Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fauziah Nawi syukuri Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman selagi hayat masih ada

Dec 11, 2021 | 6:01 PM
Foto NEW STRAITS TIMES
Foto NEW STRAITS TIMES -

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Malaysia, Fauziah Nawi, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman pada Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat (10 Disember).

Fauziah, 68 tahun, berkata, beliau tidak pernah terfikir meraih pengiktirafan ini dan terharu serta bersyukur menerimanya ketika masih hidup, lapor laman Harian Metro.

Anugerah ini turut didedikasikan buat anaknya yang juga pengarah, Allahyarham Mohd Firdaus Mohd Hanif atau Pitt Hanif yang meninggal dunia pada Oktober 2019.

"Masuk dalam bidang ini, hati kena keras kerana ini pilihan yang saya buat. Malah cucu saya (anak sulung Pitt) juga dah masuk kolej ambil jurusan filem.

"Kalau boleh saya tak nak dia ambil bidang itu kerana susah, dia kata ada minta jurusan lain tapi dapat jurusan filem juga. Dia memang nak jadi macam ayahnya. Cucu yang kedua pun dah berjinak dalam lakonan. Mereka bermula dari kecil dan saya harap kerjaya lakonan zaman mereka nanti akan lebih baik," katanya.

Menurut Fauziah, pembabitannya sebagai pelakon amat bermakna kerana dapat membantu ibu bapa selain dapat menyara adik-beradik belajar di luar negara, tambahnya.

Fauziah berterima kasih kepada Haji Zeel dan Zeel Production kerana selalu memberi peluang buatnya berlakon dalam drama terbitannya.

Penerbit Zeel Production, Fadzil Teh berkata, Fauziah yang mesra disapa ibu itu selayaknya mendapat pengiktirafan berkenaan.

"Beliau layak dapat anugerah itu. Sepatutnya dari dulu lagi dapat. Artis macam beliau kalau Hollywood sudah tak berlakon dan mereka rehat saja. Kalau nak berlakon pun sesekali saja untuk lepaskan gian sebagai pelakon.

"Tapi beliau pernah cakap pada saya, di sini kena berlakon sebab nak 'survive' dan sara hidup. Sebab itu sampai sekarang beliau kena berlakon walaupun sebenarnya beliau sudah tak larat," katanya.

Menurut Fadzil, selain tawaran berlakon beliau juga sentiasa menggunakan khidmat Fauziah sebagai tenaga pengajar kelas lakonan yang dibuat.

"Filem pertama terbitan syarikat saya iaitu Seandainya Kau Ada pun ambil Fauziah. Kalau ada kelas bimbingan lakonan pun ambil beliau. Setiap persembahan teater beliau pun saya pergi sokong. Memang sudah kenal lama beliau. Jadi terharu apabila beliau menang," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg