SHAH ALAM: Suasana Aidilfitri tahun ini mungkin berbeza buat pelakon Farid Kamil, 42 tahun, apabila menganggap peluang bersama isteri dan anak-anaknya semakin tipis.

Bagaimanapun, Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari tetap berharap dapat mengembalikan keharmonian rumah tangganya bersama isteri yang juga pelakon Diana Danielle, 32 tahun.

"Saya tidak berhenti berdoa untuk membawa isteri dan anak-anak pulang menyambut Aidilfitri di Kedah seperti kebiasaannya.

"Kami sekeluarga akan mengambil gambar di tempat sama setiap pagi raya.

"Saya harap dan berdoa agar kami satu keluarga dapat berkumpul sekali lagi," kata Farid dalam nada sebak.

Farid berkongsi mengenainya ketika ditemui selepas menjalani prosiding sulh di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, antara jam 11.45 pagi sehingga 1 petang Selasa (11 April).

Pelakon itu turut ditemani peguam syarie mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Fakhrul kemudian mengesahkan pasangan itu akan menghadiri sulh kedua pada 25 Mei depan berikutan Diana tidak dapat hadir pada prosiding hari ini.

Terdahulu, Farid mengemukakan tawaran perdamaian terhadap Diana membabitkan antaranya aset, barang kemas dan bayaran pendahuluan nafkah bernilai RM319,700.

Kata Farid, tawaran itu diharap mampu melembutkan hati Diana demi masa depan dan kebaikan dua anak mereka, iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan menetapkan 30 Mei depan bagi kedua-keduanya memaklumkan kepada mahkamah mengenai laporannya.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. - BERITA HARIAN MALAYSIA ONLINE