Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elon Musk: Tesla mungkin jual robot Optimus akhir 2025

Apr 24, 2024 | 6:15 PM
Syarikat pembuat kereta, Tesla, sedang menguji pembangunan robot berbentuk manusia atau ‘humanoid’ untuk penggunaan komersial.
Syarikat pembuat kereta, Tesla, sedang menguji pembangunan robot berbentuk manusia atau ‘humanoid’ untuk penggunaan komersial. - Foto AFP

TEXAS: Robot ‘humanoid’ atau robot berbentuk manusia buatan syarikat kenderaan elektrik (EV) Tesla masih berada di dalam makmal.

Namun, ia mungkin bersedia untuk dijual sejurus akhir 2025, kata Ketua Eksekutif Tesla, Encik Elon Musk, pada 22 April.

Beberapa syarikat telah melaburkan usaha membina robot ‘humanoid’ demi memenuhi potensi kekurangan tenaga kerja dan melaksanakan tugas berulang yang mungkin berbahaya atau membosankan dalam industri seperti logistik, gudang, runcit dan kilang.

Encik Musk memberitahu pelabur dalam satu sidang bahawa beliau menjangka robot Tesla, yang dipanggil Optimus, akan dapat melaksanakan tugas di kilang menjelang akhir 2024.

Robot ‘humanoid’ telah dibangunkan sejak beberapa tahun oleh Honda Jepun dan Boston Dynamics milik Hyundai Motor.

Pada 2024, syarikat pemula Figure yang disokong Microsoft dan Nvidia berkata ia telah menandatangani perkongsian dengan pembuat kereta Jerman, BMW untuk menggunakan robot ‘humanoid’ di kemudahan pembuat kereta itu di Amerika Syarikat.

Encik Musk sebelum ini pernah berkata jualan robot boleh menjadi sebahagian besar daripada perniagaan Tesla berbanding segmen lain, termasuk pembuatan kereta.

“Saya fikir Tesla berada pada kedudukan terbaik daripada mana-mana pembuat robot ‘humanoid’ untuk dapat mencapai pengeluaran volum dengan keupayaan yang cekap pada robot itu sendiri,” kata Encik Musk mengenai kebolehan kecerdasan buatan (AI).

Encik Musk mempunyai rekod gagal memenuhi janji kepada Wall Street.

Pada 2019, beliau memberitahu pelabur bahawa Tesla akan mengendalikan rangkaian kereta berautonomi ‘robotaxi’ menjelang 2020.

Tesla mengeluarkan generasi pertama robot Optimusnya, yang digelar Bumblebee, pada September 2022.

Pada 2024, syarikat itu menyiarkan video generasi kedua robot berkaki dua melipat kemeja-T di kemudahan firma itu.

Video Figure yang dikeluarkan pada Februari pula menampilkan robot 01 menunjukkan ia membuat kopi, manakala Boston Dynamics minggu lalu melancarkan platform elektrik untuk robot ‘humanoid’ Atlasnya, yang dilihat berpusing dari keadaan berbaring lalu berdiri dan berjalan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg