TIADA lama, tiadalah yang baru.
Yang lama tidak muncul di kaca televisyen tampil dengan pengalaman emas mereka.
Yang baru bertatih dalam persada seni dan dikenali menerusi peraduan adu bakat realiti pula memberi kesegaran persembahan yang dinanti-nanti.
Pendek kata, ada banyak sebab yang boleh memancing ramai untuk saksikan program Lebaran digital Gumbira Raya yang dipersembahkan Wisma Geylang Serai (WGS) pada Sabtu (21 Mei) di akaun Facebook dan YouTube WGS mulai 8.30 malam ini.
Syarikat penganjur acara dan penerbitan program digital, Wadah Seni Entertainment, ditugaskan untuk mengelolakan penerbitan rancangan ini, sepertimana program Hari Raya WGS tahun lalu, Semarak Lebaran.
Jika tahun lalu penonton dibawa ke era disko 1970-an, tahun ini, Gumbira Raya mengembara masa lebih lama lagi ke era 1950-an dan 1960-an dengan nilai budaya mencakupi aspek busana, gaya hidup seharian di kampung, makanan dan nostalgia mengusik jiwa turut diketengahkan.
Gumbira Raya dijayakan Asnida Daud sebagai pengacara dan penulis skrip serta barisan penyanyi, Siti Zahrah Mahmud, Rose Rusli, Asiyah Sinnan, Suryana Norddin, Afi Hanafi, Putri Emily, Hafiz Hamzah serta tiga pemenang peraduan WGS, Suara 3.0, Haziq Mohamadan, Rizuan Rashid dan Rose Jeff.
Kumpulan 2D dan bintang veteran Ruslan Yus juga membuat penampilan khas bagi rancangan ini.
Menteri Ehwal dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, serta Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga penasihat utama WGS turut berkongsi pengamatan mereka tentang sambutan Hari Raya tahun ini dalam program digital yang disokong Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Penerbit eksekutif bagi rancangan ini adalah Penolong Pengarah, Hubungan Pelanggan dan Pemprograman Bersepadu, Encik Muhammad Yunus Haron, dan pengurus WGS, Cik Siti Maryam Khan.
Penerbit Gumbira Raya pula adalah Cik Siti Aminah Ismail dari Wadah Seni Entertainment manakala Rudy Djoe bertindak sebagai pengarah kreatif.
Terdapat enam sebab mengapa Gumbira Raya harus menjadi tontonan wajib di musim perayaan.
#1: Papar era gemilang muzik Melayu Penerbit Gumbira Raya dan pengasas Wadah Seni Entertainment, Cik Siti Aminah menjelaskan bahawa rancangan kali ini lebih pada mengetengahkan lagu tradisional era emas kegemilangan muzik Melayu pada tahun 1950-an dan 1960-an.
"Pada masa itu, menyerlah irama cha cha dan rumba. Antara lagu Hari Raya terawal pada masa itu, Selamat Hari Raya, oleh Saloma, berentak cha cha.
"Budak-budak zaman sekarang mungkin lebih terdedah pada lagu Raya Siti Nurhaliza. Mereka tidak atau kurang mendengar lagu klasik dan beberapa lagu lain yang mungkin sekilas pandang tidak menampakkan tema Hari Raya tetapi boleh dikaitkan dengan semangat nak beraya di kampung.
"Kami paparkan lagu Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz) dan Abang Pulang (Malek Ridzuan) yang sama 'mood' dengan lagu Sudirman, Balik Kampung.
"Kemudian ada pula lagu yang ada kena mengena dengan busana beraya seperti Kain Songket (Saloma) dan Kain Pelikat (Anuar dan Elina). Setiap Raya dulu-dulu, kaum wanita dilihat mengenakan kain songket manakala yang lelaki dengan kain pelikat.
"Secara ringkas, Gumbira Raya mengetengahkan budaya, nostalgia dan kembali mengingati era kegemilangan lagu Melayu pada zaman lalu."
Turut disajikan adalah genre muzik lain seperti dondang sayang inang/mambo, keroncong, dangdut Melayu dan Melayu Latin.
#2: Cerminan warisan budaya dan nilai Melayu yang dijunjung
Bakat termuda dalam Gumbira Raya, Putri Emily Md Joehaidi, 15 tahun, pula berbesar hati dapat mewakili generasi muda yang meneruskan cinta pada muzik tradisional.
Katanya yang berduet dalam lagu Joget Aidilfitri bersama Rose Jeff dan Kain Pelikat bersama Afi Hanafi:
"Saya berbesar hati dapat ikut serta dalam Gumbira Raya bahkan berharap lebih ramai teman sebaya dapat ikut sama menonton rancangan ini untuk perkaya pengetahuan tentang warisan bangsa kita.
"Sejak kecil lagi, dari segi persiapan, ayah saya telah melatih saya secara vokal untuk melantunkan lenggok Melayu asli. Beliau mengajar saya menyanyikannya dengan teratur dan menyemai minat saya pada irama tradisional.
"Saya juga amat suka dengan suasana penggambaran program Gumbira Raya ini kerana pihak penerbitan gigih mewujudkan 'vibe' atau suasana Hari Raya pada masa silam, di kampung, yang meriah dengan lampu lap lip dan papan tanda Kampung Gumbira Raya."
Menurut Cik Siti Aminah, antara matlamat pihaknya adalah mengetengahkan bakat muda yang suaranya mantap persis penyanyi matang ketika membawakan lagu tradisional Melayu.
Ini dilihatnya pada diri Putri Emily yang merupakan naib juara Juara Mic Junior.
"Saya sudah melihat potensi Putri Emily sejak beliau terlibat dalam Juara Mic Junior. Apabila saya usulkan kepada pengarah kreatif Gumbira Raya, Rudy Djoe, beliau tidak menentang jika bajet mengizinkan.
"Namun, saya kata, kalau tiada bajet pun, saya rela keluarkan duit sendiri kerana ingin ketengahkan bakat muda yang memiliki vokal yang baik sepertinya. Sayang kalau kita tidak ketengahkan bakat seperti Putri Emily," ujar Cik Siti Aminah.
#3: Ruang ketengah bakat baru dan segar
Afi Hanafi yang lebih dikenali dalam kalangan aktivis seni Singapura sebagai penggerak bersama Orkestra Sri Temasek, berkata satu kepentingan program Gumbira Raya adalah ia memberi jaminan terdapat artis atau penggiat muda yang akan meneruskan legasi irama tradisional di Singapura.
"Saya rasa sesetengah penonton tidak pernah tahu ada golongan pelapis dan penerus muzik tradisional Melayu yang muda yang boleh kita harapkan.
"Mereka mungkin berpendapat kita asyik lihat artis lama dalam acara Hari Raya. Tetapi dalam Gumbira Raya kita lihat sudah timbul golongan pelapis yang bergabung dengan artis veteran dan bakat lebih muda.
"Apa yang diketengahkan dalam program ini sangat bermutu malah mengangkat bakat yang ada," jelas Afi.
Rose Jeff sebagai bakat muda dari Suara 3.0 yang mendapat tempat ketiga dalam peraduan itu pula berpendapat dirinya banyak belajar daripada penglibatan dalam acara ini.
"Alhamdulillah, saya tidak sepentas tetapi berada di depan kamera bersama ramai artis yang handal.
"Kerana saya baru, saya banyak pelajari kemahiran baru daripada semua bakat yang ada. Ia cukup membuka mata.
"Saya tak tahu kita perlu rakam suara terlebih dahulu sebelum beraksi di depan kamera. Kerana saya tidak ramai kawan yang boleh, pandai dan suka menyanyi, maka inilah masa saya dapat tebarkan lagi rangkaian kenalan saya dalam kalangan mereka yang suka membuat persembahan.
"Saya mewakili rakan lain daripada Suara 3.0, Haziq dan Rizuan untuk menyatakan kami banyak raih peluang keemasan bersama inisiatif WGS dan Wadah Seni ini.
Penting untuk semua termasuk kru belakang tabir datang awal dan tepat pada masanya. Kita jalin kerjasama...jangan sampai kalau ada yang gagal ikut peraturan, ia akan menyukarkan orang lain pula," katanya.
#4: Cabar bakat untuk papar artis Singapura boleh berdiri sama tinggi dengan bakat seberang
Antara yang menyejukkan hati Cik Siti Aminah dan dijadikan iktibar ketika pandemik Covid-19 melanda adalah keupayaan mengetengahkan lebih ramai anak seni
Singapura dalam program digital setelah sekian lama perhatian lebih diberi kepada bakat Malaysia dan Indonesia bagi acara Hari Raya.
"Kadangkala apabila sempadan Singapura-Malaysia dibuka semula, saya jadi risau sebab khuatir jika kita boleh beri layanan sama rata dari segi bayaran buat bakat
Singapura yang tidak kurang hebatnya. Semasa pandemik dan sempadan ditutup, penganjur mengetengahkan 100 peratus bakat Singapura. Orang mula sedar bakat kita pun boleh berikan hiburan terbaik. Tapi apakah keadaan akan jadi seperti sebelum Covid-19 di mana bakat kita kurang diumpamakan dan diberi bayaran setimpal seperti artis luar?
"Antara matlamat saya apabila menerbitkan program digital adalah mengetengahkan bakat lama seperti pemenang peraduan adu bakat tahun 1980-an dan 1990-an yang sudah lama tidak ditampilkan dalam rancangan televisyen atau acara lain walhal mereka masih boleh menyanyi dengan baik.
"Saya juga hargai bakat seperti Suryana, Afi dan Hafiz kerana tahu keupayaan dan mutu vokal mereka sebagai generasi pelapis yang tidak terlalu muda dan bukan veteran ketika menyanyikan irama tradisional.
"Afi lebih dilihat mengurus orkestra tetapi jarang diketengahkan suara emasnya. Apabila digandingkan Afi dan Suryana yang tidak pernah berduet sebelum ini, keserasian terbina. Nampak cantik dan manis paduan suara dan lakonan mereka dalam sketsa berlagu sebagai suami isteri," ujar Cik Siti Aminah.
Afi pula menambah beliau jarang menerima pelawaan menyanyi malah membataskannya pada acara khusus kerana sibuk mengendalikan Orkestra Sri Temasek.
"Atas sebab mengenang permintaan seorang sahabat seperti Kak Siti Aminah, maka saya terima tawarannya dan berharap ia menepati cita rasa yang menonton dan pihak penerbitan," ujar Afi.
Cik Siti Aminah juga senangi Gumbira Raya berunsurkan pendidikan dan mengetengahkan golongan yang berilmu seperti Afi yang menyerantau untuk menimba ilmu syair dan bertanding dalam peraduan syair.
"Saya terapkan unsur syair pada awal program kerana tahu syair adalah sesuatu yang sudah jarang-jarang diketengahkan. Sesetengah budak muda pun tak tahu apa itu syair. Maka saya tanya Afi apa yang sesuai dan inilah hasilnya," tambahnya.
#5: Penghargaan buat ikon Cik Siti Aminah merasakan sanjungan juga harus diberikan kepada ikon muzik Singapura seperti 2D yang mengulitkan irama dikir barat dalam lagu mereka yang menjadi ikutan ramai serta Ruslan Yus yang sudah lama menghilang.
"Saya gembira kerana melihat di rancangan Sinar Lebaran dan Pesta Raya Esplanade, dikir barat menjadi tumpuan besar dan diiktiraf.
"Bagi Gumbira Raya, kami ingin menyanjung kumpulan 2D yang mempopularkan Di Pinggiran Aidilfitri, lagu Raya bernadikan irama dikir barat.
"Langkah mengundang Ruslan Yus pula adalah sesuatu yang saya terfikir selepas mendapatkan bintang veteran Kadir Rahman atau Kadir Lontong untuk Semarak Lebaran tahun lalu.
"Selepas ketengahkan penyanyi lagu Lontong, bagus juga kalau dapatkan Ruslan Yus, penyanyi lagu Satay (lagu asal dendangan P. Ramlee).
"Beliau sudah lama tidak muncul dalam acara hiburan dan sibuk bertugas hujung minggu di lapangan terbang. Masanya terbatas untuk sesi rakaman tetapi kami berbesar hati dapat mengetengahkannya," ujar Cik Siti Aminah.
#6: Pengacara bersahaja yang menyebar ilmu Mendapatkan penggiat seni dan pendidik Asnida Daud untuk mengacarakan dan menulis skrip Gumbira Raya merupakan satu bonus buat Wadah Seni Entertainment.
"Beliau seorang yang bersahaja dan ambil berat soal kajian setiap artis yang diwawancaranya. Sejarah muzik tradisional dan aktivis di Singapura, perkembangan program Kelab Dondang Sayang yang pernah menjadi kegemaran ramai di kaca televisyen sekitar tahun 1980-an semuanya lengkap diketahui Cikgu Asnida. Judul lagu yang dinyanyikan Ruslan Yus, misalnya, pun beliau tahu.
"Beliau menjadikan pengalaman bekerja dengannya benar-benar satu nikmat buat kami sebab saya secara peribadi banyak belajar daripadanya. Tugas kami menjadi mudah kerananya yang spontan malah tahu soalan bertepatan untuk tanyakan kepada Profesor Faishal," ujar Cik Siti Aminah.
Asnida yang pernah dikenali sebagai 'Spy HMI' daalm program televisyen 1990-an pula menambah:
"Kembalinya saya mengacara ibarat sirih pulang ke gagang setelah sekian lama tidak mengambil amanah sebagai pengacara dalam acara bersemuka. Saya pernah menggalas amanah mengacara dalam talian tetapi tidak puas.
"Apabila diundang Cik Siti Aminah bagi acara ini dan hasil kerjasama dengan WGS ini, saya boleh dengan berani dan jujur menyatakan pihak WGS berada di tahap profesional dari segi pengiktirafan dan bayaran.
"Apabila pengiktirafan sebegini diberikan, pastinya saya tak akan main-main dalam menggalas tugas sebagai pengacara dan penulis skrip sekali gus. Saya juga jarang mengacara dan menulis skrip serentak tetapi saya ingin lihat apa impaknya jika ini dapat membantu saya menyampaikan amanah saya dengan lebih berkesan.
"Ia juga kali pertama saya bekerjasama dengan Wadah Seni. Saya suka dengan warga kerja mereka, tahu ada gabungan artis baru dan lama. Melihat nama-nama mereka dari Putri Emily ke Suryana Norddin yang amat saya minati suaranya. Ada pula Kak Siti Zahrah dan Kak Asiyah, ditambah dengan pengiktirafan pada Ruslan Yus dan 2D. Maka saya rasa sangat berbaloi.
"Mereka berikan satu persatu persembahan yang saya nantikan. Kesempatan berbual dengan Profesor Faishal yang saya hormati dan segani juga memang peluang yang amat saya hargai.
"Ada sifat kerjasama dan setiakwan yang tersemai dalam menghasilkan rancangan ini. Pengalaman pertama bekerja dengan Wadah Seni meninggalkan kesan positif bagi diri saya. Siapa tahu ada peluang kita bekerjasama lagi selepas ini?"
Beliau juga memuji kegigihan pengurus WGS dan penerbit eksekutif Gumbira Raya, Cik Siti Maryam Khan, dalam memastikan segalanya dapat diusahakan dengan berkesan.
"Semangat kerjanya memberi saya keyakinan untuk jayakan Gumbira Raya.
"Seperkara lagi, saya hargai langkah Wadah Seni mengundang bakat berilmu seperti Afi yang memiliki tahap dan mutu bakat yang boleh kita banggakan.Kadangkala saya tertanya-tanya bilalah orang nak jemput Afi ke kaca televisyen untuk menyanyi? Sayang jika bakat sepertinya tidak dikedepankan. Alhamdulillah, ia satu keuntungan buat Wadah Seni untuk ketengahkan Afi," tambahnya.
Acara hibrid masih dialu-alu
Di sebalik kelonggaran yang diberi pihak berkuasa bagi mengadakan acara seni secara fizikal kini, bakat Singapura merasakan pengalaman terlibat dalam program digital atau acara hibrid (dikendalikan secara fizikal dan digital) sangat dialu-alukan.
Suryana, anak seni yang boleh menyanyi dan berlakon teater sekali gus serta gembira diminta sisipkan lakonan dalam nyanyian bagi Gumbira Raya, berkata:
"Kebiasaannya perjumpaan Raya di kelab masyarakat atau anjuran penganjur acara diadakan pada hujung minggu. Inilah masa ramai berjalan Raya dan kunjung-mengunjung lantas tidak dapat selitkan masa untuk menonton persembahan.
"Dengan adanya program dalam talian, mereka boleh menonton mengikut keselesaan jadual dan bila-bila masa sahaja."
Hafiz pula menambah:
"Walaupun kelonggaran sudah diberi bagi mengadakan acara fizikal, rancangan digital harus diteruskan sebagai satu bahan hiburan dan seni yang boleh disimpan untuk rujukan generasi mendatang."
Apa harapan bakat Singapura bagi program Raya mendatang?
"Gumbira Raya menjadi sumber mengembangkan bakat Singapura yang ada. Sama-samalah kita kembangkan seni budaya kita meliputi bakat nyanyian, muzik dan tarian di mana dengan busana yang cantik yang dipakai juga memberikan ruang untuk kita perkenalkan fesyen tradisional kepada ramai.
"Kalau tanah tak subur dan tak dibajai, takkan berkembanglah pepohonan rendang. Sama juga kalau kita tidak usaha menyemai bakat kita, takkan dapatlah bakat mereka dikenali dan diiktiraf.
"Kita perlu pelihara muzik Melayu kita. Tidak cukup dengan bersandarkan rakaman lama sahaja dari Malaysia. Kita di Singapura juga boleh menghasilkan mahakarya kita. Orang takkan pandang ke Semenanjung tetapi ke Singapura juga sebagai rujukan jika kita dapat hasilkan mahakarya yang bagus dan kita sebagai anak seni pula saling menyokong tanpa mengambil kira cabang seni yang dipaparkan itu mengikut selera kita atau tidak," ujar Afi.
Nota: Gumbira Raya disiarkan di Facebook dan YouTube WGS mulai 8.30 malam Sabtu (21 Mei).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg