Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GV11 sedia ruang artis ‘kurang dipandang’ menyerlah

Nama Liza Aziz, Sheila Abdull mula disebut kerana bakat luar biasa
Dec 3, 2024 | 5:30 AM
Liza Aziz tidak sangka mempunyai kian ramai peminat selepas memasuki Gegar Vaganza 11 (GV11) dan tidak terkesan apabila dianggap sebagai artis paling kurang dihargai di Malaysia.
Liza Aziz tidak sangka mempunyai kian ramai peminat selepas memasuki Gegar Vaganza 11 (GV11) dan tidak terkesan apabila dianggap sebagai artis paling kurang dihargai di Malaysia. - Foto ASTRO

Pentas peraduan realiti Gegar Vaganza 11 (GV11) adalah platform terbaik memperkenalkan dan menonjolkan bakat yang selama ini kurang dihargai atau tidak diduga memiliki kekuatan dan kemampuan menyinar di bidang seni suara kembali.

Juri tetap GV11, Datuk Syafinaz Selamat, cukup kagum dengan persembahan juara konsert minggu kedua, Liza Aziz, 61 tahun, meskipun pada awalnya, beliau berseloroh dengan menyatakan suara Liza “tak sedap” dan dirinya “tak suka” dengan nyanyian medley lagu Azlina Aziz, Wajah Siapa Di Hatimu dan Mencari Mimpi.

“Saya rasa Liza Aziz adalah penyanyi paling kurang dihargai di Malaysia.

“Saya harap GV akan membuka mata orang Malaysia pada Liza Aziz. Beliau selalu ada di sini tetapi macam tak ada pula (di puncak jaya dan dihargai sewajarnya).

“Liza layak menerima pengiktirafan besar di pentas GV. Dari dulu sampai sekarang, seharusnya beliau dijulang,” kata Syafinaz dalam ulasannya pada acara di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 1 Disember.

Bagi guru vokal itu, Liza yang merupakan anak bintang filem, seniman Aziz Jaafar dan seniwati Normadiah, memiliki nada tinggi yang hebat dan dilontar penuh jiwa raga.

Apabila menyanyi pada nada rendah pula, sebutan huruf ‘vowel’ Liza dikatakan bulat, sangat kaya dan jelas.

“Cuma masalahnya, 12 minggu adalah tempoh yang panjang. Saya tahu Kak Liza sentiasa buat persembahan tetapi dalam peraduan selama 12 minggu, jangkaan sangat tinggi daripada juri dan penonton.

“Saya harap Kak Liza takkan rasa terkesan dengan semua ini dan terus kerja keras dan mencabar diri untuk tunjukkan diri Liza Aziz yang sebenar,” tambah Syafinaz.

Apabila ditanya tentang prestasinya menjadi juara mingguan dua kali berturut-turut meskipun markah kali ini lebih rendah iaitu 74.8 peratus (berbanding 77.5 peratus pada minggu pertama), Liza berkata:

“Alhamdulillah, saya buat yang terbaik untuk hiburkan orang. Tekanan untuk buat yang lebih bagus memang terasa untuk minggu depan.

“Sejujurnya, saya tak berapa terkesan jika orang kenal atau tak kenal saya atau jika saya ini kurang dihargai atau tidak diberi penghargaan sewajarnya.

“Mereka yang kenal saya biasanya tahu saya penyanyi lagu iklan dan penyanyi latar bagi ramai penyanyi. Yang tak kenal, tak mengapa.

“Selama ini pun, kita akur industri muzik di sini beri keutamaan pada paras rupa sehingga bakat diketepikan.

“Walau penerimaan bagi dua album yang saya hasilkan biasa-biasa sahaja, saya bersyukur dapat buat sebaik mungkin untuk rakaman dua album ini.

“Saya tak pernah ada rasa nak berhenti menyanyi kerana terlalu kecewa. Kita suka menyanyi, masuk GV pun sebab nak cabar diri dan eratkan silaturahim dengan peserta lain.”

Tidak seperti kakaknya, Azlina, Liza tidak menceburi bidang lakonan sebagaimana ibu bapanya.

“Saya bertuah dilahirkan dalam keluarga seni yang sangat ‘dahsyat’! Saya dan kakak mewarisi bakat ibu bapa kami, memiliki suara besar dan bernada tinggi.

“Ibu saya, Normadiah, memang pelakon yang hebat. Tapi kalau saya ni berlakon macam batu, tak payah sudah. Nanti buat malukan mak saya sahaja.

“Macam mana pun, saya cuma nak menyanyi,” tambahnya yang akan membawakan lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Jauh Di Sudut Hati, bagi konsert minggu ketiga pada 8 Disember.

Menurutnya, lagu itu dekat di hatinya kerana kesyahduannya menyentuh kalbu, lebih-lebih lagi kerana arwah Sudirman juga merupakan antara sahabat karibnya.

Di dalam konsert minggu kedua, Dadali Dyrga, 43 tahun, mendapat tempat kedua dengan markah 69.1 peratus manakala Sheila Abdull di tangga ketiga dengan markah 66.3 peratus.

Kumpulan The Lima berada di tangga keempat dengan 64.9 peratus manakala Ning Baizura berada di tangga kelima dengan markah serupa, 64.9 peratus.

Penentuan kedudukan dinilai juri mengikut persembahan keseluruhan.

Seorang lagi peserta yang dianggap Syafinaz sebagai memiliki kebolehan yang kian kelihatan hari demi hari meskipun ‘taringnya’ masih disimpan adalah Sheila, 36 tahun.

Bekas pramugari Malindo Air itu menyanyikan lagu Mila Jirin, Persis Mutiara.

Kata Syafinaz: “Saya rasa Sheila ni ‘underdog’ (yang dikatakan mempunyai peluang nipis untuk berjaya dalam pertandingan).

“Dia senyap-senyap akan keluarkan taringnya. Sheila telah memilih lagu yang tepat.

“Dari segi julat suara dan tenaga vokal, memang Sheila memiliki keupayaannya menonjolkan bakatnya.

“Cuma perlu hati-hati apabila menetapkan nada bagi improvisasi lagu. Saya tahu anda mampu melakukannya. Cuma jangan terlebih yakin. Bagaimanapun, Sheila boleh melakukannya.”

Ketua Juri, Datuk Ramli MS pula menganggap Sheila bijak memilih lagu yang sangat dramatik tetapi perlu berhati-hati dalam memilih lagu bagi minggu-minggu selanjutnya.

“Lagu ini terus berputar ligat. Tak boleh rehat. Lagu ni tunggu sahaja anda buat salah.

“Saya maafkan sebab lagu ni memang susah. Jadi pilih lagu dari ‘alam’ lain (genre lain) sebab kami tidak mengadili keupayaan peserta meninggikan suara. Kami lebih pentingkan bagaimana anda menyampaikan lagu ini dengan jaya,” tambahnya.

Sheila, dalam satu wawancara bersama radio Sinar FM, berkata beliau mengambil GV11 sebagai platform kembali ke dalam dunia seni suara.

“Saya muncul dalam industri hiburan pada 2008 selepas menjuarai bahagian zon selatan pertandingan Suara Bintang Adnan Abu Hassan pada 2006.

“Bintang program televisyen realiti memang banyak ketika itu. Susah nak menyerlah. Nama saya agak tenggelam. Label rakaman EMI pun ditutup. Kemudian saya jadi pramugari Malindo Air selama empat tahun.

“Jadi, saya hanya berharap dengan GV11 ini, ia merupakan titik tolak saya kembali ke persada seni,” katanya yang akan mendendangkan lagu Misha Omar, Dedebu Cinta, pada konsert minggu ketiga nanti.

GV11 disiarkan di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) setiap Ahad, mulai 9 malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg