Ethiopian Airlines, syarikat penerbangan kebangsaan Habsyah, akan meningkatkan bilangan penerbangan langsung antara Singapura dengan Addis Ababa, ibu negara Habsyah, kepada lima mulai 4 Julai ini.
Penambahan itu bertujuan memenuhi permintaan meningkat bagi perdagangan dan perjalanan antara Singapura dengan Afrika, menurut syarikat tersebut dalam kenyataan medianya.
Penerbangan dari Singapura ke Addis Ababa berlangsung pada Isnin, Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad sementara penerbangan pulang adalah pada Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu.
Penerbangan yang mengambil masa sekitar sembilan jam itu berangkat dari Lapangan Terbang Changi pada 2 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole Addis Ababa pada 5.50 pagi.
Penerbangan dari Addis Ababa adalah pada 11.50 malam dan tiba di Singapura pada 2.50 petang hari berikutnya.
Pengurus rantau operasi Asia Pasifik Ethiopian Airlines, Encik Telila Deressa Gutema, berkata:
“Penambahan penerbangan baru merupakan sebahagian peta jalan kami untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua rantau.
“Habsyah merupakan laluan ke Afrika buat pengunjung dari serata dunia, dan kami berbesar hati bahawa menerusi syarikat penerbangan ini, kami dapat meluaskan pelayananan mesra Habsyah kepada pengunjung Singapura yang ke Afrika.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg