JOHOR BAHRU: Gitaris legenda, Rosli Mohalim, 67 tahun, memaklumkan semakin pulih selepas diserang penyakit angin ahmar tahap ringan pada November lalu.
Kali pertama diserang penyakit, gitaris kumpulan Sweet Charity itu mengakui, penyakit membataskan pergerakannya, terutama pada bahagian tangan kanan.
"Saya sudah boleh melakukan pergerakan pada bahagian tangan kanan. Masa terkena serangan, bahagian tangan paling terkesan.
"Saya kini banyak melakukan senaman dan gerakan ringan membabitkan tangan serta kaki, selain makan ubat.
"Dalam masa sama, saya melakukan fisioterapi, seminggu sekali. Tidak ketinggalan, urut dan akupunktur," katanya kepada Berita Harian (Malaysia) Online.
Rosli yang kini menetap di Johor Bahru akur dengan ujian yang dilalui. Beliau juga mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah kolesterol.
"Soal sakit tidak mampu dijangkakan. Hanya doa baik-baik yang saya minta.
"Saya bersyukur apabila kisah saya sakit didedahkan, ramai rakan mula bertanya khabar. Ada juga yang memberi sumbangan.
"Syukur masih ada yang mengingati saya," katanya.
Berkongsi kisah diserang angin ahmar, Rosli berkata, beliau diundang mengadakan persembahan di Jakarta, Indonesia.
"Saya berada selama sebulan untuk berlatih menjayakan persembahan. Namun, akhirnya saya tidak dapat meneruskan persembahan kerana diserang angin ahmar.
"Saya bangun pagi menunaikan solat Subuh. Saya mula rasa kebas pada bahagian kanan badan, lalu terjatuh.
"Saya dikejarkan ke hospital dan menerima rawatan selama dua hari. Selepas diberi kebenaran keluar, saya terus ambil penerbangan untuk pulang ke Malaysia," katanya. - Berita Harian Malaysia (BHM) Online
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg