Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

MENJELANG AIDILFITRI

Hafiz Suip beraya di Sarawak selepas empat tahun di Kuala Lumpur

Penyanyi lagu, ‘Awan Nano’, keluarkan lagu baru tentang hubungan ibu bapa dan anak 
Apr 08, 2024 | 05:31 AM



Setelah empat tahun menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur, penyanyi Malaysia, Hafiz Suip, 34 tahun, bakal pulang ke kampung halamannya di Kuching, Sarawak, pada Raya 2024. 

“Insya-Allah saya akan pulang ke Kuching seminggu sebelum Raya bersama isteri dan anak-anak setelah beberapa tahun beraya di Kuala Lumpur akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19, ” kongsi Hafiz yang ditemui Berita Harian (BH) sebelum membuat persembahan di Wisma Geylang Serai (WGS) baru-baru ini.


Ditanya apakah yang dirindui apabila beraya di kampungnya, Hafiz berkongsi bahawa terdapat tradisi memakai baju kurung dan baju Melayu selama sebulan beraya di Kuching. 

“Selalunya kita akan melihat orang memakai baju Melayu untuk minggu pertama dalam bulan Syawal sahaja di Semenanjung Malaysia.

“Menariknya di Kuching pula, kita akan melihat semua orang memakai baju Melayu walaupun ke pusat beli-belah atau menonton filem di panggung wayang.”

“Kita akan ditegur oleh orang tua kita jika memakai kemeja atau baju lain pada bulan Syawal,” ujar Hafiz. 

Selain ketupat dan rendang yang sering dihidangkan pada Hari Raya, Hafiz berkongsi bahawa terdapat juadah istimewa iaitu ‘bubur pedas’ semasa beraya di Sarawak. 

“Ramai yang ingatkan ‘bubur pedas’ ini seperti bubur nasi tetapi ia sebenarnya campuran sayuran, daging dan kulit yang dimasak sehingga pekat dan menjadi satu hidangan,” kongsi Hafiz yang memilih untuk memakai baju sedondon berwarna hijau bersama keluarganya bagi Raya 2024. 

Hafiz turut berkongsi dengan BH tentang lagu terbarunya, Terus Bersinar, yang dilancarkan pada 30 Oktober 2023.


“Kebanyakan lagu saya ada jalan cerita tersendiri seperti lagu, Awan Nano, tentang hubungan bapa dan anak manakala Kisah Cinta Kita pula tentang isteri saya.


“Jadi apabila saya mendengar lagu, Terus Bersinar, saya cuba memahami liriknya dan telah menginterpretasikannya tentang kisah ibu bapa dan anak.


“Saya rasa perjalanan cerita antara ibu bapa dengan anak itu jarang ditekankan – seperti perasaan mereka membesarkan anak dan selepas itu berjauhan daripada anak yang tersayang,” ujar Hafiz yang turut mengarah video muzik bagi lagu tersebut. 

Lagu yang dicipta oleh Mas Dewangga dan Jova Devito itu turut berkait rapat dengan diri Hafiz yang juga seorang bapa. 

Terdahulu, beliau telah bernikah dengan Nureffy Jasreel Abdullah pada 2016 dan mempunyai dua anak lelaki berumur tujuh dan tiga tahun.

“Saya rasa seperti cepat masa berlalu melihat anak-anak saya membesar. Rasa gembira dan sedih pun ada juga kerana anak saya yang sulung sudah memasuki Darjah 1.

“Tetapi itulah lumrah kehidupan dan itu sebabnya juga saya memilih untuk menceritakannya dalam lagu, Terus Bersinar, supaya mereka yang turut alami pengalaman seperti saya dapat memahaminya,” kongsi Hafiz.


Ditanya tentang resipi ‘rahsia’ bagi menghasilkan lagu hit, Hafiz berpendapat bahawa beliau tidak pernah sasarkan setiap lagunya bakal menjadi popular.

Sebaliknya beliau sering memilih lagu yang dekat pada dirinya dan cuba memahami pesanan yang ingin disampaikan dalam setiap lagu.

Beliau yang bakal beraksi dalam konsert, By Ajai & Mega Friends, pada 3 Ogos di Mega Star Arena Kuala Lumpur berasa bersyukur kerana sentiasa diberi peluang oleh penyanyi dan komposer Ajai.


“Setelah sekian lama, saya bersyukur dipanggil untuk beraksi bersama Abang Ajai yang telah lama berkecimpung dalam industri muzik ini. Saya bersyukur dapat menyanyikan beberapa karya ciptaannya,” kata Hafiz.

Antara lagu terkenal Hafiz ciptaan Ajai termasuk, Noktah Cinta (2010), Ku Akui (2012) dan Matahari (2013).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >