Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Festival M’sia 2024 penyertaan terbesar, lebih 300 reruai makanan dan pelancongan

Jul 10, 2024 | 10:58 AM
(Dari kiri) Pengarah urusan MegaXpress International, Encik Hamzah Abdullah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar; dan pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Encik Aminuddin Zulkipli, bergambar bersama buah-buahan yang bakal ditampilkan di Festival Malaysia 2024.
(Dari kiri) Pengarah urusan MegaXpress International, Encik Hamzah Abdullah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar; dan pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Encik Aminuddin Zulkipli, bergambar bersama buah-buahan yang bakal ditampilkan di Festival Malaysia 2024. - Foto BM oleh MOHD KHALID BABA

Acara tahunan Festival Malaysia kembali diadakan pada 2024 dengan penyertaan peniaga Malaysia terbesar dalam sejarah.

Sebanyak 302 reruai bakal didirikan – bilangan tertinggi yang tercatat sejak ia kali pertama diadakan pada 2016 – dengan sebahagian besarnya menampilkan tarikan pelancongan dan makanan, sekali gus menonjolkan negeri Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Perlis dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Festival anjuran MegaXpress International atas sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Malaysia itu bertujuan memperkenal produk jenama Malaysia dan buah-buahan tempatan kepada pembeli Singapura selain fesyen dan kecantikan.

Festival itu akan berlangsung di Singapore Expo dewan 5A dan 5B pada 25 hingga 28 Julai, 10 pagi hingga 10 malam.

Bercakap kepada media ketika majlis prapelancaran festival itu pada 9 Julai, pengarah urusan MegaXpress International, Encik Hamzah Abdullah, berkata sambutan warga Singapura terhadap festival itu menggalakkan dengan penjualan semakin meningkat tahun ke tahun.

“Hobi warga Singapura adalah makan dan wisata. Itu yang melonjakkan hasil pungutan penjualan,” tambahnya.

Pada 2024, Fama akan membawa masuk kira-kira 20 metrik tan buah-buahan bermusim serta yang jarang didapati di Singapura, seperti longan kristal, tarap, bambangan dan cempedak durian.

Pengerusi Fama, Encik Aminuddin Zulkipli, berkata ini merupakan sebahagian usaha Fama untuk memperluas dan mempromosikan semua produk agrikultur dari Malaysia bagi meningkatkan nilai eksport usahawan terutamanya di bawah bimbingan Fama.

Pembaharuan yang diperkenalkan pada Festival Malaysia 2024 ialah kaedah bayaran tanpa tunai atas kerjasama PayNet di bawah program rentas sempadan ‘Cashless Lah Boss’.

Bagi menggalakkan bayaran tanpa tunai tersebut, PayNet akan menawarkan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung dan peniaga berupa wang tunai, pakej percutian ke Malaysia dan barangan elektronik dengan nilai keseluruhan sebanyak $10,000.

Untuk menyertai cabutan bertuah, pengunjung hanya perlu membuat pembelian menggunakan kod QR DuitNow dengan nilai serendah $20.

Mereka yang berkunjung juga akan dapat berhibur dan bertemu selebriti popular termasuk Siti Nordiana, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Elly Mazlein.

Pada 2024, festival itu menyasarkan untuk menerima 120,000 pengunjung.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, berkata: “Festival Malaysia terus menjadi tumpuan warga Singapura untuk mendapatkan produk dari Malaysia. Saya harap tahun ini (2024) kita terus catatkan lebih jualan.”

Pada 2023, Festival Malaysia menerima 135,000 pengunjung dengan penjualan mencecah angka pecah rekod iaitu 17.8 juta RM ($5.1 juta) – berganda berbanding 2022 iaitu 7.87 RM ($2.26 juta).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg