Topik diikuti
Pergi ke BHkuHady Mirza teruja kongsi pentas dengan penyanyi 'Cinta Luar Biasa'

Hady Mirza teruja kongsi pentas dengan penyanyi 'Cinta Luar Biasa'
DALAM salah satu konsert Gegar Vaganza 2019, Hady Mirza pernah membawakan lagu Cinta Luar Biasa, nyanyian asal penyanyi Indonesia, Andmesh.
Beliau membawakan lagu itu dengan cukup sempurna sehingga mendapat pujian juri.
Bahkan, ramai yang akui hanya mula mengenali lagu itu selepas Hady mengetengahkannya.
Justeru bayangkan keseronokannya apabila Hady berkongsi pentas dengan Andmesh dalam Konsert Luar Biasa yang akan berlangsung pada 29 April di The Star Theatre.
"Memang tak sabar. Insya-Allah ia akan menjadi konsert R&B yang sangat best," kata Hady ketika ditemui baru-baru ini.
Konsert anjuran Offshore Entertainment Production itu menampilkan penyanyi jaz R&B popular Indonesia dan Singapura.
Selain Andmesh dari Indonesia ialah penyanyi Cakra Khan, sementara dari Singapura, turut ditampilkan ialah Taufik Batisah dan penyanyi muda, Maya Raisha.
Menurut penganjur sambutan terhadap konsert itu sejauh ini amat memberangsangkan.
Lebih mengembirakan, kira-kira 100 tiket telah mendapat penajaan daripada syarikat pengeluar minyak angin, Eagle Brand, iaitu Borden Company.
Tiket-tiket itu telah diserahkan kepada wakil-wakil penerima bantuan dari Jamiyah Singapura, Yayasan Mendaki, Darul Ihsan dan Persatuan Derma Amanah Muslimin (MTFA).
Maya Raisha, 20 tahun, mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam bidang Psikologi yang telah menghasilkan tiga single; Samar, i'm bored (i'll pass), keep coming back ketika ditemui juga meluahkan rasa teruja kerana disertakan dengan empat penyanyi yang telah mencapai kejayaan besar masing-masing.
"Saya akan gunakan peluang emas ini untuk menimba pengalaman daripada penyanyi-penyanyi yang cukup handal dan berpengalaman.
"Banyak yang boleh saya pelajari daripada mereka," kata beliau.
Anda yang ingin menyaksikan konsert ini masih boleh mendapatkan tiket berharga $98 hingga $218 di Sistic.