Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Faisal terbuka arah genre baru, teruja bangun bakat muda

Jul 19, 2022 | 05:30 AM



REZEKI ada di mana-mana dan tidak pernah salah alamat.



Bagi pengarah kelahiran Singapura, Faisal Ishak, 52 tahun, berulang-alik dari Singapura ke Malaysia untuk menggalas tanggungjawab seni sudah menjadi perkara biasa.



Setelah terlibat dalam arahan drama sosial berjenama besar di Singapura, Anak Metropolitan 4.0, beliau bergegas pula ke Malaysia bagi projek siri televisyen terhad cereka sains yang dibintangi Nabila Huda dan Gambit Saifullah buat platform Viu pula.



Ikuti perkongsian Faisal bersama Berita Harian mengenai pengalamannya mengarah drama aksi jenayah Anak Metropolitan 4.0 berbanding drama hit Juvana sebelum ini.



Soalan (S): Apa perasaan anda dapat berulang-alik dari Singapura ke Malaysia untuk projek seni? Apakah aturan sebegini sesuatu yang disenangi bagi perkembangan kerjaya anda?



Faisal: Soalan ini mengingatkan saya pada 2004, di mana saya mengambil keputusan berhijrah ke Malaysia dan mencuba nasib.



Sekitar 2016 hingga 2017, saya kembali ke tanah air untuk menyambung tugas di sini. Ia sudah menjadi satu perkara biasa yang sentiasa memastikan saya bersedia untuk apa jua cabaran dan peluang berseni.



Ia memacu semangat untuk menebar pemikiran kreatif saya menembusi genre yang belum pernah dan boleh saya teroka.



Sepanjang kerjaya seni saya, saya sudah mencuba genre seram mahupun aksi, drama tentang orang kaya atau orang miskin.



Saya enggan berpuas hati dengan apa yang sudah dicapai bahkan setiap hari saya bangun tidur, saya akan mencabar diri saya untuk terus mempertingkatkan diri saya dalam bidang perfileman.



Kalau rezeki saya ada di Malaysia dengan tawaran projek yang saya suka, saya akan ke sana.



Apabila pintu rezeki terbuka untuk projek di Singapura, saya akan kembali ke tanah air saya.



Bak kata orang, 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri' tapi lebih baik kalau tak hujan... susah nak teruskan penggambaran dalam cuaca hujan.



Dengan nyala rasa yang saya miliki untuk mengarah dan mencetuskan idea, saya akan tetap teruskan usaha saya selagi khidmat saya diperlukan.



Saya ada di mana-mana, dengan kehadiran saya dapat menjadi bak cebisan teka-teki yang merungkaikan segalanya.



S: Apa perasaan anda dapat mengarah 'Anak Metropolitan 4.0'?



Faisal: Saya berbesar hati dilamar untuk mengarah Anak Metropolitan 4.0 sebab saya tahu ia merupakan satu jenama yang telah berjaya berdiri kukuh selama berdekad lamanya di saluran Suria.



Oleh kerana itu, saya bangga dapat jadi salah seorang ahli keluarga drama ini serta bekerjasama dengan rakan lama seperti veteran drama, Rafaat Hamzah, Khairudin Samsudin dan Najib Soiman.



Antara kekuatan saya adalah membimbing pelakon muda yang tiada pengalaman tetapi berpotensi seperti dalam Nur Kasih, saya bekerja dengan Tiz Zaqyah dan Ummi Nazeera.



Kali ini, saya bekerjasama dengan Nur Balqis, 'rapper' yang tahu untuk hasilkan satu kerja seni bermutu, perlu ada kerja keras. Balqis nak belajar dan dengar kata. Saya bangga dengan pencapaiannya.



S: Apa menariknya tentang drama 'Anak Metropolitan 4.0' kali ini?



Faisal: Kali ini, drama ini meneroka pelbagai tahap berbeza jenayah atau kegiatan samseng yang tersusun. Justeru, ada banyak lapisan masalah dalam dunia jenayah gelap dan bukan hanya fokus pada 'anak-anak Metropolitan' ini malah 'bapa-bapa Metropolitan' juga yang menjadi bak dalang mengheret anak mereka ke dalam dunia jenayah.



S: Mengapa kisah aksi dan jenayah melibatkan anak-anak muda ini masih dianggap relevan untuk ditonton?



Faisal: Sekian lama, genre aksi dapat diterima ramai. Kalau kita imbas balik karya Hollywood, ada kisah belia memberontak dalam filem seperti The Outsiders dan Sleepers.



Kita mempunyai banyak karya aksi yang berlandaskan jalan cerita tentang samseng. Dalam era moden yang pesat, kita harus meneliti cara baru anak-anak ini terjebak dalam dunia gelap.



Kita harus sejajarkan drama jenayah kita dengan apa yang berlaku kini. Sungguhpun begitu, nilai moral kekal sebagai isu yang ingin kita tekankan.



Kalau seseorang itu terjebak dalam kegiatan samseng, misalnya, mereka perlu membayar harga yang tinggi pada akhirnya.



Walau macam mana canggih pun operasi jenayah kini, ia tetap salah di sisi undang-undang.



Pada penghujungnya, kita mencari penyelesaian bagaimana watak ini diberi peluang membina kehidupan baru.



S: Apa beza mengarah 'Anak Metropolitan 4.0' dengan 'Juvana'?



Faisal: Premisnya berbeza sebab Anak Metropolitan 4.0 lebih pada menyelongkar dunia luar manakala Juvana mengisahkan tentang dunia dalam pusat pemulihan belia.



Anak Metropolitan 4.0 lebih dekat dengan siri drama KL Gangster: Underworld yang pernah saya arahkan.



Isu moralnya bagaimanapun tetap sama. Cuma dalam Juvana, ada isu tentang pihak berkuasa seperti polis dan pengawal penjara yang juga terlibat dalam perbuatan kurang elok seperti makan rasuah sehingga menjejas belia dalam tahanan. - HARYANI ISMAIL




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >