GANDINGAN mantap yang seiring sejalan atau memberi suntikan tenaga dengan vokal mereka yang luar biasa menjadi faktor jaya bagi sebilangan bintang Gegar Vaganza 9 (GV9) dalam konsert minggu kelima yang melabuhkan tirainya pada Ahad (16 Oktober).

Dalam minggu duet, Jaclyn Victor, 43 tahun, sekali lagi membuktikan keupayaannya mempertahankan kedudukan di tangga teratas seperti minggu sudah.

Pemilihan Aina Abdul, 28 tahun, komposer dan penyanyi generasi baru berpotensi besar, memang tepat apabila mereka digandingkan dalam lagu tular Marsha Milan, Cinta.

Jaclyn mendapat markah tertinggi 92.4 peratus (yang paling tinggi diberi untuk juara konsert mingguan sepanjang lima minggu ini).

Beliau meninggalkan jauh bintang di tempat kedua, Shila Amzah, 32 tahun, yang meraih markah 82.2 peratus.

Jac rasa bertuah dapat berganding dengan Aina yang merupakan peminatnya yang agak teruja tetapi gementar untuk berduet dengan idolanya.

"Saya ingat pada 2015, saya tonton persembahan Kak Jac di Rumah Terbuka Perdana Menteri dan sepanjang persembahan itu saya terpaku penuh kekaguman. Justeru, tidak sangka dapat berduet dengannya pada masa yang tepat," jelas Aina dalam hantaran Instagramnya.

Lagu yang didendangkan Shila adalah lagu pemerkasaan wanita, Tamparan Wanita, yang dipopularkan kumpulan Elite. Rakan gandingannya adalah MimiFly, 35 tahun.

Dalam segmen sidang media Vazz Vaganza, Shila berkata sisi bertenaganya itu merupakan yang beliau simpan selama ini. Beliau kini lebih aktif bersenam maka itulah yang dapat dilihat dari segi kecergasannya sewaktu tampil bersama MimiFly.

Penyanyi rok Singapura, Fuad Rahman, 43 tahun, pula memperbaiki prestasinya untuk berada di tangga ketiga dengan markah 81.7 peratus. Terdapat peningkatan 16.7 peratus berbanding markahnya di tangga kelapan sebanyak 65 peratus minggu lalu

Beliau kelihatan begitu selesa dengan lagu rok 'makanannya', Gemuruh (lagu asal Wings dan Search), dibantu juara GV6, Naqiu, 35 tahun.

Katanya di Vazz Vaganza:

"Saya bersyukur dan bekerja keras untuk persembahan lagu Gemuruh ini. Saya tak balik ke Singapura. Dari Isnin lalu, saya berlatih menyanyi lagu ini dengan Naqiu. Alhamdulillah, berkat usaha itu, ia berbaloi."

Di tempat keempat adalah Bob Yusof (81.4 peratus) manakala di tangga kelima adalah Tomok (79.2 peratus).

Seorang lagi penyanyi yang menampakkan peningkatan besar minggu ini adalah Tom atau Raja Farah Afzal Raja Ikram, 35 tahun.

Tom yang bergandingan dengan Naib Juara GV7, Muss, 54 tahun, dalam lagu Awie dan Ziana Zain, Senja Nan Merah, mendapat 76.4 peratus, di tangga keenam.

Kebiasaannya beliau berada di tiga tangga terbawah dengan markah minggu lalu adalah 58.5 peratus di tangga ke-10.

Kata Tom:

"Saya terkejut...dah selalu berada di bawah, macam tak percaya. Betul ke ni?"

Beliau akui rakan duetnya Muss, seperti yang dinyatakan juri Hetty Koes Endang, banyak membantu dengan mengalirkan tenaga positifnya untuk menggalak Tom memberi yang terbaik.

Di tangga ketujuh adalah V.E sementara seorang lagi peserta Singapura, Hazrul Nizam, berada di tangga kelapan dengan markah 73.9 peratus.

Markah Hazrul turun sedikit daripada 75.7 peratus di tangga kelima minggu lalu.

Hazrul, 42 tahun, yang berpadu suara dengan naib juara GV4, Liza Hanim, 42 tahun, bagi lagu 'berhantu' Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah, Haram, berkata dirinya bersyukur dapat rakan duet yang profesional dan berpengalaman.

"Saya ibarat span yang menyerap nasihat Liza. Apa dia cakap, saya serap dan serap," jelasnya kepada laman Astro Gempak.

Hazrul juga menerima undian peminat paling banyak untuk meraih Anugerah Juara Next Level yang membawa pulang RM1,000 ($303.38).

Anugerah ini dimenangi Fuad selama tiga minggu berturut-turut.

Dalam pada itu, Dina Nadzir, berada di tangga kesembilan dengan markah 67.6 peratus disusuli dengan Asheed Def Gab C di tangga ke-10 dengan 66.2 peratus.

Dengan markah paling rendah 58.4 peratus, Pat Candy, 47 tahun, tersingkir selepas terselamat minggu lalu.

Pat yang menyanyikan lagu Babak Pertama (lagu asal Drama Band) bersama Aepul, berkata:

"Saya bersyukur sampai ke minggu kelima. Bagusnya ada GV9 ini adalah orang tahu Candy masih wujud. Ada yang ingat kumpulan kami sudah terkubur. Nantikan single kami selanjutnya," jelasnya.

Tema minggu keenam adalah 'Cinta Antara Benua' di mana pilihan lagu antarabangsa akan disajikan.

Fuad akan menyanyikan lagu band rok Amerika, Creed, My Sacrifice manakala Hazrul akan mencabar dirinya dengan lagu klasik Theresa Teng, Yue Liang Dai Biao Wo De Xin.

Kumpulan VE yang dianggotai anggota asal Singapura, Adeep Nahar, akan menyampaikan lagu Killing Me Softly With His Song, dendangan asal Lori Lieberman. Ia kemudian mempunyai versi yang juga popular daripada Roberta Flack dan kumpulan hip hop Fugees.

Nota: Dengarkan ulasan mingguan Gegar Vaganza di siaran podcast Berita Harian, #NoTapis: Gegaran GV.

Saksikan GV9 di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) mulai 9 malam setiap Ahad.