Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gegar Vaganza segarkan kerjaya, kukuh jenama Noraniza

Oct 7, 2020 | 5:30 AM
BUAT PERSIAPAN: Sejak beberapa minggu ini, Noraniza telah menjalani latihan intensif meliputi bimbingan vokal dan kecergasan stamina di ambang konsert pertama GV7 Ahad ini. - Foto NEON PIXEL
BUAT PERSIAPAN: Sejak beberapa minggu ini, Noraniza telah menjalani latihan intensif meliputi bimbingan vokal dan kecergasan stamina di ambang konsert pertama GV7 Ahad ini. - Foto NEON PIXEL -

SEBUT sahaja nama Ratu Irama Etnik, Noraniza Idris, akan terbayanglah kemeriahan dan warna-warni pentas persembahan yang terisi dengan penari budaya dan pemuzik tradisional Melayu.

Senario sebegini dalam acara seperti pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) bak diulang tayang dalam minda, mewujudkan suasana pesta gilang-gemilang

Apakah ini dapat disaksikan tatkala beliau memasuki gelanggang pertandingan Gegar Vaganza 7 (GV7) yang akan membuka tirainya mulai 9 malam di saluran Astro Ria, Ahad ini?

Ketika dihubungi melalui panggilan jauh, Noraniza, 52 tahun, yang terkenal dengan lagu Awallah Dondang dan Tinting, berkata:

"Kalau nak difikirkan, memanglah saya tak nak masuk peraduan ini sebab dah umur-umur begini, tak perlu streskan diri dengan peraduan dan demi menjaga hati suami dan anak-anak.

"Tawaran masuk GV datang sejak 2016 lagi tetapi saya menolak. Lagi pun, sejak 2007 lagi, saya sudah tidak lagi dalam lingkungan zon industri hiburan Malaysia dan tidak begitu tahu-menahu tentang perkembangan dan perubahannya yang pesat dek penguasaan dunia digital.

"Sebabnya, saya sibuk dengan amanah memajukan irama tradisional dan kerja-kerja memasyarakatkan kegiatan kebudayaan.

"Namun pada 1 September lalu, saya ibarat berjalan menembusi cermin yang bawa saya ke dalam dunia baru apabila syarikat pengurusan Mind Order yang ditugaskan Astro melamar saya beri kejutan dengan usulan saya masuk bertanding dalam GV7. Ingat mereka nak berbincang tentang produk dan pelan perniagaan. Rupanya nak minta saya masuk GV7.

"Walau apa pun, saya minta keizinan suami, Haji Jeffri Iman Hoodi. Kalau beliau tidak izinkan, tak jadilah. Selepas suami solat sunat dua rakaat, beliau izinkan dengan meminta budi baik pihak Mind Order memastikan syarat tertentu seperti menjaga penampilan saya, busana saya dan peka mengenai pilihan lagu agar tidak tampak keterlaluan diperhatikan."

Ibarat satu kejutan buat Noraniza apabila jadual padatnya buat GV7 diatur dengan beliau menghadiri pelbagai sesi rakaman Astro yang baginya satu pembaharuan.

"Saya dah lama tak buat promosi atau wawancara televisyen sebegini, apa lagi banyak yang ditekankan adalah tuntutan promosi media digital. Macam kekok. Oh begini pesatnya perubahan dunia hiburan. Tapi, saya biarkan minda terbuka demi melihat arah tuju kerjaya seni saya ke arah yang positif.

"Saya akan terus rebut peluang ketengahkan irama tradisional di pentas komersial. Saya berharap ia pembuka jalan bagi generasi muda mengenali lagu tradisional dan kerja seni saya sebelum ini," tambahnya.

Sepanjang 35 tahun bergelar anak seni, inilah kali pertama Noraniza menjalani latihan vokal terperinci yang menekankan unsur teknikal lontaran suara.

Di GV7, beliau dibimbing juara GV5, Noryn Aziz. Beliau juga mempunyai guru vokal sendiri, Azizul Haqim, peserta Dangdut Academy Asia 3 (DAA3) yang terlatih juga dalam nyanyian tradisional.

"Saya juga melalui latihan kecergasan mempertingkat stamina. Alhamdulillah, anak saya seorang jurulatih kecergasan peribadi. Saya dapat lakukan senaman membantu pernafasan dan membuka rongga diafragma. Pemakanan pun saya jaga bagi memantapkan kadar metabolisme," katanya.

Mengenai warganet yang pasti laju dengan komen di media sosial, Noraniza berkata:

"Saya melalui tiga fasa kerjaya seni - ketika baru bermula sebagai penyanyi, sewaktu memajukan irama tradisional sebagai tukikan dan mengorak langkah memasuki GV7.

"Pada fasa pertama, orang kata saya ni penyanyi sendu. Saya masih baru, jiwa terguris. Pada fasa kedua, saya lebih berani menegakkan pendirian tapi dek diulit isu-isu kontroversi dan kecaman, saya cepat melatah dan merajuk.

"Sekarang masuk fasa ketiga. Saya hanya tumpukan pada komen membina di media sosial atau nasihat memajukan diri dan persembahan. Selebihnya, yang mengecam, mengutuk atau mencerca dengan kata-kata kesat, saya tak nak ambil tahu dan takkan baca."

WAWANCARA BERSAMA BH

"Kalau nak difikirkan, memanglah saya tak nak masuk peraduan ini sebab dah umur-umur begini, tak perlu streskan diri dengan peraduan dan demi menjaga hati suami dan anak-anak... Namun pada 1 September lalu, saya ibarat berjalan menembusi cermin yang bawa saya ke dalam dunia baru apabila syarikat pengurusan Mind Order yang ditugaskan Astro melamar saya beri kejutan dengan usulan saya masuk bertanding dalam GV7... Saya berharap ia pembuka jalan bagi generasi muda mengenali lagu tradisional dan kerja seni saya sebelum ini." - Noraniza Idris.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg