Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fenomena 'Masdo' 'tiup kencang' di Nusantara

Kugiran serap aura 'The Beatles' ketika buat rakaman di Studio Abbey Road, London
Oct 30, 2022 | 5:30 AM
MUZIK LAMA BERNAFAS BARU: Kugiran 'Masdo' pastikan ada 'trademark' tertentu yang dipaparkan dalam konsert bagi setiap lagu, sesuatu yang turut melibatkan interaksi penonton. - Foto MASDO
MUZIK LAMA BERNAFAS BARU: Kugiran 'Masdo' pastikan ada 'trademark' tertentu yang dipaparkan dalam konsert bagi setiap lagu, sesuatu yang turut melibatkan interaksi penonton. - Foto MASDO -

Ini namanya malar segar... irama yang berusia antara 50 dengan 70 tahun yang dikenali dari era P. Ramlee (1950-an) hingga era Hail Amir dan Uji Rashid (1970-an) kekal diminati termasuk dalam kalangan generasi muda yang mula jemu dengan muzik luahan rasa bingit atau 'angsty' Generasi Z. Siapakah antara pejuang irama klasik sebegini di Singapura dan Malaysia? BERITA MINGGU MELAPORKAN.

WATAK yang dibawakan Tan Sri P. Ramlee dalam filem klasik Do Re Mi mencetus ilham untuk empat anak muda menggunakan 'Masdo' sebagai nama kugiran sekitar tujuh tahun lalu.

Vokalis kugiran Masdo dari Malaysia, Ali Sariah, 30 tahun, yang senang dengan keunikan irama pop yeh yeh bahkan dewasa dengan muzik A. Ramlie dan Datuk Jeffrydin pula lebih tertarik untuk memajukan irama nostalgia setelah dibimbing pemain dram Orkes Nirwana, M. Radzi Jamil.

Tanpa diduga, lagu-lagu 'groovy' bersandarkan irama gitar rancak yang mereka sajikan buat sebilangan generasi muda sebaya ini mula mendapat perhatian dan menjadi siulan ramai sehingga nama 'Masdo' harum disebut-sebut di Nusantara.

Penangan irama 1960-an yang diadun dengan sentuhan canggih muzik masa kini itu mencetus fenomena sehinggakan tiket bagi setiap konsertnya termasuk di Singapura sempena Pesta Raya 2022 anjuran Esplanade laris dijual.

'Masdo' bahkan akan kembali ke Kota Singa di The Star Theatre mulai 8.30 malam pada 26 November ini untuk konsert yang dibawakan SAH Enterprise, Malam Pesta Rock N' Roll.

Di ambang konsert berkenaan, Ali dan rakan-rakannya, Putuceri, Azham Ahmad dan Asmawi menceritakan perjalanan mereka dalam dunia seni kepada Berita Minggu (BM).

Berbekal inspirasi daripada kugiran Barat ikonik 'The Beatles', mereka juga melalui rakaman 14 jam di Studio 2 Abbey Road bagi album Jalan Abbey lebih dua tahun lalu.

Apakah yang membuatkan muzik retro era 1960-an kembali menjadi santapan halwa telinga termasuk dalam kalangan Generasi Z atau anak muda yang kebanyakannya lebih terdedah pada irama hip hop?

Kata Ali dalam wawancara Zoom ini:

"Kalau kita perhatikan, ada semacam evolusi atau kitaran muzik yang kembali pada muzik pop yeh yeh era 1960-an.

"Walaupun kembali menjadi satu fenomena, muzik ini takkan balik sama macam zaman dahulu. Ada unsur moden yang disisipkan sebagaimana yang 'Masdo' usahakan.

"Kami sendiri membesar dengan lagu lama tetapi terdedah pada lagu baru. Cabarannya adalah bagaimana kami nak adunkan muzik lama ini dengan irama yang dekat di hati generasi masa kini."

Menurut Ali yang pernah menggerakkan kugiran 'The Lipstik' dengan cita rasa muzik serupa dengan 'Masdo', beliau pada ketika itu sudah hampir-hampir menggantung mikrofon kerana sudah ada pekerjaan sepenuh masa.

"Saya memang dah tak nak nyanyi lagi. Tapi sahabat saya, Putuceri, berjaya mengembalikan 'spark' atau cetuskan minat untuk saya kembali dalam persada seni.

"Masdo adalah penjenamaan semula The Lipstik. Saya beritahu Putuceri, saya serahkan pemilihan anggota dan kerja mendapatkan 'show' ini kepadanya kalau dia benar-benar ingin gerakkan kugiran baru ini. Sebab saya dah malas nak fikirkan soal kugiran ini," cerita Ali.

Ali sukakan nama kugiran dengan huruf 'O' kerana ia kedengaran seperti sesuatu yang tercipta pada zaman silam.

"Nama Masdo ni 'klasik gila'. Saya suka dengan watak P. Ramlee. Beliau merupakan ikon dan kami ingin sambungkan legasinya dalam bentuk kugiran berbaur nostalgia," ujarnya.

Putuceri akur sukar untuk memujuk hati Ali agar kembali aktif setelah lama menyepi.

"Makan masa juga nak cetuskan minat Ali agar kembali menyanyi. Saya berinya keyakinan kita boleh dapatkan 'show'. Alhamdulillah, saya berjaya memujuknya dan pejam celik, dah tujuh tahun kami bersama memajukan Masdo," katanya.

Bagaikan mimpi buat mereka apabila dapat melangkah jauh ke luar Malaysia. Membuat persembahan di Jakarta, Indonesia dan Singapura, merupakan kenangan manis yang tak dapat dilupakan.

"Apabila kami ke Singapura, memandangkan sudah lama tak bikin 'show' kerana pandemik, gugup pun datang balik. Tapi lihat sambutan yang sangat menggalakkan, ia memberi semangat buat kami.

"Jadi bulan depan, apabila kami bikin konsert di The Star Theatre, kami harap dapat wujudkan 'vibe' yang berbeza untuk beri peminat satu kelainan. Tahun depan, kami juga akan ada lagu kolaborasi bersama artis wanita di Singapura," tambah Ali.

Menurut Putuceri, sebagai suntikan keunikan pada persembahan kali ini, pemuzik hon dan alat muzik tali juga akan dilibatkan bagi memberi impak yang berlainan.

Apakah akan ada lagu baru yang ingin disampaikan pada malam itu?

Kata Ali: "Kami memang ada lagu baru tetapi ia belum lagi dipasarkan. Kami tak nak jadi macam lagu 'Dinda'. Belum keluar secara rasmi, tahu-tahu dah 'meletup'. Ingatkan nak bikin di London dan muatkan dalam album Jalan Abbey. Apakan daya...ia terpaksa diterbitkan awal dan dirakam cepat-cepat sebab stesen radio dah minta. Mungkin ada hikmah di sebaliknya."

Dinda sudah distrim 19.2 juta kali di Spotify.

Jerih payah yang dilalui ketika merakam lagu bagi album Jalan Abbey di Studio Abbey Road di London memang sukar dilupakan.

"Rasanya lainlah. Auranya luar biasa. 14 jam merupakan tempoh yang perit dan panjang. Tapi ia meninggalkan kenangan manis akhirnya," kata Azham.

Ali pula berkata mereka bayangkan 'The Beatles' dalam Studio 2 sebagaimana yang ditonton dalam dokumentari. Memang meremang bulu roma.

Seraya tertawa, Asmawi menambah: "Lagu dalam album Jalan Abbey yang meninggalkan kenangan manis buat saya adalah Nearly Near You. Memang ada sesuatu dalam lagu ini. Sebab impaknya besar apabila saya tengok lagu orang putih dirakam Ali yang Jawa ni!

"Saya sampaikan simpan lagu ini dalam telefon saya. Ia adalah lagu pertama yang saya akan putar setiap hari."

Apa yang buat ramai teruja untuk ke konsert Masdo?

Kata Asmawi:

"Penonton boleh saksikan 'trademark' setiap lagu. Bagi lagu Teruna & Dara, Ali akan pasang kuda-kuda macam nak bersilat.

"Kemudian apabila kami persembahkan lagu Bercanda Di Malam Indah, orang ramai dah sedia mencangkung sebelum lompat tinggi-tinggi. Dah jadi macam ritual setiap konsert."

Nota: Tiket untuk konsert Masdo di The Star Theatre berharga antara $28 dengan $178 boleh ditempah di laman, kaunter dan talian Sistic.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg