Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

GV8: Aliff Aziz di tangga teratas konsert minggu pertama; juri pesan Aliff agar tidak sia-siakan jenama, bakat dan peluang

Nov 22, 2021 | 01:49 AM



MASIH ramai yang menghargai suara emasnya dan daya hiburnya di pentas.



Karismanya sebagai penyanyi yang selesa ketika menyanyi tidak dapat dinafikan meskipun sudah lebih dua tahun penyanyi asal Singapura, Aliff Aziz, berehat daripada dunia nyanyian dan lebih kelihatan berlakon dalam drama di seberang Tambak.



Ternyata, kembalinya Aliff, 30 tahun, di pentas Gegar Vaganza 8 (GV8) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad malam (21 November), bukan sahaja dirindui tetapi mendapat kata-kata pembakar semangat, baik dari juri mahupun warganet di Twitter, Facebook dan Instagram.



Pendek kata, ramai yang masih 'Sayang Sayang' (persis lagu terkenalnya) dengan beliau dan mengharapkan Aliff tidak sia-siakan peluang memperteguh jenamanya dalam industri hiburan berbekal pakej wajah, personaliti, suara dan bakat baik nyanyian atau lakonan.



Aliff, juara Anugerah 2007 anjuran Mediacorp Suria, mampu memukau perhatian juri dalam peraduan yang 100 peratus pemarkahannya ditentukan panel pengadil terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.



Beliau yang diumumkan namanya paling dahulu sewaktu segmen keputusan 'Ada Lagu, Ada Lagi' adalah peserta dengan markah paling tinggi, 74.6 peratus, sebagaimana didedahkan pihak Astro kepada media.



Aliff layak ke pusingan selanjutnya yang bertema 'Masih Aku Terasa' (lagu yang terkenal dalam era bintang GV8 dewasa) bakal menyanyikan lagu balada terkenal kumpulan dari Indonesia, Padi, iaitu Kasih Tak Sampai.



Kesemua 13 peserta mara ke peringkat selanjutnya tanpa penyingkiran minggu ini.



Di tangga kedua dengan 73 peratus adalah penyanyi yang pada malam Ahad diberi Hetty gelaran 'Adele Malaysia', Adibah Noor. Setelah menyajikan lagu yang menaikkan namanya, Terlalu Istimewa, beliau akan mempertaruhkan lagu Rahim Maarof, Istana Menanti, minggu depan.



Bandi Amuk yang diusik kerana tidak membuka mulut besar tetapi mampu melontar suara yang kuat berada di tangga ketiga (71 peratus) dan akan menyanyikan lagu band legenda Febians, Untukmu Sayang.



Ini disusuli dengan Nikki Palikat (68.2 peratus) yang bakal melantunkan lagu Drama, dendangan bersama Ning Baizura, Nikki sendiri dan Yanie. Aweera (66.8 peratus) berada di tangga kelima dan akan menyanyikan satu lagi lagunya bersama kumpulan Mojo, Andaiku Bercinta Lagi, dalam konsert kedua minggu depan.



Suki Low pula di tangga keenam dengan 66.2 peratus dan bakal menyanyikan lagu Hafiz Suip, Kisah Cinta Kita, minggu depan.



Lagu Kembara, Gerhana, akan berkumandang di PICC minggu depan hasil dendangan duo SA.YA (Saiful Apek dan Yassin Yahya). Duo ini mendapat markah 59.9 peratus.



Penyanyi legenda Shidee yang meraih markah 59.8 peratus akan menyanyikan lagu Datuk M. Nasir, Malam. Penyanyi Indonesia, Upiak Isil, dengan 59.3 peratus, pula bakal tampil dengan lagu 'hit' Ayda Jebat, Parah Parah.



Ani Maiyuni dengan markah 57.4 peratus kekal dengan genre dangdut minggu depan tetapi kali ini dengan lagu nyanyian asal Mas Idayu, Selangit.



Roker Azan Scan dengan 54.7 peratus pula diberi amanah menyanyikan lagu Lestari, Sekelip Mata Kau Berubah. 



Kaulah Gadisku oleh Nico bakal diketengahkan di pentas GV8 minggu depan oleh trio hip hop itu sendiri yang mendapat 54 peratus di tangga ke-12 manakala lagu ikonik Hasnul, Lagu Ku Untuk Mu, akan disampaikan Datuk Fazley Yaakob yang mendapat 53.6 peratus



Apa komen pengadil tentang persembahan Aliff?



Kata Datuk Ramli MS: "Aliff, awak ada jenama dan harus memperkukuhkannya, baik dalam bidang lakonan atau nyanyian. Jangan buang peluang ini. Anda harus 'go full throttle' (buat dengan rasa teruja dan bangkit dengan segera)."



Datuk Syafinaz pula menambah: "Saya pernah mengadili Aliff ketika umurnya 16 tahun (dalam Anugerah 2007). Suara Aliff dari dahulu memang bagus. Awak sangat selesa di pentas. Jadi saya harap awak tidak mensia-siakannya sebab memang pentas inilah milik awak dan awak tercipta untuk bidang ini. Jadi tolong jangan sia-siakan."



Hetty pula melihat keyakinan diri Aliff dan mengharapkan beliau lebih konsisten, serius dalam perjuangannya dan lebih mempertingkatkan dirinya dalam peraduan ini.



Pengguna Twitter, Lud Zeera mengirim ciapan: "Harap semua nasihat akan membuatkan Aliff tahu bahawa orang memperhatikan anda dan memikirkan masa depan anda. Abaikan perkara/komen negatif dan mara dengan positiviti."



Ashxes pula menambah: "Setiap orang ada masa silam. Macamlah kita ni tidak bersalah langsung tetapi ini adalah peraduan nyanyian. Aliff Aziz mempunyai bakat dan beliau mempunyai identiti suara tersendiri yang tidak dimiliki ramai penyanyi lain. Kita dengar ramai yang suaranya macam Datuk Seri Siti Nurhaliza dan golongan yang berkeinginan menjadi Hafiz Suip. Jadi (buat Aliff) pandang sahaja ke depan atau buat tak dengar sahaja." 



Nota: Gegar Vaganza 8 disiarkan setiap Ahad, mulai 9 malam, di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV)



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >