Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaya retro, minimalis fesyen pilihan Raya 2024

INSPO GAYA
Apr 2, 2024 | 5:30 PM
Fesyen retro antara fesyen terhangat pada Aidilfitri pada 2024.
Fesyen retro antara fesyen terhangat pada Aidilfitri pada 2024. - Foto KHATAM

Meninjau beberapa butik ternama pada 2024, banyak menawarkan tema retro bagi koleksi Raya mereka.

Meskipun kebanyakannya masih mengekalkan potongan klasik pakaian Melayu tradisional, seperti kebaya dan baju kurung, sentuhan gaya fesyen retro kian popular dalam kalangan butik baju Melayu.

Mari kita teroka trend hangat ini.

BERMOTIF ANEKA RUPA

Fesyen Raya yang ditawarkan butik Inai & Co ini menampilkan pakaian Melayu tradisional seperti kebaya dan baju kurung yang disertakan dengan corak motif berwarna cerah dan terang.
Fesyen Raya yang ditawarkan butik Inai & Co ini menampilkan pakaian Melayu tradisional seperti kebaya dan baju kurung yang disertakan dengan corak motif berwarna cerah dan terang. - Foto INAI & CO

Apabila menyebut tentang fesyen retro, pakaian berwarna terang atau bercorak motif unik pasti terukir dalam kotak fikiran kita.

Jika merujuk pada gaya fesyen akhir 1970-an hingga awal 1980-an, kebanyakan pakaian sedemikian melahirkan gaya bertemakan disco, iaitu menampilkan pakaian bercorak warna terang atau bermotif besar.

Banyak butik di rantau ini memaparkan pakaian baju kurung atau kebaya pendek yang turut menghidupkan kembali estetik retro, dengan corak motif itu pada seluruh baju tersebut.

Disertakan warna baju cerah seiring dengan fesyen disko dahulu, Raya kali ini pasti menarik perhatian banyak mata yang memandang.

TUDUNG BAWAL
ATAU ‘SHAWL’
BERCORAK

‘Shawl’ bercetak berbunga-bunga seperti dalam gambar ini juga menjadi pilihan ramai wanita sejak kebelakangan ini.
‘Shawl’ bercetak berbunga-bunga seperti dalam gambar ini juga menjadi pilihan ramai wanita sejak kebelakangan ini. - Foto WITHSOOF

Bukan baju sahaja, malah tudung turut terikut dalam trend corak itu.

Dek menjiwai trend retro yang kembali hangat pada 2024, tudung shawl dan bawal bercetak menjadi pilihan ramai untuk Raya kali ini.

Butik ternama seperti Naelofar dan TudungPeople antara pengikut trend tudung tersebut.

Tawaran tudung dengan cetak berbunga-bunga atau geometrik kian popular dalam kalangan wanita yang menampilkan gaya manis serta vintaj.

Tudung bawal yang boleh disifatkan sebagai gaya tudung ‘lama’ dari awal 2000-an turut kembali popular dalam kalangan remaja hari ini.

Walau dikatakan gaya ‘lama’, tudung bawal kian popular semula disebabkan gayanya yang boleh meningkatkan seri dan keanggunan.
Walau dikatakan gaya ‘lama’, tudung bawal kian popular semula disebabkan gayanya yang boleh meningkatkan seri dan keanggunan. - Foto NAELOFAR

Pempengaruh dan selebriti media sosial seperti Aida Razman dan Mira Filzah kerap dilihat mengenakan pakaian harian sedondon dengan tudung bawal bercetak warna sama.

Bergaya dengan tudung bawal bercetak, pemakai bukan sahaja kelihatan berseri, malah kemas dan profesional.

Sudah tentu gaya bawal itu dijangka menjadi ikutan ramai menjelang Lebaran ini.

CORAK KOTAK-KOTAK

Baju kurung Kedah daripada butik Whimsigirl ini menjadi pilihan unggul untuk Hari Raya ini.
Baju kurung Kedah daripada butik Whimsigirl ini menjadi pilihan unggul untuk Hari Raya ini. - Foto WHIMSIGIRL

Dalam meniti arus kemodenan, pasti ada yang tetap lebih berminat dengan gaya minimalis, bertentangan dengan trend fesyen Raya retro sekarang ini.

Bagi memenuhi cita rasa yang berbeza, banyak butik turut menawarkan baju kurung Kedah bercetak kotak-kotak atau ‘plaid’.

Bagi yang teringin bergaya retro tetapi tidak begitu serasi dengan warna cerah yang tersedia, fesyen corak kotak-kotak boleh menjadi alternatif yang sesuai.

Bagi bercita rasa minimalis, baju kurung Kedah bercetak kotak-kotak oleh Calaqisya boleh menjadi pilihan anda.
Bagi bercita rasa minimalis, baju kurung Kedah bercetak kotak-kotak oleh Calaqisya boleh menjadi pilihan anda. - Foto CALAQISYA

Corak tersebut, yang kerap ditampilkan dengan kain dan baju sedondon, menonjolkan gaya chic serta vintaj bagi pemakai.

Walau tidak begitu berwarna-warni, ia tetap serasi dengan gaya retro yang popular Raya ini.

KEBAYA PENDEK BAJU LINEN

Baju linen memang sesuai dipakai dalam cuaca bahang seperti di Singapura.
Baju linen memang sesuai dipakai dalam cuaca bahang seperti di Singapura. - Foto ANAABU

Baju bahan linen turut memikat ramai pada 2024, terutamanya peminat gaya minimalis.

Menggunakan bahan linen atau rayon menambah dimensi kepada baju Lebaran, dengan menyumbang kepada aspek tesktur bagi pakaian itu.

Tekstur boleh menjadikan pakaian lebih menarik dan bergaya.

Potongan pendek bagi kebaya juga antara trend fesyen Aidilfitri ini.
Potongan pendek bagi kebaya juga antara trend fesyen Aidilfitri ini. - Foto KHATAM

Tinjauan Berita Harian mendapati kebaya pendek ialah antara potongan amat popular bagi Raya ini.

Pakaian kebaya pendek yang popular kali ini diperbuat daripada linen atau rayon, yang jarang digunakan untuk baju Raya.

Gabungan bahan linen dan rayon bersama baju kebaya pendek dapat menonjolkan gaya lebih unik dan terserlah classy!

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg