Google baru-baru ini melancarkan rangkaian telefon Pixel baru dengan penyepaduan lebih mendalam teknologi kecerdasan buatan (AI), sedang ia berlumba memasukkan ciri AI ke dalam perkakasannya.
“Ada begitu banyak janji, begitu banyak yang akan datang, namun kebaikan AI untuk dunia sebenar belum lagi nyata, itulah sebabnya hari ini kami menjadikannya satu kenyataan,” kata Encik Rick Osterloh, naib presiden kanan peranti dan perkhidmatan Google.
“Kami berada sepenuhnya dalam era Gemini,” katanya kepada jurutera, eksekutif, penganalisis dan media yang menghadiri acara besar-besaran itu di kampus Bay View Alphabet di Mountain View, California.
Acara itu juga tidak mengikut tradisi Google sebelum ini - versi terkini telefon pintar Pixelnya diumum pada musim panas dan bukan musim luruh seperti yang dilakukan Google bagi setiap peranti terbarunya sejak Pixel dilancar pada 2016.
“Saya telah menghadiri banyak acara Google dan ini bukan sahaja salah satu yang paling terperinci, malah antara yang paling lengkap,” kata Encik Avi Greengart, penganalisis utama di Techsponential.
Beliau berkata Google menunjukkan bahawa ia berada di barisan hadapan AI.
Pelancaran lebih awal itu adalah usaha terbaru Google untuk bersaing menyuntik ciri AI ke dalam produk penggunanya dan mendahului rancangan Apple melancarkan iPhone baru pada September.
Pada Jun, Apple mengumumkan perantinya, termasuk versi iPhone terkininya, akan dipertingkat merangkumi ‘Apple Intelligence’, sekumpulan ciri dikuasakan AI generatif dalam aplikasi asli, dan penyepaduan dengan ChatGPT, chatbot yang dibangunkan oleh OpenAI.
Kakitangan Google mempamerkan beberapa keupayaan Gemini baru.
Ia termasuk ciri perbualan suara, walaupun percubaan menggunakan alat AI Gemini merujuk sebuah gambar poster konsert dengan aplikasi kalendar memerlukan tiga percubaan dan dua peranti sebelum akhirnya berjaya.
Pixel 9, model asas dengan skrin 6.3 inci, akan dijual pada harga permulaan AS$799 ($1,053), iaitu AS$100 lebih tinggi daripada model sebelumnya.
Pixel 9 dan Pixel 9 Pro XL 6.8 inci akan mula dihantar pada lewat Ogos, kata jurucakap syarikat itu.
Pixel 9 Pro, yang dilengkapi dengan ciri tambahan seperti kamera lebih baik, dan Pixel 9 Pro Fold, yang boleh dilipat, akan dikirimkan pada September.
“Dua perkara yang (pengguna) mahu AI lakukan adalah menguruskan tugas – dan ini merentasi komunikasi, merentasi kalendar, pada asasnya menguruskan hidup dengan lebih baik berbanding masa kini.
“Kemudian perkara lain ialah penciptaan kandungan,” kata penganalisis firma penyelidikan, IDC, Encik Linn Huang.
“Saya rasa Google berjaya melakukannya.”
Google menguasai kurang 1 peratus pasaran kiriman telefon bijak sejagat pada suku kedua 2024, menurut IDC.
Ia jauh di belakang Samsung, yang menguasai 18.9 peratus, dan Apple (15.8 peratus), sebahagiannya kerana Google tidak memasuki banyak pasaran dan memberi tumpuan kepada segmen harga yang lebih tinggi. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg