Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Gaji' pelipur lara galak jimat wang, hindar hutang

Gabungan suara 'rapper' SG dan 'YouTuber' M'sia sebagai peringatan pandemik
Oct 04, 2021 | 05:30 AM



Wang mampu membuat anda senang, tetapi kadangkala menimbulkan kesulitan. Kerana kesan wang begitu banyak dalam kehidupan menjadi bahan dalam penceritaan lagu artis setempat, di negara seberang mahupun di Barat. BERITA HARIAN melaporkan.




SEBUT tentang duit, ramai yang pasti teruja apabila memilikinya dalam bentuk gaji, bonus atau ganjaran apabila berniaga dan meraih pulangan lumayan.



Namun, kalau tak pandai jaga kewangan dan belanja berhabisan sejurus duit ada dalam tangan, ramai yang akan terasa keperitan dan bebanannya.



Lebih-lebih lagi kalau dicerut dengan hutang keliling pinggang.



Mengenang pelbagai situasi yang berlaku di sekelilingnya mahupun yang kadangkala menimbulkan masalah peribadi, rapper Singapura, Young Khalifa (YK) atau nama sebenarnya, Muhammad Iskandar Roswira, 26 tahun, muncul dengan idea lagu Gaji.



Lagu ciptaan bersama Amyr Abadawn dan YK ini didendangkan YK bersama 'YouTuber' kacukan Peranakan Cina dan suku kaum Rungus dari Sabah, Sheron Tan, 27 tahun.



Tan yang membesar di Johor Bahru kini jururawat di Singapura.



Ikuti wawancara Berita Harian bersama kedua-duanya mengenai lagu 'Gaji' yang menyelongkar perjalanan hidup seseorang yang miskin dan memerlukan wang.



Apabila mendapat gaji hasil kerja kerasnya, dia tidak lupa pada jasa ibunya, malah merasakan nikmat pendapatan tersebut untuk dikongsi bersama ibu.



YK dan Sheron merasakan Gaji yang turut diedarkan di Malaysia menerusi label rakaman Map Music menggalak orang ramai agar terus berusaha dan jangan putus asa, lebih-lebih lagi dalam kesulitan pandemik Covid-19 ini.



SOALAN (S): Dari manakah datangnya idea bagi lagu 'Gaji'?



YK: Lagu ini tercetus daripada pengalaman peribadi YK dan juga Abang Amyr, selaku penyusun irama lagu ini. Saya memberikannya melodi yang muncul dalam fikiran. Dia bantu memperhalusinya.



Bagi saya, setiap manusia akan berdepan dengan masalah duit. Biasanya, semasa tempoh dapat gajilah, kita selalu selesaikan segala hutang-piutang kita.



Sayangnya, dalam keghairahan kita dapat gaji, kita selalu boros sampai terlupa membayar bil dan hutang kad kredit kita.



S: Bagaimanakah timbul rancangan berganding dengan Sheron yang jauh beza genre nyanyiannya?



YK: Abang Amyr yang pernah bekerjasama dengan Sheron timbulkan idea agar kami berduet.



Beliau mengambil kira latar belakang dan suara kami berdua dan melihat keserasian.



Lagipun, kecenderungan muzik kami memang jauh beza. Justeru, akan kedengaran unik kalau kami bersatu tenaga mendendangkan Gaji bersama.



S: Secara peribadi, apakah pandangan anda tentang intipati lagu 'Gaji' ini?



YK: Lagu ini mendidik kita agar selalu berjimat cermat. Jangan boros dan harus bersedia menghadapi pasang surut kehidupan, lebih-lebih lagi dalam tempoh krisis seperti pandemik Covid-19 ini, banyak pekerjaan terjejas dan ekonomi digugat.



Dalam kesulitan ini, apabila kita nak berbelanja pun, beringat-ingatlah. Buat perkiraan dan pertimbangan dengan penuh hati-hati sebelum membeli sesuatu. Jangan berhabisan.



SHERON: Lagu ini menasihati orang ramai agar peka akan keadaan semasa dan simpan wang pendapatan anda.



Bersyukurlah walaupun gaji tak banyak. Kadangkala anda tak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Mungkin hilang pekerjaan kerana pandemik.



Jika tabiat berjimat cermat dan menyimpan wang sudah dipupuk sejak kecil, jika timbul kecemasan, kita sudah ada simpanan untuk digunakan. Jadi, rajin-rajinlah menabung untuk hari hujan.



S: Apakah pandangan YK terhadap Sheron dan Sheron pula mengenai YK?



YK: Sheron mempunyai suara yang unik dan manja. Beliau mudah membawa lagu Melayu dengan baik.



Senang berurusan dengannya kerana Sheron mudah menyesuaikan dirinya dalam sekitaran persada muzik Melayu.



SHERON: YK gigih berusaha dalam mengeluarkan lagu yang mempunyai pesanan sosial. Beliau sangat rendah hati dan tidak sombong.



Senang bekerjasama dengannya sebab YK akan selalu berikan saya galakan apabila saya kurang yakin menyanyikan lagu Gaji ini dengan baik.



S: Apakah yang anda harap pendengar dapat hadam selepas mendengar lagu 'Gaji' ini?



YK: Saya harap pendengar dapat memahami maksud yang tersirat dalam lirik lagu ini. Antara teras lagu ini adalah galakan agar kita pandai mengurus wang dengan baik.



Elakkan daripada tabiat boros. Jika tidak, malam-malam nanti, kita akan terbiar menggigit kuku kerana terfikirkan soal hutang yang belum langsai.



SHERON: Saya harap selepas mendengar lagu Gaji, pendengar akan rasa bersyukur dengan setiap rezeki mereka.



S: Sambungkan ayat ini, 'Gaji memberikan saya...'



YK: Gaji memberikan saya kepuasan kerana setelah penat bekerja, saya mendapat hasil titik peluh saya sendiri.



SHERON: Gaji memberikan saya peluang untuk membeli makanan yang sedap!



S: Sambung pula ayat ini, 'Kalau dapat gaji...'



YK: Kalau dapat gaji, saya akan selesaikan bayaran bil dan bayaran kad kredit. Saya akan juga ketepikan wang gaji saya untuk bersedekah kepada golongan yang memerlukan. Gaji saya pun saya berikan kepada ibu bapa bagi mendapat keberkatan.



SHERON: Kalau dapat gaji, saya akan berikan kepada ibu bapa saya yang banyak berjasa.



S: Bagaimana pula dengan ayat berikut, 'Gaji pertama saya...'?



YK: Gaji pertama saya, sejujurnya, saya gunakan bagi membeli sejadah buat ibu dengan saya memohon setiap solatnya diiringi dengan doa yang baik buat kesejahteraan saya dunia akhirat.



SHERON: Gaji pertama saya digunakan untuk belanja makan, berikan kepada ibu bapa saya serta derma buat golongan memerlukan.



S: Sekarang ini, jarang benar kita dengar lagu ala 'Gaji' dengan industri muzik banyak dibanjiri lagu cinta. Namakan tiga lagu tentang wang atau mengenai nilai hidup yang memberi impak buat anda.



YK: Lagu Bruno Mars, 'Billionaire'. Lagu ini memberikan kita bayangan apa akan jadi kalau suatu hari kita kaya.



Lagu 'Kalau Aku Kaya' oleh Altimet dan Awi Rafael. Lagu ini memberi kita semangat berjuang dan mengumpul duit buat masa depan.



Lagu 'Hutang' oleh Floor 88. Ia memberikan kita peringatan agar langsaikan hutang... jangan sampai bertepek. Dapat gaji, lunaskan dulu hutang.



SHERON: Saya suka lagu tentang kehidupan, kasih sayang terhadap ibu bapa atau yang memperkenalkan asal-usul kita.



Pilihan saya adalah lagu ciptaan ibu saya sendiri, 'Imuhun'; lagu Atmosfera dan Floor 88, Original Sabahan dan Jimmy Palikat, Anak Kampung.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >