PELAKON dan usahawan Malaysia, Tya Ariffin mengakui turut panik melihat kejadian suami kepada Uqasha Senrose iaitu Kamal Adli dipukul dengan cota di kepala. Tya yang turut berada di lokasi menggigil dan memeluk sambil menenangkan Uqasha yang sedang menangis. "Ya Allah sesungguhnya niat kami semua hanya mencari rezeki. Tapi apa daya ketika dugaan datang. Uqasha sabar sayang. Pertama kali dalam hidup Tya tengok langsung pun rasa gigil kaki. "Keluar masuk tunggu ambulans, polis datang. Apatah lagi semestinya Uqasha, mesti perasaan hancur tengok suami sendiri. "Saya memohon kepada semua untuk mendoakan kesembuhan Kamal," kata Tya di dalam video yang dimuatnaikkan di TikTok beliau. Berkongsi foto keadaan panik selepas kejadian itu berlaku di laman Instagram miliknya, Tya memeluk erat dan mencuba untuk menenangkan Uqasha yang sedang menangis, lapor Harian Metro. Sementara itu, Uqasha turut memuat naik video untuk menjaga hubungan antara Singapura dengan Malaysia. "Apa yang jadi dekat Uqasha dan Kamal adalah satu pengajaran untuk semua orang berlebih hati-hati selepas ini. Sebab kita tidak tahu siapa suka kita dan benci kita. Jadi Uqasha harap jangan bergaduh antara Malaysia dengan Singapura. "Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," kata Uqasha yang berharap semua orang doakan Kamal baik-baik sahaja. Seorang lelaki berusia 33 tahun yang dikaitkan dengan serangan ke atas aktor Malaysia, Kamal Adli, telah didakwa atas tuduhan menyerang. Muhammad Nabil Rashid telah didakwa pada Selasa atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata bahaya.