Subuh
5:38
Syuruk
6:54
Zuhur
12:59
Asar
4:00
Maghrib
7:01
Isyak
8:10
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Fuad Rahman temu sinar hidup baru

Naib Juara Anugerah 2003 sudah tiga bulan bina mahligai baru, tujuh bulan jadi duta kereta dan gembira temui anak yang sudah lama terpisah
Jul 17, 2022 | 05:30 AM

PADA usia matang 43 tahun, hati kecil penyanyi Singapura, Mohamed Fuad Abdul Rahman, berkata-kata, "Cukuplah sampai di sini sahaja..." apabila menyentuh tentang kesilapan silamnya mengambil dadah.

Semangatnya cekal dengan tidak tinggalkan solat agar mencari keredaan Tuhan dan meraih ketenangan supaya dirinya kuat menentang dunia kelam dadah yang diharap tidak akan lagi menjerumuskannya.

Sepanjang tempoh panjang dan getir selama 24 tahun, beliau keluar masuk penjara selama lapan kali dek jerat dadah yang payah dilepaskan sejak mula terjebak dengannya pada usia 18 tahun.

Kali terakhir Fuad berjauhan daripada ibu tersayang, Cik Marjuna Basri, dan berada di balik jeriji penjara adalah di antara 2016 dengan 2021.

Di sebalik judul lagu terkininya Patah ciptaan Yazri Malik dengan lirik tulisan bersama Yazri dan Kiambang Mas, segala patah hati yang pernah Fuad lalui kini bak menemui penawar dengan perkembangan terbarunya ini.

Fuad nampak ceria dengan terbukanya beberapa pintu rezeki untuk diterokai yang dikongsi dalam wawancara bersama Berita Minggu, baru-baru ini.

Tiga pembangkit semangat: perkahwinan, kerja baru dan pertemuan semula dengan anak

Antara pembangkit semangat baru buat Fuad adalah perkahwinannya dengan teman lama yang hanya ingin dikenali sebagai Siti Zulaiha, 43 tahun, pada 16 April lalu.

Beliau juga enggan lagi menyanyi di pusat hiburan malam dan sejak Disember lalu menggalas amanah sebagai penjual kereta dan sekali gus Duta W&F Motoring/W&F Automobile Solution Pte Ltd.

Lebih istimewa dan menyejukkan hatinya adalah apabila di ambang Hari Raya Haji lalu, beliau dipertemukan dengan dua anaknya daripada perkahwinan pertama yang sudah 16 tahun terpisah.

"Terlalu banyak yang berlaku dalam kehidupan saya sejak akhir-akhir ini yang membuat saya kuatkan tekad untuk terus berjihad dan 'bubuh noktah' pada perbuatan silam saya yang merugikan.

Kenang pengorbanan ibu

"Umur saya dah 43 tahun. Mak pula dah 80 tahun. Cukup-cukuplah saya merisaukan mak. Dah lama tak sambut Hari Raya bersama mak sebab lama benar saya duduk 'di dalam'.

"Alhamdulillah pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha lalu, saya dapat meraikannya dengan mak. Saya amat bersyukur.

"Pengorbanannya memang tiada tolok bandingnya. Dari saya budak sampailah usia 40-an... keluar masuk penjara, mak tak pernah berputus harap mendoakan dan selalu jenguk saya di sana.

"Mak sanggup buat segalanya untuk anak-anaknya. Tak serik terima saya yang banyak kekurangan dan khilaf walau berkali-kali saya 'tersangkut' dalam hidup," ceritanya.

Kesedaran yang kuat mahu berubah menyentak hati dan mindanya kali terakhir masuk penjara selama lima tahun.

Perbanyak ibadah agar tenang

Terlalu banyak tempoh menyedihkan yang telah Fuad harungi dengan wajah ibunya sentiasa terbayang dalam fikiran.

Namun, menyedari hati manusia yang mudah berbolak-balik, beliau akur takut ingin janjikan sesuatu kerana keadaan boleh berubah sekelip mata.

"Cuma apa yang boleh saya katakan, saya perbanyakkan solat dan kuatkan tekad tak nak hidup macam dulu lagi. Apabila masuk waktu solat, saya akan berhenti di mana-mana masjid untuk segera mengerjakan solat.

"Alhamdulillah, ketenangan yang saya cari dapat saya rasakan. Saya dapat rasa perubahannya, bersyukur diberitahu ujian air kencing saya 'bersih' dan tiada kesan dadah seperti dulu.

"Saya juga jalani kaunseling secara tetap, sibukkan diri belajar cara menjadi jurujual kereta yang baik serta ditemani isteri yang juga sahabat lama yang memahami tuntutan tugas saya sebagai penyanyi dengan hampir 80 peratus peminat wanita," tambah Fuad.

Fuad, naib juara Anugerah 2003, dikenali kerana vokal lunaknya yang mampu menyanyikan lagu bernada tinggi.

Daya tarikan vokalnya dalam beberapa lagu termasuk yang 'meletup' di corong radio, Bila Rindu, menempatkannya sebagai antara bakat Singapura yang diyakini mampu berdiri sama tinggi dengan bakat di Malaysia bahkan disebut-sebut sebagai calon peraduan realiti Gegar Vaganza 9 (GV9) tahun ini.

Hargai sokongan peminat dan media

Di sebalik semua dugaan hidup, Fuad amat hargai sokongan, dorongan dan doa pencinta muzik di Singapura yang tidak putus-putus ingin melihatnya kembali dalam arena muzik dengan semangat baru.

"Apabila saya dihubungi bagi menyanyikan bersama Daly Filsuf runut bunyi drama Anak Metropolitan 4.0, saya cukup berterima kasih kepada pihak Eaglevision kerana sentiasa beri saya peluang walau saya beberapa kali kecundang.

"Mengenai lagu terkini saya Patah pula, ia hasil pengamatan saya tentang hubungan sebilangan banduan yang terputus dengan orang tersayang sepanjang mereka dipenjara. Ada yang bercerai. Ada yang meninggal dalam penjara. Semuanya menginsafkan saya," jelasnya.

Teman main peranan

Satu perkara yang Fuad tekankan dalam merenung perjalanan hidupnya adalah mahu keluar daripada lingkaran musibah kelompok yang bergaul dengannya.

"Sebab itu kalau anak muda di luar sana tanya kepada saya apa yang perlu dilakukan untuk bebaskan diri daripada jenayah seperti dadah, saya katakan bina kelompok teman baru yang lebih positif.

"Siapa kita campur, siapa kita berbual semuanya penting. Saya tak salahkan kawan. Saya sendiri yang salah. Mereka tak ajak saya ambil 'barang' tu. Tapi apabila kita muhasabah diri, sangat perlu untuk kita bina lingkaran sahabat yang baru, yang boleh dorong kita ke arah kebaikan," jelas Fuad.

Harap isteri faham kerjaya penyanyi

Kehidupan barunya bersama Siti Zulaiha, seorang kakitangan awam yang juga bekas pramugari, memang tidak dirancang.

"Kami kawan lama. Umur kami 23 atau 24 tahun ketika mula mengenali. Sepanjang tempoh itu, hubungan kami 'on-off'.

"Apabila jumpa balik, saya langsung masuk meminang sebab sudah bersedia bina rumah tangga baru. Dia terima saya dengan hati terbuka. Mak saya hairan macam mana boleh dapat wanita berkerjaya sepertinya dalam keadaan saya sebegini.

"Isteri pula suka 'low profile' tapi saya beritahu kepadanya lambat-laun orang pun akan tahu dan dia perlu sesuaikan dirinya dengan keadaan memandangkan saya penyanyi.

"Bagi meyakinkannya agar tidak sangsi dengan niat saya yang hanya ikhlas mencari rezeki dengan menyanyi, saya sering membawanya ke acara di mana saya diundang menyanyi," tambah Fuad yang akan membuat persembahan di Gegar Fest di Pusat Konvensyen Suntec hujung bulan ini.

Terubat rindu pada anak

Tentunya lapang hati Fuad apabila anak-anaknya yang dicari-cari selama ini dan berusia 16 tahun dan 18 tahun kini dapat ditemui semula.

"Apabila anak sulung saya hubungi syarikat jual kereta tempat saya bertugas dan meninggalkan pesan kepada seorang rakan sekerja agar saya hubunginya semula, itulah hari paling bahagia buat saya.

"Saya bukan tak cari mereka tetapi hakikatnya apabila ibu bapa berpisah, yang tersepit dalam dilema adalah anak-anak. Ibu mereka pada masa itu masih marahkan saya dan enggan saya bertemu anak-anak.

"Kami masing-masing punya silap. Apabila usia kami berdua sudah meningkat, syukur Allah bukakan hatinya untuk izinkan saya bertemu anak-anak. Bekas isteri pun sudah berkahwin dan ada kehidupan sendiri. Saya maafkannya dan doakan kebahagiaannya. Saya pun mohon maaf kepadanya," tambahnya.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3