Berbekalkan kelengkapan kamera, Encik Muhammad Rifqi Solihin Muhammad Hairi, mengembara ke tempat di China yang jarang diterokai masyarakat Melayu Singapura.
Dengan kameranya itu, beliau memutuskan untuk merakam kegiatan sehariannya berinteraksi dengan warga tempatan dan memuat naik video itu ke akaun media sosialnya.
Niat pemuda berusia 24 tahun itu sebenarnya untuk meminta pandangan dan bantuan pengikutnya untuk memperbaik bahasa Mandarin supaya dapat berkomunikasi dengan lebih mudah.
Namun, beliau tidak menyangka video itu menjadi tular dan mendapat banyak tontonan.
“Ia sebenarnya bermula dengan tidak sengaja. Saya mahu menunjukkan pengalaman mengembara ke negara asing sambil berkongsi cabaran yang saya hadapi sepanjang berada di sana dan cara saya mengatasinya.
“Selepas video pertama itu mendapat perhatian dan menjadi tular, saya memutuskan untuk meneruskan video ini sebagai satu siri,” jelasnya kepada Berita Minggu (BM).
Encik Rifqi, seorang pencipta kandungan dan jurugambar video yang bekerja sendiri, mula membuat video bersiri ini apabila beliau mengembara ke China pada awal 2025.
Dalam video pertama bertajuk, ‘Malay guy tries ordering food in Chinese’, yang dimuat naik ke akaun media sosial beliau di TikTok dan Instagram, @reefkey__, beliau cuba memesan makanan dari sebuah gerai makanan di tepi jalan di Xi’an menggunakan bahasa Mandarin.
Daripada cara percakapannya, pegerai itu dapat meneka yang Encik Rifqi bukan orang tempatan dan memulakan perbualan.
Video tersebut mendapat lebih 95,000 tontonan di TikTok dari dalam dan luar negara, dengan lebih 4,000 likes, atau tanda suka.
Antara video beliau yang turut mendapat banyak tontonan ialah video bertajuk ‘Malay man stranded in China after his phone stops working’, yang mana beliau meminta bantuan warga tempatan untuk pulang ke tempat penginapannya apabila bateri telefon bijaknya berkurangan.
Video itu pula mendapat lebih 800,000 tontonan dengan lebih 54,000 likes.
Ditanya bagaimanakah beliau mendapat idea membuat video sebegini, Encik Rifqi berkata ia tercetus apabila beliau ke luar negara selepas syarikat penerbitan video miliknya ditutup.
“Saya mengambil keputusan untuk ke China dan di sana, saya fikir mengapa tidak saya merakam diri saya memesan makanan menggunakan bahasa Mandarin saya yang terhad,” katanya.
Dengan menggunakan kamera jenis Insta360 yang kecil, beliau mula merakam dirinya untuk dijadikan vlog dan secara tidak langsung juga, melihat cara beliau dapat berinteraksi bersama penduduk tempatan dengan berbahasa Mandarin.
Video yang beliau (kini di Guangzhou, China) muat naik, rata-ratanya mendapat reaksi positif daripada warga China dan juga penonton di media sosial miliknya.
Encik Rifqi, yang telah ke enam wilayah di China – Shaanxi, Yunnan, Shandong, Henan, Guangdong dan Beijing – berkata beliau akan menghabiskan sekitar empat hingga enam hari di setiap wilayah sebelum meneruskan perjalanannya.
Walaupun mendapat maklum balas yang positif daripada warga tempatan, beliau akur terdapat cabarannya, terutama sekali ketika membuat kandungan.
“Semasa perjalanan saya di Qingdao (di wilayah Shandong) pada awal pengembaraan saya di China, saya merakam kandungan dengan menggunakan semua kamera yang saya bawa dan ia mengambil hampir sejam untuk menyiapkan peralatan saya di satu lokasi, kerana saya tidak mahu terlepas merakam sesuatu yang menarik.
“Disebabkan itu, saya mula hilang semangat pada hari keenam saya di sana, kerana ia menjejas cara saya berinteraksi bersama orang di sekeliling saya dan memutuskan untuk menggunakan kamera kecil tanpa perlu memikirkan tentang ‘angle’ kamera yang baik,” jelas Encik Rifqi.
Selain itu, beliau juga menghadapi apa yang dianggap sebagai cabaran kecil, seperti kesukaran mendapatkan makanan halal, perubahan cuaca yang mendadak dan perkauman, antara lain.
Di sebalik cabaran yang beliau hadapi semasa pengembaraannya di luar negara, Encik Rifqi turut berkata banyak kenangan manis yang beliau lalui.
Antaranya, apabila beliau bertemu seorang pengembara solo dari Belanda dan mereka berdua memutuskan untuk mendaki Gunung Huashan yang terletak di wilayah Shaanxi.
“Saya sebenarnya telah menempah tiket yang salah dan kebetulan bertemu dengan seorang pengembara lain yang membuat kesilapan yang sama.
“Ia merupakan pengalaman yang menarik kerana beliau sebenarnya sedang melatih untuk membuat pendakian ke Khemah Induk Everest (di Nepal).
“Perjalanan itu juga merupakan pengembaraan solo pertama saya.
“Justeru, pengalaman itu memberikan tanggapan yang baik buat saya mengenai pengembaraan secara solo,” ujar beliau.
Encik Rifqi menambah antara tempat kegemarannya ialah Yunnan, China dan Almaty di Kazakhstan, kerana kedua-duanya mempunyai budaya tersendiri, serta pemandangan semula jadi yang menakjubkan di kedua-dua tempat itu.
Beliau juga sedang merakamkan sebanyak mungkin video yang beliau mampu semasa beliau mengembara.
Ditanya mengapa beliau mahu meneruskan video sebegini, Encik Rifqi berkata:
“Dunia ini sangat besar. Apabila anda mengembara, anda akan memerhatikan apa yang ada di sekeliling, justeru ia membuatkan saya lebih menghargai apa yang saya ada dan tidak membandingkan diri dengan orang lain.”
“
Ia sebenarnya bermula dengan tidak sengaja. Saya mahu menunjukkan pengalaman mengembara ke negara asing sambil berkongsi cabaran yang saya hadapi sepanjang berada di sana dan cara saya mengatasinya.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg