'Empati' bukti bakat Malaysia, Jasper tekun buru impian, Berita Gaya Hidup - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:07
Asar
4:32
Maghrib
7:12
Isyak
8:27

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup0

ARTIS SEBERANG

'Empati' bukti bakat Malaysia, Jasper tekun buru impian

Jun 10, 2021 | 05:30 AM

SEJAK usia 10 tahun, anak seni kelahiran Johor Bahru, Jasper James Supayah, impikan kerjaya sebagai penyanyi.

Beliau menyertai Akademi Fantasia (AF) Musim Ke-13 pada 2016 pada usia 23 tahun bagi mengasah bakat dan nyala rasanya.

Namun, Jasper yang merupakan kacukan India-Cina akur tiada rezeki dalam bidang yang dicintai itu.

Beliau lebih dikenali sebagai pelakon dan pengacara lebih dahulu daripada artis rakaman dengan 'single' sendiri selepas tersingkir di konsert minggu keempat AF.

Bagaimanapun, bak pucuk dicita, ulam mendatang, tawaran merakam lagu sulung terbentang buat Jasper hasil kepercayaan penerbit dan pengarah drama Zeel Production House, Haji Zil atau Fadzil Teh.

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Esok, cita-cita Jasper, 28 tahun, tercapai apabila lagu yang dinanti-nanti, Empati, menemui peminatnya di wadah penstriman digital.

Lagu di bawah label rakaman Map Music itu digunakan sebagai runut bunyi filem Seandainya Kau Ada dan merupakan ciptaan bersama Nami Harez, Hizey Wan dan Jack Jafni.

Kerana secara kebetulan Empati merupakan lagu dengan jalan cerita tentang cinta yang terlerai, ia benar-benar menusuk ke jiwa Jasper mengenang pengalaman peribadinya yang putus cinta.

Jejaka yang menjalin hubungan cinta dengannya sebelum zaman AF lagi kemudian mengahwini wanita lain.

Ketika dihubungi menerusi sidang Zoom baru-baru ini, Jasper yang diperkenalkan dalam drama gandingan Ben Amir dan Intan Ladyana, Semusim Rindu, empat tahun lalu, berkata:

"Jas sebenarnya tunggu 18 tahun bagi mengotakan cita-cita bergelar penyanyi dengan lagu sendiri.

"Bayangkan dari kecil impikan peluang jadi penyanyi sampai masuk AF tetapi selepas itu kerjaya beralih arah... belum ada rezeki jadi penyanyi, maka Jas ceburi bidang lakonan dan pengacaraan pula.

"Ia adalah perjalanan seni yang panjang. Jas tidak pernah menyesal. Mujurlah, berlakon dan mengacara menjadikan Jas insan seni yang lebih matang dan bersedia sebelum merealisasikan impian menjadi penyanyi.

"Jas yakin Tuhan beri kita sesuatu apabila kita benar-benar bersedia. Maklumlah, sebagai manusia biasa, kita nak itu dan ini tetapi semuanya hanya datang tepat pada masanya. Tuhan lebih mengetahui."

Beliau akur untuk bertahan dalam industri hiburan Melayu di Malaysia tidak semudah mana sebab banyak onak duri yang perlu dilalui sebagai anak kacukan India dan Cina.

"Memang banyak jerih payahnya sebab awal-awal orang tanya, 'Mengapa budak Cindian (Cina-India) ni nak masuk industri hiburan Melayu? Walau kita hidup dalam masyarakat majmuk, masih ada orang yang tetap fikir soal kaum.

"Terus terang Jas kata, Jas ni memang 'rojak'. Bapa India, mak Cina tetapi Jas berwajah Melayu dan berjiwa Melayu.

"Macam mana pakai sari pun, tetap tak nampak macam wanita India sebab jiwa Melayu kekal menebal dalam diri Jas," ceritanya yang juga bertuah dapat menjayakan filem 'pecah panggung' Polis Evo 2.

Mengenai Empati, peluang merakam lagu ini datang bak durian runtuh yang tidak diduga.

Jasper yang bekerjasama dengan penerbit Haji Zil dalam beberapa projek drama bersyukur diberi kepercayaan merakamnya bagi runut bunyi filem Seandainya Kau Ada pada 2019.

"Haji Zil kata, 'bukankah Jasper ni penyanyi... mari kita beri dia peluang... alang-alang dah rakam, boleh gunakan lagu Empati ni untuk filem.

"Dalam ramai orang seni yang Jas kenali, Jas bertuah dan bersyukur temui Haji Zil yang melihat dan menghargai usaha Jas serta nampak potensi Jas sebagai penyanyi.

"Beliau nampak bagaimana Jas lalui susah payah membina kerjaya lakonan. Memandangkan beliau juga ingin terokai bidang penerbitan muzik, maka Empati dihasilkan dengan Haji Zil melabur buat rakaman lagu dan penghasilan klip video lagu ini sepenuhnya," cerita Jasper.

Bagi Jasper, Empati adalah lambang kerja keras dan impian yang menjadi kenyataan tanpa rasa putus asa.

"Kita harus buktikan kita berkeupayaan dan berbakat untuk harungi segala cabaran hidup. Semuanya tak mudah tetapi kita harus tahu apa yang kita inginkan.

"Memanglah bikin lagu ini bawa bermacam rasa bercampur-baur dalam hati Jas sebab masa tu, baru sahaja putus cinta.

"Sedih bukan kepalang. Lagu ini juga mengisahkan keadaan Jas yang tidak pasti ke mana arah tuju cerita cinta ini? Bagaimana melalui semua ini? Fikiran berserabut... nak terjun dari cenuram atau tidak? Rasanya berbelah bahagi atau 50-50.

"Tetapi pada akhirnya Jas reda dengan ketentuan Tuhan apabila bekas kekasih memilih wanita lain untuk dijadikan isteri," ujarnya yang berharap lagu ini mampu menembusi pasaran muzik Singapura.

Dalam pada itu, Jasper akui beliau senangi tugas sebagai pengacara dan pelakon sejauh ini.

Beliau melakonkan watak gadis psiko, Zaiton, dalam telefilem Netflix, Roxana, yang belum disiarkan lagi.

"Semua babak panjat memanjat pada waktu malam di perkampungan Janda Baik Jas bikin sendiri.

"Banyak adegan di hutan dengan watak Zaiton dirasuki dan ingin membunuh sesiapa sahaja yang rapat dengan teman baiknya Roxana termasuk si teman sendiri," kata Jasper.

Selepas mengacarakan rancangan memperkasa kanak-kanak sekolah, School Bus Heroes dan rancangan jelajah Sabah, Sumandak Duo, Jasper bakal mengacarakan peraduan reka hias bagi siaran RTM.

Pengurusnya Lyndda Sharudin, berkata:

"Saya tidak sangka hampir empat tahun bergelar pengurus Jasper, kami kini lebih seperti kawan rapat dan bukan atas urusan kerja sahaja.

"Jasper kerja keras dan bukan jenis yang suka melepak atau buat benda-benda pelik. Habis kerja, dia langsung balik rumah.

"Kalau keluar pun setakat untuk beli barang keperluan dapur atau tengok ibu ayahnya di Johor. Dia ikhlas, ramah dan senang bergaul dengan orang. Itulah faktor jayanya."

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map