Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fazura izin anak berlakon, cuma risau kecaman warganet

Feb 7, 2024 | 3:03 PM
Nur Fazura Sharifuddin (kiri) tiada masalah jika anaknya, Nur Fatima Aisya, hasil perkongsian hidup dengan Fattah Amin, yang sudah berjinak-jinak dalam dunia iklan, ingin menceburi bidang lakonan suatu hari.
Nur Fazura Sharifuddin (kiri) tiada masalah jika anaknya, Nur Fatima Aisya, hasil perkongsian hidup dengan Fattah Amin, yang sudah berjinak-jinak dalam dunia iklan, ingin menceburi bidang lakonan suatu hari. - Foto INSTAGRAM MISSFAZURA

Pelakon dan usahawan jelita Malaysia, Nur Fazura Sharifuddin tidak akan menghalang minat dan keinginan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, mengikut jejak langkahnya bersama suami, Fattah Amin untuk bergelar pelakon.

Namun, Fazura, 41 tahun, agak risau memikirkan cabaran dan dugaan yang perlu dilalui Fatima jika berkecimpung dalam dunia seni suatu hari nanti.

“Sejujurnya bidang seni ini bukanlah kerjaya mudah dan seindah seperti yang disangka. Saya risau sebenarnya jika Fatima terbabit dalam bidang seni suatu hari nanti.

“Pelbagai onak duri dan cabaran yang perlu dia lalui nanti,” kata Fazura kepada laman Kosmo! Online.

Sungguhpun begitu, pelakon drama Gol & Gincu itu yakin anaknya memiliki kekuatan mengharungi asam garam dunia hiburan kerana si kecil yang bakal berusia empat tahun itu kelihatan mempunyai semangat yang kuat.

“Tapi saya rasa dia boleh berdepan dengan cabaran dalam bidang seni. Kalau saya ‘kak long’ (kuat), dia lagi ‘kak long’ daripada saya.

“Fatima seorang anak yang kuat. Saya rasa dia boleh berdepan dengan cabaran dalam bidang seni,” ujar Fazura.

Bagaimanapun sebagai seorang ibu, Fazura yang ditemui semasa majlis pelancaran koleksi Raya, Fazbulous Raya 2024, tidak yakin dirinya dapat terima jika Fatima dikecam warganet yang semakin hari semakin berani melontar kecaman.

“Namun terpulang, saya sokong apa sahaja yang dia mahu lakukan. Sekarang pun saya sudah nampak minatnya dalam bidang seni.

“Fatima pun dah mula terbabit dengan iklan. Darah seni memang ada dalam dirinya. Pada masa hadapan, jika dia mahu berlakon sudah tentu saya akan sokong,” jelas Fazura.

Fazura turut berharap agar beliau dan Fattah diberikan kesihatan yang baik supaya dapat membimbing puteri kesayangan mereka dalam bidang yang diceburi.

Pasangan sama cantik sama padan ini mendirikan rumah tangga dengan Fattah pada 27 November 2017.

Kebimbangan Fazura sebagai ibu memang dapat difahami. Lihatlah perangai warganet kini. Kadangkala dikecamnya artis bagaikan “tiada esok bagimu”!  

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg