Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gurmit tak kisah bawa watak Phua Chu Kang sampai 90 tahun

Sep 24, 2024 | 5:49 PM
Gurmit Singh terharu ramai yang mengingati sitkom dan watak Phua Chu Kang yang dijayakan sehingga beliau terasa ingin melakonkan karakter itu sampai usia 90 tahun.
Gurmit Singh terharu ramai yang mengingati sitkom dan watak Phua Chu Kang yang dijayakan sehingga beliau terasa ingin melakonkan karakter itu sampai usia 90 tahun. - Foto fail

Pengacara dan pelawak legenda Singapura, Gurmit Singh, 59 tahun, bersyukur apabila watak Phua Chu Kang yang dijayakan dalam sitkom komedi popular, Phua Chu Kang Pte Ltd, pada 1997 hingga 2007, masih diingati dan diminati ramai.

Biarpun sudah 17 tahun berlalu, watak ikonik dengan imej rambut afro, tahi lalat di pipi dan kasut but getah kuning itu masih segar dalam ingatan penonton.

Gurmit, atau nama sebenarnya, Gurmit Singh Virk Chainchal Singh, berkata penerimaan ramai terhadap watak berkenaan sangat menyenangkan.

“Saya gembira apabila masih lagi dikenali sehingga kini. Phua Chu Kang sangat ikonik kerana ramai orang yang menonton dan sentiasa menyokong.

“Bagi saya, perkara ini sangat menyenangkan kerana sehingga kini saya masih diterima dan disayangi, malah ada juga yang sentiasa bertanya bila Phua Chu Kang akan membuat kemunculan semula?

“Tapi, ia bukan keputusan saya dan perlu bergantung kepada stesen televisyen (TV) adakah mereka mahu membawa semula sitkom ini.

“Seingat saya, kali terakhir watak ikonik ini muncul di TV pada 2007, iaitu 17 tahun lalu. Bagaimanapun, watak ini boleh dikatakan masih relevan dan dikenali hingga kini,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Gurmit juga menambah beliau akan terus menerima pelawaan untuk memainkan watak Phua Chu Kang sehingga usianya mencecah 90 tahun, sekiranya masih ada pihak penerbit yang berminat.

“Saya berbangga bila Phua Chu Kang masih relevan hingga hari ini dan pemerintah di Singapura juga banyak ambil (watak ini) untuk menjayakan beberapa kempen.

“Walaupun watak ini hanya rekaan, tapi saya bangga kerana ramai terima dan terhibur dengan jenaka yang disampaikan.

“Jika saya boleh terus bawa watak Phua Chu Kang sehingga usia 90 tahun, saya akan buat, tapi mungkin ia kelihatan berbeza. Ramai juga yang tanya bila Phua Chu Kang akan kembali,” katanya lagi.

Ditanya cabaran ketika membawa nama Phua Chu Kang, Gurmit berkata adakala ia memberi kesan kepada privasinya. Ini kerana beliau dikenali ramai ketika berada di luar.

“Membawa nama Phua Chu Kang ini ada senang dan susah. Apa yang senang apabila orang masih ingat watak dan sitkom ini walaupun sudah berbelas tahun.

“Susah pula apabila saya tidak ada privasi kerana ada sahaja orang yang akan kenal kalau di luar. Ada satu masa ketika di lapangan terbang, kastam kenal saya.

“Mereka kemudian ajak bergambar. Ia satu perkara manis bila ramai orang kenal Phua Chu Kang, tapi saya tidak ada privasi. Bila keluar sahaja orang akan kenal,” tambahnya.

Gurmit bakal menjayakan persembahan Phua Chu Kang: The Greatest Show Man anjuran Popcorn Studio Sdn Bhd di Pusat Konvensyen HGH Sentul, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober.

Persembahan Gurmit akan disertai dua lagi penghibur iaitu pelawak, Rizal Van Geyzel dan penyanyi, Russell Curtis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg