PENYANYI kelahiran Singapura dan peserta Gegar Vaganza 9 (GV9), Fuad Rahman, 43 tahun, mengesahkan beliau bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya yang juga peserta GV9, Tom (Raja Farah Afzal), 36 tahun, sebelum Ramadan ini.
Fuad berkata beliau juga merancang untuk mengadakan majlis pernikahan iaitu perkara yang wajib terlebih dulu, lapor Harian Metro.
"Perancangan untuk majlis pernikahan ini juga mendapat restu daripada keluarga kedua belah pihak. Kami mahu mengadakan majlis pernikahan terlebih dulu dan majlis resepsi pula mungkin akan dibuat selepas Aidilfitri nanti," katanya.
Bercerita mengenai perkembangan kerjayanya, Fuad berkata, beliau terbabit dengan pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati - Fauziah Ahmad Daud (Ogy) yang dipentaskan pada 8 malam Sabtu (11 Februari) di Gateway Theatre, Singapura di mana beliau akan menyampaikan dua lagu popular iaitu Azura dan Sandarkan Pada Kenangan (duet bersama Ogy).
Tom turut hadir di acara berkenaan untuk memberi sokongan.
Sementara itu, hubungan akrab Fuad dan Tom bukan lagi rahsia kerana sudah menjadi bualan ramai sejak mereka sama-sama menyertai program GV9.
Sebelum ini, Fuad pernah berkahwin dua kali dan Tom pula tiga kali. Mereka juga sudah mempunyai anak-anak yang sudah mencecah usia belasan tahun. - HARIAN METRO


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg