Topic followed successfully
Go to BHkuGegar Vaganza 9: Jaclyn 'Gemilang' di minggu pertama; peserta S'pura dipesan atasi gementar
Gegar Vaganza 9: Jaclyn 'Gemilang' di minggu pertama; peserta S'pura dipesan atasi gementar
Gegar Vaganza 9: Jaclyn 'Gemilang' di minggu pertama; peserta S'pura dipesan atasi gementar
"Berjuta bintang menyanyi Ku di antara yang satu Mungkin cahaya dan impianku Di sini gemilang Lalu ku redah onak duri Dan lautan api Kemuncaknya ingin ku tawan Aku jelajahi oh Kini gemilang itu Semakin pasti ku genggam Gemilang suara keyakinan kian dalam Gementar harus jangan Jiwaku harus bertenaga Mungkinkah ini (mungkinkah ini) Menjadi realiti..."
LAGU Gemilang yang berusia 18 tahun dinyanyikan juara Malaysian Idol, Jaclyn Victor, sebagai penutup tirai konsert minggu pertama Gegar Vaganza 9 (GV9) yang mula bersiaran dari Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad (18 September).
Penuh bersemangat dan bak menyuntik inspirasi pada malam hari.
Ia menjadi medley bersama satu lagi lagu 'hit' Jaclyn, Di Bawah Pohon Asmara.
Tenaga dan keikhlasan Jaclyn membawa dua lagu tersebut ternyata memukau barisan pengadil yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan juri jemputan, Rahimah Rahim, dari Singapura.
Jaclyn, 43 tahun, mendapat 88.4 peratus mata, dan sekali gus mendahului 12 peserta lain.
Di tempat kedua adalah naib juara One In A Million (Musim Kedua) dan juara Asian Wave di Shanghai, China, Shila Amzah (85 peratus) manakala tempat ketiga jatuh pada juara One In A Million (Musim Ketiga), Tomok (84.1 peratus).
Tempat keempat milik naib juara Malaysian Idol, Dina Nadzir (83.8 peratus) disusuli dengan finalis Akademi Fantasia 2 dan AF Megastar 2017, Bob Yusof (83.6 peratus), di tempat kelima.
Peserta Singapura Fuad Rahman yang menyanyikan lagu 'hit' beliau Bila Rindu berada di tangga ke-10 dengan markah 63.7 peratus manakala pelantun lagu Kaulah Segalanya, Hazrul Nizam pula menerima 56.2 peratus di tangga ke-13.
Adeep Nahar, penyanyi kelahiran Singapura, yang bertanding bersama kumpulan VE pula di tangga kelapan dengan markah 67.1 peratus.
Awalnya, sebilangan warganet mempertikai penyertaan penyanyi yang masih lagi aktif menyanyi seperti Jaclyn dan Shila dalam peraduan ini.
"Jaclyn memilih ruang yang tepat untuk berkarya di Gegar Vaganza 9 untuk terus kekal relevan," kata Datuk Ramli MS ketika mengulas persembahan Jaclyn yang pernah memenangi pingat emas pada Peraduan Penyanyi Baru Asia di Pesta Muzik Shanghai, China, pada 2005.
Lagu taruhannya juga Gemilang.
Shila, 32 tahun, pula disifatkan Ramli sudah matang dan mampu mengawal suaranya dengan baik.
"Awak masih muda lagi...perjalanan masih panjang...Saya harap awak dapat lengkapi terus diri awak dengan ilmu vokal agar boleh pergi jauh lagi dalam bidang seni," kata Ramli.
Tomok, 38 tahun, yang bermula sebagai vokalis kumpulan remaja New Boys pada tahun 1990-an pula didapati Hetty mempunyai penghayatan yang baik tetapi dipesan agar terus berjuang dan tidak mudah berpuas hati.
Syafinaz menambah: "Tomok dari dahulu terbukti memiliki semangat juang dan tidak mudah mengaku kalah."
Fuad, 43 tahun, dan Hazrul, 42 tahun, dinasihati Syafinaz agar tidak gementar dan luputkannya dengan tidak terlalu memikirkan khalayak ramai di hadapan mereka mahupun juri.
"Saya perlu mencari di YouTube siapa Fuad Rahman dan apabila mendengar suara awak, saya terfikir...'wow' ini bukan peserta yang harus kita 'underestimate'. Tapi saya kesan tadi suara ada sedikit gementar. Tak perlu takut.
"Ada ramai peminat di Singapura yang mengharapkan dan menyokong awak Fuad...jadi untuk minggu-minggu mendatang, saya harap awak berikan yang terbaik untuk mereka," kata Syafinaz.
Pesanan untuk atasi rasa gementar dengan lupakan ada ramai yang menyaksikan persembahannya turut disampaikan buat Hazrul.
Apa pula kata warganet?
Kata Fida:
"Jaclyn Victor dah 'trending' di Twitter sekarang. Jaga diri dan angkat trofi GV9!"
Tidak kurang pula yang tanya apakah persembahan minggu pertama ini sudah sampai ke kemuncak peringkat akhir sebab bahangnya lain macam.
Ada pula yang menambah: "Ini Anugerah Juara Lagu (AJL) atau Gegar Vaganza (GV)?"
Nota: GV9 bersiaran setiap Ahad di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) mulai 9 malam.
