Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gen Z, milenial kini cenderung gaya dengan barang kemas

Golden Chance: Pengaruh media sosial main peranan; bentuk 20 peratus daripada seluruh pelanggan
Aug 19, 2025 | 2:30 PM
gold, fashion, gen z, millennials
Minat golongan bawah 35 tahun terhadap perhiasan emas melonjak 20 hingga 30 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dipacu oleh trend media sosial dan rekaan halus yang mudah digayakan. - Foto fail

Minat Generasi Z dan milenial terhadap barang kemas terus meningkat di Singapura sejak era pascapandemik, meskipun harga emas yang mencecah rekod baru melemahkan permintaan sejagat.

Peruncit barang kemas tempatan seperti Golden Chance dan J&Co Jewellery melaporkan kenaikan yang perlahan tetapi tekal.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Pengarah Golden Chance, Encik Hasan Marican, berkata beliau melihat peningkatan pembeli muda yang membeli barang kemas, lazimnya mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an tahun, sejak 2024.

Beliau mengaitkan peningkatan tersebut kepada pengaruh media sosial seperti Instagram dan TikTok, yang memacu trend, meningkatkan jualan dan membentuk tingkah laku pembeli, menyumbang kepada 20 peratus daripada keseluruhan pelanggan Golden Chance.

“Bagi golongan muda, ia (emas) bukanlah dilihat sebagai aset, namun lebih kepada aksesori.

“Mereka cenderung memilih perhiasan emas seperti rantai tangan, cincin dan rantai leher yang bertekstur halus,” kata Encik Hasan.

Antara cincin yang dipilih pembeli muda adalah cincin emas dua warna (dianggarkan berharga sekitar $400 bergantung pada saiz jari) daripada Golden Chance.
Antara cincin yang dipilih pembeli muda adalah cincin emas dua warna (dianggarkan berharga sekitar $400 bergantung pada saiz jari) daripada Golden Chance. - Foto GOLDEN CHANCE

Bagi Cik Phoebe Lye, 25 tahun, beliau sebelum ini menganggap barang kemas terlalu ketinggalan zaman, terlalu kuning dan sarat dengan unsur budaya bagi pemakaian kasual.

Minatnya mula tercetus selepas menonton drama bersiri Cina yang tular, The First Frost (2025), yang difilemkan di Chongqing, China.

Dalam drama itu, watak utama wanita menghadiahkan teman lelakinya seutas gelang daripada syarikat barang kemas terkemuka China, Chow Tai Fook.

Lantas, usahawan Generasi Z tempatan itu mengambil langkah sama.

Ia merupakan pembelian emas pertamanya selepas bertahun-tahun membeli barang kemas fesyen.

“Saya mahu sesuatu yang boleh kami (beliau dan teman lelakinya) simpan selama-lamanya.

“Emas menjadi pilihan yang tepat kerana ia bersifat abadi dan tidak lapuk ditelan zaman,” katanya kepada akhbar The Straits Times (ST).

Sejajar dengan pandangan itu, Presiden Persatuan Barang Kemas Singapura (SJA), Encik Ho Nai Chuen, menyingkap bahawa minat golongan bawah 35 tahun terhadap perhiasan emas melonjak 20 hingga 30 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia dipacu oleh pemasaran berkesan dan kesedaran kian meningkat terhadap nilai emas seiring kenaikan harganya, lapor ST.

“Mereka (golongan bawah 35 tahun) berbeza daripada generasi terdahulu, yang cenderung membeli emas dengan nilai lebih tinggi,” kata Encik Ho.

“Mereka mahu menggayakan dan menunjukkannya kepada rakan-rakan.”

Oleh itu, golongan tersebut lebih gemar memilih gelang ‘charm’ yang ringan, loket, rantai leher dan rantai tangan yang halus – dan bukannya yang besar atau tebal, tambahnya.

Menurut laporan Majlis Emas Sedunia (WGC), golongan berusia 25 hingga 35 tahun merupakan pembeli utama di China pada 2021, menyumbang kira-kira 75 peratus daripada jumlah pembelian emas.

Namun pada 2024, angka itu menurun kepada sekitar satu pertiga bagi mereka yang berusia antara 18 dengan 34 tahun.

Harga emas ditentukan oleh kandungan emas yang diukur mengikut gram dan dikemas kini secara langsung mengikut nilai pasaran sejagat yang dikenali sebagai harga lani atau spot price.

Minat terhadap rekaan halus itu menjadikannya trend yang disambut baik dalam pasaran barang kemas, yang sebelum ini terjejas akibat harga emas yang meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu, kata Encik Ho.

Teknologi moden kini membolehkan produk barang kemas lebih ringan dihasilkan dengan menguatkan bahagian emas yang ‘rapuh’ sehingga ia sesuai digunakan.

“Dengan langkah itu, kami boleh memenuhi bajet pembeli muda supaya mereka masih mampu membeli sesuatu,” tambahnya.

Terdapat juga sisi positif di sebalik harga emas yang mencecah paras tinggi, apabila pada April 2025 ia mencapai rekod baru AS$3,500 ($4,480) bagi setiap auns – meningkat daripada AS$2,160 pada 2024.

Bagi J&Co Jewellery, yang menjadi kegemaran pembeli muda dan beroperasi selama 11 tahun, emas bukanlah titik permulaan. 

Menurut pengasasnya, Cik Jenny Kwang, perniagaan itu bermula secara dalam talian pada 2014 dengan barangan kemas ‘demi-fine’ – sejenis barang kemas yang berada di antara fesyen mampu milik dengan barang kemas mewah – kebanyakannya menggunakan perak 925, manakala emas hanya digunakan sebagai lapisan permukaan.

Dengan julat harga sedemikian, pelanggan kebanyakannya terdiri daripada golongan muda berusia 18 hingga 30 tahun. 

Produk emas tulen 14K hanya diperkenalkan kemudian dalam bilangan kecil untuk menguji pasaran pada 2020, kata Cik Kwang.

Sambutan ‘yang amat memberangsangkan’ itu membawa kepada pelancaran koleksi penuh, dengan harga antara $109 dengan sekitar $1,000. Hasilnya cukup ketara. 

Sebelum pandemik, emas menyumbang 30 peratus daripada jualan, manakala 70 peratus lagi datang daripada aksesori ‘demi-fine’. 

Kini, nisbah itu berubah kepada 60 peratus emas 14K dan 40 peratus ‘demi-fine’.

Cik Kwang berkata perkembangan itu selari dengan perubahan trend ke arah kemewahan harian.

“Terdapat peralihan yang jelas selepas pandemik.

“Pelanggan kini lebih memilih barangan bermutu tinggi dan menghargai daya ketahanan pemakaian jangka panjang,” jelasnya.

Siri ‘Candy Shop’ oleh J&Co Jewellery menampilkan aksesori seperti subang berbentuk ‘paddlepop’ ($119) dan kon aiskrim mutiara ($189).
Siri ‘Candy Shop’ oleh J&Co Jewellery menampilkan aksesori seperti subang berbentuk ‘paddlepop’ ($119) dan kon aiskrim mutiara ($189). - Foto J&CO JEWELLERY
Rantai leher mikro dengan emas tulen 14K ($499) daripada J&Co Jewellery menambah sentuhan manis dan mudah dipadankan dengan sebarang pakaian.
Rantai leher mikro dengan emas tulen 14K ($499) daripada J&Co Jewellery menambah sentuhan manis dan mudah dipadankan dengan sebarang pakaian. - Foto J&CO JEWELLERY

Beliau menambah, memposisikan emas sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan mudah didekati dalam pemasaran J&Co Jewellery adalah kunci kejayaan.

Dari segi reka bentuk, ini diterjemahkan melalui koleksi bertema remaja seperti siri ‘Candy Shop’ yang menampilkan subang berbentuk paddlepop, motif gula-gula dan warna pastel feminin (berharga antara $109 dengan $499).

Koleksi emas terkini mereka pula bertema laut, dengan subang berbentuk kuda laut dan penyu.

Cik Kwang berkata: “Pendekatan ini mendapat sambutan daripada pelanggan muda dan menjadi faktor penting dalam pertumbuhan jualan emas kami.”

Dalam koleksi emas terbaru J&Co Jewellery bertema laut, subang emas tulen 14K ($249) menampilkan kuda laut dengan sentuhan kilauan berlian.
Dalam koleksi emas terbaru J&Co Jewellery bertema laut, subang emas tulen 14K ($249) menampilkan kuda laut dengan sentuhan kilauan berlian. - Foto J&CO JEWELLERY
Koleksi emas terkini J&Co Jewellery bertema laut turut menampilkan subang penyu emas tulen 14K ($169).
Koleksi emas terkini J&Co Jewellery bertema laut turut menampilkan subang penyu emas tulen 14K ($169). - Foto J&CO JEWELLERY

Bagi pembeli yang kurang berminat atau mempunyai bajet terhad untuk emas tulen, satu pilihan ialah emas vermeil – perak sterling dengan lapisan luar emas lima kali lebih tebal daripada lapisan biasa.

Jenama aksesori Malaysia, Wanderlust + Co, yang mempunyai dua kedai di Singapura, memulakan koleksi vermeil 14K dengan kurang daripada sedozen rekaan. 

Koleksi itu berkembang sehingga membentuk 40 peratus daripada keseluruhan koleksi semasa, dipacu oleh permintaan kukuh, kata pengasasnya, Cik Jenn Low.

Menurutnya, ini sejajar dengan konsep kemewahan mampu milik.

Di tengah-tengah kelembapan pasaran mewah, pelanggan gemar memadankan gelang tenis vermeil Wanderlust + Co, yang menjadi pilihan ramai (berharga antara $219 dengan $285), bersama koleksi mewah Cartier dan Van Cleef & Arpels mereka, dengan kesedaran bahawa menggayakan barang kemas jenama mewah sepenuhnya akan menelan kos yang tinggi.

Gelang tenis pelangi ‘demi-fine’ disalut ‘vermeil’ (perak sterling dengan lapisan luar emas lima kali lebih tebal daripada lapisan biasa) emas 14K ($285) daripada jenama aksesori Malaysia, Wanderlust + Co.
Gelang tenis pelangi ‘demi-fine’ disalut ‘vermeil’ (perak sterling dengan lapisan luar emas lima kali lebih tebal daripada lapisan biasa) emas 14K ($285) daripada jenama aksesori Malaysia, Wanderlust + Co. - Foto WANDERLUST + CO

“Pelanggan kini memadankan (barang kemas) mewah dengan yang sederhana. Cuma, bukan yang terlalu murah. Mutu tetap penting.

“Kami melihat trend ini meningkat dengan ketara,” tambahnya. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg