Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Filem Melayu SG di Netflix 'pancing' penonton

Nilai, tradisi, inspirasi Sayang Disayang dan Banting jadi tarikan
Sep 03, 2020 | 05:30 AM



Wadah penstriman Netflix berusaha menambah kandungan filem dan rancangan dalam bahasa Melayu malah menyajikan kerja seni arahan anak watan Singapura, baru-baru ini. Usaha mengenalkan antara muka dalam bahasa Melayu bagi membolehkan pengguna yang selesa berbahasa Melayu membaca ringkasan cerita dan sarikata dalam bahasa Melayu mahupun menonton drama asing yang dialih bahasa turut dirancakkan. Apakah pandangan pengarah yang kerja seninya disertakan dalam Netflix? Apa pula pendapat penonton yang dahagakan lebih banyak kandungan Melayu bermutu? Berita Harian melaporkan.




KISAH pembantu rumah Indonesia bernama Murni yang menjaga Pak Harun, warga senja yang kesunyian dan hidupnya penuh dengan kepahitan, dalam filem Sayang Disayang, menarik perhatian penggemar filem, Cik Rohani Salleh.



Suri rumah berusia 49 tahun itu kepingin menyaksikan filem arahan anak watan Singapura Sanif Olek, yang antara lain menjadikan hidangan sambal goreng sebagai satu metafora kehidupan.



Sayangnya, sejak filem ini diterbitkan pada 2013, ia hanya ditayangkan di pesta filem antarabangsa di luar negara seperti Filipina dan Mexico.



Kalau pun ditayangkan Singapura dalam acara seperti Pesta Filem Asia Tenggara di Moving Image Gallery, Muzium Seni Singapura (SAM) di 8Q, ia hanya buat sementara waktu dan tidak menepati jadual Cik Rohani, ibu tiga anak.



Namun sejak 9 Ogos lalu, Sayang Disayang yang dilakonkan pemenang Anugerah Seniman Muda, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Alin Mosbit dan bintang dari seberang, Datuk Rahim Razali, adalah antara 100 karya Singapura yang disajikan di wadah penstriman pencorak trend, Netflix.



Empat daripadanya adalah filem atau drama Melayu bermutu yang menjadi kesukaan ramai. Ini termasuk filem arahan M. Raihan Halim, Banting, dan dua drama Mediacorp Suria, Bunga Tanjong dan Aduh Bibikku.



Langkah memuatkan karya Singapura ini diambil sebagai meraikan Hari Kebangsaan ke-55 negara ini.



Pengenalan filem dan drama Melayu tempatan juga sejajar dengan usaha Netflix memperkasa kandungan dalam bahasa Melayu di samping pengenalan antara muka dalam bahasa Melayu.



Ini membolehkan pengguna Netflix membaca ringkasan cerita dan sarikata baik dalam bahasa Melayu mahupun menonton drama asing seperti drama Korea yang dialih bahasa.



Ketika dihubungi, Cik Rohani berkata:



"Saya sering membaca tentang kejayaan filem Sayang Disayang ini di pesta filem antarabangsa. Kepingin nak menonton filem yang menggandingkan pelakon legenda Datuk Rahim Razali dan aktivis teater mapan Alin Mosbit.



"Mujurlah selepas tujuh tahun filem ini diterbitkan, saya dapat menyaksikannya berulang kali di Netflix dan tertarik pada unsur-unsur tradisional dan nilai-nilai kehidupan yang dipaparkan.



"Ada juga rujukan pada bencana bersejarah tsunami. Menarik juga apabila hidangan sambal goreng yang dimasak Murni turut menjadi teras filem dan satu perlambangan yang diulit dengan baik oleh Sanif dalam menyampaikan asam garam kehidupan."



Mengulas pencapaian filemnya itu, Sanif berkata:



"Apabila penerbitan filem ini bermula seawal 2008, saya dan rakan-rakan tidak pernah menduga suatu ketika nanti, filem ini dapat menjadi filem bahasa Melayu pertama yang dijadikan penyertaan rasmi Singapura ke Anugerah Academy. Kini, satu lagi pencapaian distrimkan ke Netflix yang saya anggap bermakna kerana ia adalah dokumentasi suara Melayu Singapura yang sebelum ini tidak kedengaran bagi wadah antarabangsa."



Turut menanti-nantikan kehadiran filem Melayu Singapura di Netflix adalah karyawan sektor keselamatan, Encik Halil Nasil, 36 tahun, yang pernah bertugas dalam bidang pengurusan pawagam.



"Saya penyokong filem buatan Singapura khususnya yang ada kelainan dan memberi inspirasi buat ramai seperti Banting.



"Dengan filem ini kini menemui penonton di Netflix, saya harap penonton merentasi kaum dan negara dapat menikmati kreativiti karyawan seni Singapura.



"Banting juga menyampaikan pesanan tiada salahnya bermimpi seperti gadis bertudung yang ingin jadi ahli gusti dan berjaya memecahkan tembok stereotaip bahawa dia dibendung dengan penampilan dirinya," jelas Encik Halil.



Beliau mengharapkan lebih ramai sutradara Melayu di Singapura akan tampil dengan kandungan filem yang unik dalam genre aksi, seram atau fantasi.



"Perlu ada lebih banyak jus kreatif yang diperah. Mereka juga harus berani meneroka genre lain daripada kebiasaan kalau ingin pasarkan buat Netflix.



"Saya mengharapkan filem tempatan kita akan keluar dari zon selesa seperti karya Barat yang ditayangkan eksklusif di Netflix. Filem Barat ini kerap kali keluar dari realisme kehidupan tetapi itulah yang menarik," katanya lagi.



Pensyarah Politeknik Ngee Ann, Cik Illydea Ishak, 45 tahun, pula :



"Ramai gemar bernostalgia dengan filem P. Ramlee atau Ali Setan dan Perempuan Melayu Terakhir. Saya juga nantikan kandungan Melayu pencetus inspirasi atau yang mengupas isu sosial di Netflix," katanya.




" Saya sering membaca tentang kejayaan filem Sayang Disayang ini di pesta filem antarabangsa. Kepingin nak menonton filem yang menggandingkan pelakon legenda, Datuk Rahim Razali dan aktivis teater mapan, Alin Mosbit (gambar kanan). Mujurlah selepas tujuh tahun filem ini diterbitkan, saya dapat menyaksikannya berulang kali di Netflix dan tertarik pada unsur-unsur tradisional dan nilai-nilai kehidupan yang dipaparkan."
- Cik Rohani Salleh, penggemar filem.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >