Topik diikuti
Pergi ke BHkuFilem Sudirman dalam fasa awal, bakal papar identiti muzik M’sia
Filem Sudirman dalam fasa awal, bakal papar identiti muzik M’sia
Filem Sudirman dalam fasa awal, bakal papar identiti muzik M’sia
Legasi Penghibur Nasional Malaysia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, dijangka memasuki lembaran baharu apabila kisah perjalanan seni dan pengaruh budayanya dirancang untuk diangkat ke layar perak menerusi sebuah filem biopik yang kini berada pada fasa pembangunan awal.
Lebih daripada sekadar merakam perjalanan seorang legenda, filem itu turut digagaskan sebagai karya yang membawa naratif identiti Malaysia ke pentas antarabangsa dengan menampilkan sejarah kegemilangan muzik tempatan serta semangat perpaduan masyarakat era 1980-an.
Projek berkenaan menerima sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), khususnya dalam pembangunan skrip.
Anak saudara Allahyarham Sudirman, Razman Azrai Zainuddin atau Atai, berkata, sasaran awal adalah merealisasikan filem itu untuk tayangan pada 2028 bergantung kepada sokongan pelbagai pihak termasuk bantuan dana.
Atai, 53 tahun, berkata, filem berkenaan tidak hanya memfokuskan perjalanan hidup Allahyarham Sudirman, sebaliknya menjadi medium memperkenalkan Malaysia melalui nilai budaya dan sejarah yang pernah meletakkan negara pada kedudukan tersendiri di rantau ini.
“Kita mahu mengembalikan semula zaman kegemilangan itu, zaman bagaimana rakyat Malaysia ketika itu bersatu dan berjaya meletakkan nama Malaysia di peta dunia.
“Jalan cerita ini sebenarnya berkisar mengenai perkara itu. Sudah tentu kita menggunakan nama Allahyarham Sudirman kerana beliau mewakili banyak aspek mengenai cara hidup dan keperibadian rakyat Malaysia pada waktu itu.
“Filem ini memang menceritakan mengenai Allahyarham Sudirman, tetapi fokus utamanya adalah untuk mengangkat Malaysia,” katanya pada majlis penghargaan legasi Allahyarham Sudirman di Odeon, Kuala Lumpur, Malaysia.
Menurut Atai, pembangunan projek menunjukkan perkembangan positif apabila skrip sudah tersedia dan perbincangan bersama beberapa pihak produksi turut berjalan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Jalan cerita juga sudah ada. Secara keseluruhannya saya sudah nampak sekitar 70 hingga 80 peratus hala tuju yang ingin dibawa.
“Namun begitu, kita masih memerlukan sokongan peminat Sudirman dan juga syarikat yang pernah beliau bantu sepanjang perjalanan kerjayanya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sasaran tayangan masih terbuka untuk dipercepatkan sekiranya menerima sokongan menyeluruh.
“Ia bukan sekadar filem mengenai Sudirman. Ini adalah filem mengenai usaha meletakkan Malaysia kembali di peta dunia.
“Kita mahu orang mengenali adat dan budaya kita pada era 1980-an serta melihat bagaimana masyarakat Cina, Melayu dan India ketika itu hidup dalam semangat kebersamaan,” katanya.
Berkongsi mengenai cetusan idea, Atai berkata perancangan projek sudah bermula sejak lima tahun lalu dan memerlukan penyelidikan menyeluruh bagi memastikan ketepatan penceritaan.
“Idea ini sebenarnya sudah ada sejak lima tahun lalu. Walaupun banyak perkara mengenai Sudirman berada dalam fikiran saya, ia tetap memerlukan penyelidikan yang tepat dan menyeluruh.
“Ia mengambil masa termasuk masa yang saya perlukan untuk benar-benar memahami hala tuju projek ini,” katanya.
Mengulas pemilihan pelakon, Atai berkata beberapa nama sudah dikenal pasti, namun peluang masih terbuka termasuk kepada bakat baharu.
Pihaknya turut bekerjasama dengan Universal Music Malaysia menerusi program Bintang Universe: Pencarian Sudirman 2.0 selain mempertimbang sesi uji bakat secara dalam talian.
“Kepada sesiapa yang merasakan mereka layak membawa watak itu, mereka dialu-alukan menghantar pencalonan.
“Walaupun bukan daripada kalangan pelakon terkenal, tiada halangan buat masa ini,” katanya.
Atai berkata, aspek dana menjadi antara cabaran terbesar memandangkan pembikinan filem bertaraf antarabangsa memerlukan perancangan lebih besar.
“Untuk filem biasa di Malaysia, anggaran sekitar RM6 juta ($1.8 juta) mungkin mencukupi, tetapi kita akan lihat bagaimana sambutan dan sokongan yang diterima nanti.
“Had dan skala projek ini terbuka berdasarkan sokongan daripada mereka yang mahu menyumbang,” katanya.
Terdahulu, pada majlis penghargaan legasi Allahyarham Sudirman, EMI Music Malaysia di bawah naungan Universal Music Malaysia menyerahkan royalti berjumlah RM367,305.19 kepada keluarga Allahyarham menerusi Sudirman Asset Management.
Royalti disampaikan Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim kepada Atai selaku wakil keluarga Allahyarham Sudirman.
