Bimbang kehadiran cahaya mata menjejas kerjaya seninya, pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan, berbelah bagi untuk memiliki zuriat.
Dengan linangan air mata, Elizabeth, atau mesra disapa Lizzy, memberitahu Berita Harian Malaysia (BHM), jika diikutkan hati, beliau mahu menimang zuriat tahun ini.
“Memang saya pernah beritahu mahukan anak tahun ini. Jujurnya, saya teringin sangat bergelar ibu.
“Tambahan pula, usia bakal menginjak 30 tahun... Saya bukan lagi muda. Ibu saya juga makin berusia, jadi, kalau boleh, saya ingin memberinya cucu. Tetapi apabila memikirkan kehadiran zuriat mungkin memberi kesan kepada kerjaya seni, saya jadi berbelah bagi.
“Jika mengandung, saya terpaksa bercuti setahun. Selepas itu, watak yang diberi pasti berbeza daripada sekarang. Jadi, saya risau setiap kali memikirkannya,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran siri Viu Original, W: Two Worlds, baru-baru ini.
Lizzy yang memegang watak Hanna dalam siri arahan Datuk Yusry Abd Halim itu sangat emosi hingga menitiskan air mata di hadapan wakil media.
Tambahnya, kedudukan ekonomi juga menjadi salah satu faktor membuatkan dirinya tertekan.
“Suami saya hanyalah doktor pelatih. Jujur saya akui, gajinya tidaklah sebesar mana.
“Jadi kebanyakan perbelanjaan seperti ansuran rumah, kereta dan keperluan ibu bapa, saya yang tanggung.
“Kalau boleh, saya tidak mahu kecewakan sesiapa. Tetapi memikirkan perkara itu memberi tekanan buat diri saya yang benar-benar mahukan anak,” katanya.
Ujar penyanyi lagu Knock-Knock itu lagi, melihat kerjaya ramai artis wanita yang menjunam selepas memiliki cahaya mata, menambahkan kebimbangan.
“Saya sudah lihat banyak contoh. Ramai penyanyi wanita yang meniti kemuncak populariti, tiba-tiba menjunam selepas berkahwin dan memiliki anak.
“Sementara penyanyi baru pula datang silih berganti. Bila-bila masa kami boleh dilupakan. Jadi perkara itu sangat merisaukan saya,” katanya.
Ditanya apakah keluarganya mendesak, Lizzy bersyukur ibu bapa memahami situasi yang dilalui dan tidak pernah memaksa dirinya dan suami segera menimang cahaya mata.
Lizzy mendirikan rumah tangga dengan Siew Jim, 32 tahun, pada 21 Mac 2021 dalam satu majlis kecil-kecilan yang dihadiri keluarga dan kenalan rapat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg