Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dua sahabat seni kongsi 'Mutiara Kata'

Penggubah lagu, penyanyi Khair Yasin dan pelakon Azman Shariff bersatu kendali bengkel penulisan sempena Bulan Bahasa
Sep 23, 2021 | 05:30 AM



APABILA penggubah lagu dan penyanyi mapan Mohd Khair Mohd Yasin bertemu dramatis dan pelakon pentas legenda Azman Shariff sekitar lima tahun lalu, dapat dirasakan tarikan semberani yang membina dan mengutuh jambatan persaudaraan antara mereka.



Khair, 55 tahun, dan Azman, 61 tahun, berkongsi cinta pada budaya dan keindahan bait-bait kata yang dirangkai dalam bidang penulisan.



Lantaran itu, hasil ukhuwah yang terjalin itu, tahun ini, dua sahabat seni ini dapat bekerjasama mengendalikan sesi memupuk kemahiran dalam seni penulisan melalui Bengkel Mutiara Kata.



Bengkel di Kelab Masyarakat Tampines West Sabtu ini, dari 10 pagi hingga 1 petang, adalah bagi mereka yang ingin berjinak-jinak meneroka cara menulis seni kata lagu, puisi dan sebagainya.



Ia diadakan sebagai sebahagian kempen Bulan Bahasa Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Tampines West, Wastra Bahasa.



Sesi itu dibuka kepada mereka yang berusia 17 tahun ke atas.



Apakah misi Khair, antara penggerak kumpulan Rausyanfikir, dan Azman, yang pernah dikenali sebagai wira bangsawan, dalam terus memupuk kecintaan pada bahasa Melayu, khususnya buat generasi muda?



Ikuti wawancara bersama mereka.



Soalan: Bagaimana detik perkenalan anda?



Khair: Seniman Azman memang dikenali masyarakat setempat, termasuk saya sendiri. Justeru mengenalinya sebagai seorang pelakon pentas, bintang bangsawan, pelakon drama TV dan radio memang sudah lama.



Namun, hanya pada salah satu acara pelancaran buku sempena Bulan Bahasa di The Pod, Perpustakaan Negara, saya dan isteri benar-benar bertemu dan mengenali beliau dan isterinya Mahyonis Mahfudz. Kami sempat bergambar bersama.



S: Apa yang mendorong kerjasama bagi bengkel Sabtu ini?



Khair: Secara peribadi, saya melihat Azman sebagai seorang seniman begitu semula jadi dalam cara beliau berbicara setiap hari.



Beliau memiliki perawakan seorang pemikir dan penyulam kata-kata hikmah yang mempunyai jati diri dan spontan.



Dengan cara beliau berbual sahaja, kita akan dapati bahawa beliau mempunyai peribadi pujangga di mana setiap tutur kata beliau disusun cermat dengan penuh hemah, seolah-olah jika dicetak di dalam sebuah buku ia akan menjadi atau dilihat sebagai mutiara kata.



Azman juga baru sahaja menerbitkan buku kumpulan madahanya berjudul Bukan Kerana Nama. Melalui bengkel ini, beliau dapat menumpahkan pengalamannya menghasilkan buku sulung serta mempamerkan gaya dan cara seseorang mendeklamasikan madah secara berkesan.



Azman: Dorongan bekerjasama bagi projek ini adalah cetusan ilham Khair yang sentiasa rasakan bahasa harus berkembang sealiran zaman.



S: Apakah matlamat bengkel ini?



Azman: Perkongsian, pertukaran ilmu dan pandangan. Semoga lebih ramai lagi meminati bidang penulisan. Tulis sahaja, ini nasihat yang saya pegang dari ramai sahabat penulis yang saya hormati dan hargai.



Khair: Saya berharap peserta bengkel akan didedahkan dan mengenali bidang atau arena penulisan mutiara kata ini dengan lebih dekat.



Pada akhir bengkel ini juga, kami berharap peserta akan membawa pulang sekurang-kurangnya sebuah dua mutiara kata hasil pena mereka sendiri, demi membuktikan mereka ada mempelajari sesuatu daripada bengkel ini selain meraih semangat yang bakal ditanam tentang kepentingan merakam kata-kata bermakna dan indah sebagai usaha warisan keluarga, masyarakat, bahasa, budaya dan bangsa kita.



S: Bahasa indah jarang didapati dalam lagu masa kini, yang lebih langsung sahaja maknanya tanpa kiasan seperti lagu dahulu. Apa komen anda?



Khair: Trend menghasilkan seni kata lagu terkini yang tidak memberatkan keindahan bahasa dan terlalu santai bentuknya amat membimbangkan. Fenomena ini seperti sesuatu yang tidak dapat dielak dan jika tidak dilakukan sesuatu usaha atau langkah, misalnya melalui bengkel seperti Mutiara Kata, kita mungkin melihat lirik Melayu yang dijana kelak hilang kewibawaan dan identiti serta tidak terlihat langsung nilai kehalusan budi bicara masyarakat kita, yang dikenali dengan sifat ramah dan hikmah dalam kehidupan seharian.



Azman: Pengaruh zaman dan teknologi yang berkembang mewujudkan perbezaan ketara dari segi penulisan. Orang lama fasa hidupnya tidak sepantas sekarang. Kiasan masih punya waktu untuk dicerna pemikiran.



Anak muda zaman sekarang pula pantasnya (proses melakukan sesuatu) sepantas sekitaran sekarang yang banyak dipengaruhi budaya dan trend globalisasi.



S: Namakan mutiara kata, peribahasa atau kiasan paling indah yang bermakna buat anda?



Khair: 'Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi'. Renungan pujangga lama ini memang menepati perawakan seorang Melayu yang pada dasarnya seseorang yang peka terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.



Justeru, ketika peribahasa ini diperkenal kepada masyarakat mungkin ramai tidak melihat aspek ketajaman renungan insan yang memperkenal peribahasa ini ketika hayatnya, di mana beliau mengungkap antara sikap negatif yang wujud dalam kalangan bangsanya dalam peribahasa ini, yang menggunakan unsur alam dan keadaan desa untuk mengutarakan falsafahnya.



Azman: Pertama, 'Kata-kata itu senjata yang bertuan, jadilah tuan yang baik'. Kedua, 'Yang tahu menilai, tahu menghargai' dan akhir sekali, 'Kita lebih banyak bertentang kaca dari bertentang mata'.



Untuk mendaftar bagi Bengkel Mutiara Kata, dengan bayaran $5, Lungsuri laman https://www.gevme.com/bengkelmutiarakata




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >