GENTARASA 2022 kembali ke pentas dengan penuh aksi padat dan persembahan dari gabungan beberapa kumpulan budaya dan dipimpin oleh Sriwana dan dianjurkan oleh Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).

Kolaborasi ini merupakan yang pertama antara Persatuan Rakyat (PA) Mesra dengan Sriwana.

Cik Fauziah Hanom Yusof selaku Presiden dan Pengarah Artistik Sriwana berkata kumpulannya teruja dengan penghormatan itu.

"Ini adalah kali pertama Sriwana terlibat dalam Gentarasa dan kami menyahut cabaran ini secara positif. Sriwana telah berkecimpung dalam bidang budaya selama 67 tahun, dan sudah tiba masanya kami mengendalikan projek sebesar ini, bukan hanya untuk mengetengahkan kumpulan Sriwana, tetapi kumpulan-kumpulan lain juga,"katanya.

Persembahan 'Merandai Maksim' yang bertemakan sekitar puisi sastera Gurindam 12 cipta karya Raja Ali Haji Bin Raja Haji Ahmad (1808-1873) diterjemahkan melalui persembahan tarian, hadrah, nyanyian Juara dikir barat, teater dan syair.

Gentarasa 2022 berhasrat menjuarakan legasi inteligensia Melayu yang marak dalam akal budi bicara melalui tema-tema yang menyentuh tentang hal kerohanian, ilmu pengetahuan, kepimpinan, ketaatan, ukhuwah dan etika kehidupan yang lain.

"Kumpulan hadrah yang kami jemput untuk bersama menyerikan majlis iaitu Firqatul Wannazam ialah sebuah kumpulan hadrah yang telah wujud sejak 100 tahun lalu," jelas Cik Fauziah Hanom tentang kumpuan-kumpulan yang akan membuat persembahan malam itu.

Gentarasa 2022 merupakan pameran budaya yang bertujuan menggambarkan nilai dan budaya masyarakat Melayu melalui seni persembahan.

Bersempena dengan Ulang Tahun Ke-45 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Gentarasa 2022 menjanjikan pementasan muzikal hebat yang bertujuan untuk penghayatan antara budaya.

Encik Hanafi Idrus, Penolong Setiausaha PA Mesra dan sekali gus selaku Pengerusi penganjur bersama, Gentarasa 2022 berkata:

"Gentarasa telah membuat persembahan selama 17 tahun, terdiri daripada muzikal, teater dan komedi - mempamerkan persembahan seni yang berbeza-beza.

"Kami juga telah bekerjasama dengan penghibur dan artis yang sebahagian besarnya daripada kumpulan budaya Kelab Masyarakat."

Tambah beliau, persembahan yang berwarna-warni dan interaktif akan merangkumi penyertaan penonton.

Penggabungan sari kata akan memudahkan suasana yang inklusif kepada penonton bukan berbahasa Melayu.

Melalui ini, peserta dan penonton akan dapat berhubung dengan lebih baik antara satu sama lain dan lebih menghargai budaya dan seni kita.

Pertama kali dimulakan pada 2002, Gentarasa memainkan peranan sebagai wadah untuk bakat budaya tempatan mengekspresikan kreativiti mereka.

Sebagai program pascapandemik, Gentarasa 2022 bertujuan menaikkan semangat masyarakat dan sektor seni.

Mengenai gabungan bersama Sriwana, Encik Hanafi berkata:

"Sriwana adalah salah satu rakan kongsi kami yang telah bekerjasama dengan kami untuk persembahan Mesra Berzapin tahun lepas. Bekerjasama dengan mereka sekali lagi tahun ini untuk Gentarasa menggambarkan kerjasama erat yang telah kami jalinkan antara satu sama lain dalam mencapai objektif yang sama dan mempromosikan pameran budaya kami serta menampilkan kumpulan seni masyarakat lain seperti Kumpulan Seni Variasi, Kirana Seni dan Anggerik Temasek Bangsawan, Ikhwatul Syimal, Syairpura, Atrika Dance Co."

Selain persembahan dari kumpulan seni tempatan, Gentarasa menjemput kumpulan penari On Jaafar Performing Arts dari Malaysia, dan juga dapat bergabung dengan Haji Abdul Rahman, yang merupakan keturunan dari Raja Ali Haji sendiri, untuk membacakan karya 'Gurindam 12' yang menjadi tema malam itu.

Mengulas objektif Gentarasa, Encik Hanafi berkata:

"Saya berharap, persada budaya Melayu kita dapat kekal teguh dan meriah agar generasi masa depan dapat terus menikmati dan mempromosikan kekayaan warisan budaya dan warisan kita."

"Saya berharap, persada budaya Melayu kita dapat kekal teguh dan meriah agar generasi masa depan dapat terus menikmati dan mempromosikan kekayaan warisan budaya dan warisan kita." - Encik Hanafi Idrus, Penolong Setiausaha PA Mesra.

BUTIRAN

GENTARASA 2022 : MERANDAI MAKSIM

Tarikh: 19 Nov 2022 Masa: 2 petang dan 8 malam Tempat: The Theatre @Mediacorp