Gesekan biola kembalikan rasa cinta kepada bahasa ibunda, Berita Gaya Hidup - BeritaHarian.sg
Subuh
5:32
Syuruk
6:56
Zuhur
12:58
Asar
4:22
Maghrib
6:59
Isyak
8:13
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup0

Gesekan biola kembalikan rasa cinta kepada bahasa ibunda

Azura Goh yang terlatih dalam bidang muzik klasik Barat dan bidang guaman, kini mantap sebagai penyiar radio Melayu
Oct 24, 2021 | 05:30 AM

KATA orang, kalau hendak mengenali budaya Melayu, selami juga keindahan seni muziknya - yang biasanya disulami dengan kelembutan bahasa ibunda.

Inilah yang dipelajari pemain biola profesional dan personaliti radio, Azura Goh, yang sejak kecil didedahkan dengan muzik klasik Barat untuk kelas muzik yang diikutinya secara formal sejak berusia enam tahun dan lebih mengenai artis hip-hop dan R&B di zaman remajanya.

Apatah lagi beliau menghabiskan dua tahun di United Kingdom, mengikuti pengajian bidang guaman di Universiti Nottingham.

Beliau bagaimanapun belum merancang menggunakan sijil pengajian tersebut dalam mengejar kerjaya tetapi percaya ia tetap berguna untuk kehidupan dan pekerjaannya.

Muzik menjadi pilihan utamanya.

Halal Home Based Business
Lauk Malam Raya by ZaraRasya

Yang pasti puas hati! FREE DELIVERY & 1.5l bottled...

Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Azura, 27 tahun, akui pernah begitu asing dengan budaya ibunda sendiri, sehinggalah beliau berpeluang beraksi bersama Orkestra Melayu Singapura (OMS).

Azura akui berasa bertuah kerana dibimbing rapat oleh pemain biola senior OMS, Ismalia Putri Ishak.

"Sebelum berlatih bersama Ismalia, memang saya tak tahu langsung lagu-lagu tradisional Melayu. Nak berbual dalam bahasa Melayu pun teragak-agak.

"Berbanding dengan lagu klasik, penghayatan saya terhadap lagu tradisional memang terbatas dengan skor muzik. Tetapi lama-kelamaan, saya menjadi lebih baik... penghayatan lebih mendalam.

"Daripada muzik Melayu itu jugalah, saya pelajari semula bahasa Melayu dengan lebih tersusun dan banyak berlatih bertutur dalam bahasa ibunda," ujar anak tunggal ini.

Faktor personaliti yang menarik dan gayanya yang manja ketika menggesek biola sering menjadi perhatian ketika beliau beraksi di pentas.

Ini mungkin mendorong penerbit televisyen sering menampilkan Azura sebagai pemain solo dalam rancangan hiburan seperti Pesta Perdana dan rancangan-rancangan khas.

Taufik Batisah merupakan penyanyi pertama yang pernah diiring beliau dengan gesekan biola secara solo. Beliau turut pernah mengiringi persembahan penyanyi Malaysia, Dayang Nurfaizah.

Apabila penguasaan bahasa Melayunya semakin baik, Azura mendapat undangan pula berlakon dalam drama-drama Suria seperti Firasat, Suparman dan Runcit, bahkan pernah diberi peluang menjadi hos rancangan Urbanistain pada 2017.

Beliau kemudian meneguhkan keyakinan menerima tawaran bekerja di stesen Mediacorp Radio pada 2019 sebagai penyiar.

"Menyertai radio mungkin kedengaran aneh kalau dilihat dari aspek penguasaan bahasa Melayu saya, tetapi saya terus belajar dan mencabar diri sendiri.

"Yang penting, saya yakin melakukannya kerana radio juga akan mendekatkan saya dengan muzik, bidang yang sudah sebati dengan jiwa saya sejak kecil.

"Saya gunakan peluang berkongsi pengetahuan saya tentang muzik dunia dengan pendengar muda," ujar beliau yang kini juga telah bergelar isteri kepada Irwan Abdul Rahim, juga 27 tahun.

Misinya kini adalah menarik golongan milenial dan mengenali cita rasa mereka. Beliau diberi majikannya peluang menyarankan lagu indie atau underground yang disenangi golongan sepertinya dan seusianya.

Menariknya, Azura menyertai radio tidak lama sebelum Singapura dilanda pandemik.

Ini membataskan peluang beliau untuk berinteraksi dengan rakan-rakan setugas di stesen Ria 897, sekali gus mencabar dirinya untuk berdikari dan berusaha memantapkan diri dengan cara tersendiri.

Namun, Azura tetap melihat cabaran melalui era pandemik sebagai membuka peluang kepada sesuatu yang tidak pernah beliau jangkakan sebelum ini.

Antaranya ialah mengadakan wawancara dengan tetamu pilihan secara maya, justeru tidak membataskan siapa dan dari mana tetamu yang diundang sedang berada.

Kerana tiada batasan sempadan ini, beliau bahkan pernah mewawancara penyanyi Barat, Ed Sheeran, secara maya.

Azura kini mengendalikan slot Ria Cruise, yang menghidangkan lagu-lagu santai masa kini yang menjadi minat anak-anak muda.

Beliau juga mempunyai sesi khas K-Pop, yang dikenali dengan nama +82 What's Good pada hujung minggu, melayani permintaan peminat lagu-lagu Korea Selatan yang begitu ramai di kalangan remaja Singapura.

Kini, setelah sibuk dengan tugasan sebagai penyiar radio, apakah bermakna Azura terpaksa menggantung saja biola kesayangannya?

Kata Azura, sejauh ini beliau belum berpeluang menggesek biola untuk sebarang program radio namun yakin instrumen yang sebati dengan jiwanya sejak kecil itu akan terus berguna.

"Radio dan muzik tak boleh dipisahkan. Satu hari nanti, mungkin selepas pandemik berakhir, peluang itu akan ada. Ilmu muzik dan apa saja bentuk ilmu yang pernah saya dapatkan, akan tetap berguna untuk kehidupan saya," ujarnya.


"Berbanding dengan lagu klasik, penghayatan saya terhadap lagu tradisional memang terbatas dengan skor muzik. Tetapi lama-kelamaan, saya menjadi lebih baik... penghayatan lebih mendalam. Daripada muzik Melayu itu jugalah, saya pelajari semula bahasa Melayu dengan lebih tersusun dan banyak berlatih bertutur dalam bahasa ibunda.''
- Azura Goh.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map