APABILA anaknya Syamsul Yusof ingin menggabungkan dua genre filem yakni seram dan keagamaan dalam filem Munafik, Datuk Yusof Haslam risau akan keberkesanan formula itu.

Beliau juga resah tentang bajet yang kelak bertambah apabila Syamsul melanjutkan tempoh penggambaran Munafik 2 dari 45 ke 60 hari kerana prihatin akan kesempurnaan.

Namun, setelah melihat hasilnya dan sambutan penonton sejak filem ditayangkan Rabu lalu, Datuk Yusof, 64 tahun, tidak dapat menafikan pilihan tepat yang dibuat anaknya.

"Kita anak beranak harus rajin berkongsi. Selaku ayah, kita pun perlu dengar penjelasan rasional si anak.

"Syamsul ingin menggabungkan dua genre, seram dan unsur keagamaan Islam, dalam Munafik. Katanya 'kalau tak cuba, kita akan sentiasa duduk di takuk lama'.

"Setelah cuba keluar daripada kekotak minda yang biasa, saya dapati campuran dua genre kegemaran orang Melayu kita, iaitu seram dan unsur Islamik, membawa kesan menakjubkan.

"Saya sebak menonton babak terakhir filem ini. Saya menangis dan memeluk Syamsul.

"Saya beritahu kepadanya 'Papa tak sangka kau punyai imaginasi luar biasa sebegini bagi menghasilkan filem sebaik ini yang dapat respons penonton'," ujar Datuk Yusof, ketika ditemui di kafe Kaw Kaw SG.

Beliau datang ke Singapura bagi menemui penonton dan melihat sendiri sambutannya.

Menurutnya, ada hikmah di sebalik kes pembocoran filem KL Gangster 2 yang tersebar di media sosial sebelum tayangan rasmi.

"Syamsul pernah kecewa malah merajuk dan tak nak bikin filem lagi selepas kes tersebut. Tapi, beliau kemudian belajar agama dan bersama sepupunya kaji ajaran Islam secara mendalam. Hasilnya ialah Munafik dan Munafik 2.

"Saya kira filem ini buat kita renung diri. Sesuci mana pun diri kita, pasti ada munafik dalam diri seseorang sebab ada munafik besar dan munafik kecil.

"Kekuatan Munafik 2 terletak pada ayat suci yang dipetik dan kegunaannya serta secara simbolik penceritaan kisah nabi di zaman jahiliah," ujarnya.

Namun, nikmat terbesar Datuk Yusof ialah bakat mengarahnya mengalir kepada dua anaknya Syamsul dan Syafiq.

"Saya hantar mereka ke Akademi Filem agar mereka gabungkan pengalaman saya dengan ilmu teori dan praktikal akademi.

"Setinggi mana belajar, jangan anggap diri kita terbaik. Sentiasa beristiqamah dan kenal diri kita," katanya.