas-pentas hiburan Singapura.

Bahkan mereka juga pernah menghiburkan masyarakat Melayu yang bermastautin di Perth, Australia dalam satu acara sempena Hari Raya pada Mei lalu.

"Kami berdua sudah mengenali satu sama lain hampir 30 tahun. Ia membantu kami untuk membina keserasian di atas pentas," kata Diana, 42 tahun, yang juga aktif dalam kumpulan dikir barat semasa zaman remajanya.

Pada 23 Julai lalu, mereka diundang memeriahkan Konsert Sanisah Huri - Pelayaran Seni Lima Darsawarsa di Dewan Konsert Esplanade.

Dhwan, yang juga pengasas dan pemilik DC Choir Melayu Singapura, mengambil peluang untuk mendedahkan kepada golongan muda dengan lagu-lagu tradisional di pentas komersial atau pentas sekitaran muda-mudi.

"Mereka minat lagu trendy seperti R&B dan K-Pop. Tetapi saya tetap mengetengahkan lagu tradisional Melayu kepada mereka dan kongsikan ilmu yang bermanfaat," kongsi Dhwan, 41 tahun.

Kata beliau, seni muzik tidak bersempadan tetapi mampu menyatukan penggiat muzik daripada pelbagai genre dan daerah. Beliau berharap seniman-seniman muzik Melayu berkongsi semangat dan bersatu untuk sama-sama memajukan muzik tradisional dalam era sekarang.

"Supaya lagu tradisional Melayu tetap tidak lapuk ditelan zaman, semua kena mainkan peranan... bukan hanya penyanyi sahaja.

"Malah, banyak yang boleh dilakukan termasuk memberi tunjuk ajar kepada golongan muda untuk mendalami pengetahuan tentang lagu tradisional yang mungkin mereka tidak pernah tahu," tambah Cik Diana.

Beliau sendiri, biarpun memperjuangkan lagu-lagu tradisional, mampu membawakan pelbagai genre lagu termasuk pop Inggeris.

Diana dan Dhwan juga gembira kerana mendapat sokongan artis-artis mapan Singapura dalam persembahan mereka.

Baru-baru ini di acara Malaysia Fest yang berlangsung di Singapore Expo pada 27 dan 28 Ogos, mereka dikejutkan dengan kehadiran biduanita, Sanisah Huri, yang kemudian sudi naik ke pentas untuk menyanyi bersama.

"Kami rasa sangat teruja dengan sokongan dari biduanita Sanisah Huri. Pada hari itu, hujan sangat lebat dan suasana semakin ramai. Tetapi beliau tetap datang, dan berjumpa dengan kami di belakang pentas untuk memberi sokongan.

"Ia memberi kami motivasi lebih kukuh untuk melestarikan lagu tradisional Melayu sepanjang kami mampu," kongsi Dhwan.

"Industri muzik di Singapura kecil, kami harus bersatu dan berusaha bersama-sama untuk melestari kesenian muzik, khususnya seni persembahan tradisional," tambah Diana.

Diana dan Dhwan bersama seorang lagi penyayi Singapura, Rosalina Musa, pada tahun lalu juga merakamkan lagu Trio Beraya dan pada tahun ini, telah menggubah lagu Pertemuan Di Pagi Raya tulisan Kamaria Buang.

"Supaya lagu tradisional Melayu tetap tidak lapuk ditelan zaman, semua kena mainkan peranan... bukan hanya penyanyi sahaja. Malah, banyak yang boleh dilakukan termasuk memberi tunjuk ajar kepada golongan muda untuk mendalami pengetahuan tentang lagu tradisional yang mungkin mereka tidak pernah tahu." - Penyanyi Diana Nazyra, 42 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg