Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gadis Pakistan teruja jadi wira Marvel Islam pertama

Sep 1, 2021 | 5:30 AM
IMAN VELLANI: Tidak menduga impian menjadi nyata baginya menghidupkan watak Kamala Khan atau Ms. Marvel dalam siri drama Disney+ dan sekali gus mencetus inspirasi buat gadis Islam lain dan kaum minoriti. - Foto INSTAGRAM IMAN VELLANI OFFICIAL
IMAN VELLANI: Tidak menduga impian menjadi nyata baginya menghidupkan watak Kamala Khan atau Ms. Marvel dalam siri drama Disney+ dan sekali gus mencetus inspirasi buat gadis Islam lain dan kaum minoriti. - Foto INSTAGRAM IMAN VELLANI OFFICIAL -

BAKAT remaja Canada yang berketurunan Pakistan dan beragama Islam, Iman Vellani, tidak pernah berlakon sebelum ini.

Gadis 19 tahun itu hanya mencuba nasib menjalani sesi uji bakat bagi watak utama dalam siri drama Disney+ berpandukan jalan cerita komik Marvel, Ms. Marvel, dua tahun lalu.

Sebelum ini, beliau yang datang dari keluarga yang berhijrah dari Pakistan ke Canada, merupakan anggota Jawatankuasa Pelajar Pesta Filem Antarabangsa Toronto (TIFF) yang dipanggil Next Wave pada 2019.

Dalam satu rencana laman Variety, Iman, lulusan Sekolah Tinggi Unionville, menceritakan pengalamannya menggalas peranan utama sebagai Kamala Khan dalam Ms. Marvel.

Beliau juga dilamar bagi filem Marvel, The Marvels, yang menggabungkannya dengan pelakon Brie Larson, pemegang watak adiwira Captain Marvel.

"Saya memang tidak pernah berlakon di layar televisyen atau layar perak sebelum ini.

"Memandangkan watak saya ini turut disertakan dalam Dunia Sinematik Marvel (MCU), itu yang lebih mustahak.

"Saya tidak perlu menceritakan secara panjang lebar tentang diri Kamala Khan sebagai adiwira berbangsa Pakistan dan seorang gadis beragama Islam.

"Segalanya jelas dipaparkan dalam siri drama ini. Bagi saya, terharu rasanya apabila saya terlibat dalam projek sebesar ini. Ia akan memberi inspirasi buat gadis Islam lain atau kaum minoriti lain," jelasnya.

Iman membawakan watak Kamala, gadis 16 tahun yang menetap di New Jersey, Amerika Syarikat, dalam Ms. Marvel.

Baginya, idolanya dalam MCU adalah Captain Marvel sehinggakan pada masa lapangnya, beliau turut menulis cereka mengenai watak ini dan selanjutnya mampu membangun dirinya menjadi insan perkasa dari segi semangat dan visi masa depan.

Ms. Marvel yang awalnya dijadualkan disiarkan di Disney+ hujung tahun ini turut dibintangi Aramis Knight sebagai pengawas keselamatan sukarela, Red Dagger; Matt Linz sebagai kawan baik Kamala, Bruno Carrelli; Mohan Kapur sebagai bapa Kamala, Yusuf dan Zenobia Shroff sebagai ibunya.

Lewat tahun lalu, sisipan treler filem ini turut disiarkan pada Hari Pelabur Disney.

Namun, Disney+ menjelaskan siri mini adiwira Hawkeye akan disiarkan pada 24 November dan dijadualkan tamat siaran pada 29 Disember.

Ini bermakna siaran Ms. Marvel mungkin ditunda hingga tahun depan.

Kebiasaannya, Disney+ menyiarkan semua drama barunya setiap Rabu. Drama berdasarkan francais Star Wars,The Book of Boba Fett, juga akan disiarkan pada Disember, menjadikan jadual Disney+ begitu sarat dan padat.

Laman TVLine pula melaporkan Ms. Marvel kemungkinan disiarkan awal tahun depan.

Penggambaran bagi drama ini dibuat di Atlanta, New Jersey dan Thailand.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg