Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hafiz Hamidun diburu di Indonesia kerana ‘scam’ cinta

Oct 1, 2024 | 6:29 PM
Wajah Hafiz Hamidun disalahgunakan di Indonesia untuk sindiket penipuan cinta.
Wajah Hafiz Hamidun disalahgunakan di Indonesia untuk sindiket penipuan cinta. - Foto INSTAGRAM HAFIZ HAMIDUN

Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, 40 tahun, mendedahkan wajahnya disalah guna di Indonesia untuk tujuan penipuan cinta atau love scam hingga ramai wanita di negara itu terpedaya.

Hafiz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Hamidun, berkata disebabkan kegiatan itu, beliau menjadi buruan di Indonesia kerana sudah membabitkan penipuan wang.

“Wajah saya digunakan scammer di Indonesia.

“Jadi, wajah saya kini menjadi buruan di Indonesia kerana penipuan cinta, namun itu bukan saya.

“Mereka menggunakan wajah saya tetapi dengan nama berbeza.

“Setiap hari, sehingga kini, saya masih menerima laporan polis dan tangkap layar mengenai kes penipuan cinta.

“Ramai sudah ditipu di sana. Mereka menggunakan wajah saya untuk menipu wang orang lain.

“Ada yang sampai berjanji untuk berkahwin, memaksa saya untuk menjelaskan bahawa semua itu hanyalah penipuan semata-mata,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Penyanyi lagu Raudah itu turut menerima pesanan daripada wanita yang menjadi mangsa penipuan dan terpaksa menjelaskan keadaan sebenar kepada mereka.

Menurut Hafiz, mangsa mendedahkan scammer terbabit mengajaknya untuk berkahwin.

“Mereka cuba menghantar pesanan langsung tetapi saya tidak mahu bersikap terlalu kasar kerana mereka hanyalah mangsa.

“Mereka memberikan wang kepada scammer dan jumlahnya dalam puluhan ribu ringgit.

“Selepas ditipu, dalang terbabit hilang dan mangsa mula mencari siapa saya.

“Bila mereka tahu saya penyanyi dari Malaysia, mereka terus menjadi peminat,” katanya.

Bagaimanapun, Hafiz tidak dapat membuat laporan polis di Malaysia mengenai penyalahgunaan itu kerana ia berlaku di Indonesia.

“Saya tidak boleh membuat laporan polis di Malaysia, jadi saya terpaksa memberitahu mereka bahawa laporan polis perlu dibuat di Indonesia.

“Setakat ini, saya sudah melaporkan lebih 2,000 akaun palsu.

“Apa pun, saya tetap bimbang jika scammer itu menggunakan wajah saya hingga membabitkan kes jenayah,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg