Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Emosi pelakon Riezman Khuzaimi terganggu susuli masalah ‘slipped disc’

May 3, 2023 | 11:14 AM
RIEZMAN KHUZAIMI: Mengalami masalah cakera teranjak (slipped disc) yang dipercayai berpunca daripada terlalu banyak menunduk untuk menatap telefon bimbit.
RIEZMAN KHUZAIMI: Mengalami masalah cakera teranjak (slipped disc) yang dipercayai berpunca daripada terlalu banyak menunduk untuk menatap telefon bimbit. - Foto INSTAGRAM RIEZMAN KHUZAIMI

KUALA LUMPUR: Pelakon, Riezman Khuzaimi, 53 tahun, mendedahkan dirinya terpaksa menggunakan alat pendakap leher selepas menderita penyakit slipped disc atau cakera teranjak sejak dua bulan lalu.

Menurut Riezman, atau nama sebenarnya Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, beliau mula terasa sakit di bahagian tengkuk ketika bangun untuk bersahur pada Ramadan lalu, lapor laman Utusan Online.

“Saya mula menyedari diri sakit sejak seminggu berpuasa. Nak bangun sahur tiba-tiba tangan sebelah kanan tak boleh bergerak dan tak terasa apa-apa.

“Mulanya saya fikir sakit saraf dan pergi ke klinik. Kemudian saya lakukan pemeriksaan lanjut di hospital dan doktor sahkan saya mengalami slipped disc,” katanya.

Riezman berkata demikian ketika ditemui ketika majlis sidang media Konsert Goyang Asia Koplo Milenia.

Jelas Riezman lagi, antara faktor yang menyumbang kepada berlaku masalah itu berkemungkinan akibat kegiatan harian yang selalu menghadap skrin komputer dan telefon bimbit.

Malah, kata pelakon ini, beliau juga dinasihati tidak melakukan pembedahan kerana boleh membahayakan nyawa jika berbuat demikian.

“Antara penyebab ialah postur badan selalu menunduk dan menurut doktor ramai yang sudah alami begini. Disebabkan sakit ini pada bahagian tengkuk doktor tak nasihatkan untuk buat pembedahan.

“Kalau buat pembedahan, keberangkalian sembuh ialah 50-50, boleh mengancam nyawa.

“Jadi sekarang ini memang saya buat fisioterapi sahaja. Penyakit ini boleh sembuh tapi ia juga boleh datang kembali pada bila-bila masa,” jelasnya.

Selain itu, Riezman berkata, keadaan ini turut menyebabkan emosinya terganggu dan adakala membuatkan dirinya cepat marah. Beliau juga tidak lagi dapat melakukan kegiatan kegemaran, iaitu bermotosikal.

“Awal-awal dahulu memang sangat emosi. Rasa nak cepat marah. Maklumlah apabila tiba-tiba berlaku perubahan dalam diri

“Sekarang ini juga saya terpaksa tukar aktiviti harian. Dah tak boleh nak ‘ride’ sebab topi keledar berat dan boleh beri kesan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg