SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Haizad Imram rebut peluang kembali berlakon

Haizad Imram rebut peluang kembali berlakon

Walau sibuk dengan tugas jururawat, bakat setempat luang masa jayakan telefilem Raya, 'Manisan Syawal' dan drama 'Mencari Marina'
Apr 19, 2023 | 5:30 AM

Haizad Imram rebut peluang kembali berlakon

UBATI RINDU BERLAKON: Haizad Imram menyifatkan peluang membawa watak suami yang dianggap takut bini dalam telefilem Lebaran, Manisan Syawal, serta drama misteri, Mencari Marina sebagai rezeki lumayan setelah lama tidak berlakon. - Foto ihsan HAIZAD IMRAM
UBATI RINDU BERLAKON: Haizad Imram menyifatkan peluang membawa watak suami yang dianggap takut bini dalam telefilem Lebaran, Manisan Syawal, serta drama misteri, Mencari Marina sebagai rezeki lumayan setelah lama tidak berlakon. - Foto ihsan HAIZAD IMRAM -

AMANAH yang digalas pelakon dan penyanyi Haizad Imram sebagai jururawat Institut Kesihatan Mental (IMH) yang berkunjung dari rumah ke rumah pesakit membuat masanya sentiasa terisi, lantas tidak banyak projek seni yang dapat dijayakan.

Sungguhpun begitu setelah sekian lama tidak berlakon, Haizad, 43 tahun, ibarat mendapat durian runtuh apabila dua peranan sekali gus diterimanya dengan penggambaran dibuat pada bulan yang sama.

Beliau akan membawa watak Jazlan yang menyayangi isterinya tetapi kelihatan seperti dikawal rapi sang isteri yang tegas dalam telefilem Hari Raya, Manisan Syawal.

Satu lagi peranan mencabar dalam drama psiko-'thriller' Mencari Marina pula memerlukannya banyak marah dan kuat menangis serta terlibat dalam adegan nekad dan belasah.

Ketika dihubungi Berita Harian, Haizad berkata:

"Tumpuan utama saya adalah pada bidang kerjaya sebagai jururawat yang saya senangi kerana keberkatan melihat pesakit saya sembuh dan menjalani kehidupan yang sejahtera.

"Justeru, kerana kesibukan berkunjung dari rumah ke rumah bagi rawatan susulan dan kaunseling pesakit, saya tidak mampu menerima tawaran projek seni.

"Tapi tahun ini, nampaknya saya berpeluang menjayakan dua watak. Dalam Manisan Syawal, saya adalah suami kepada wanita yang bengis dan mempunyai jangkaan tinggi.

"Orang nampak macam dia ni takut bini. Telefilem ini mengisahkan tentang persahabatan... bagaimana ia boleh terlerai dan menjadi bermasalah hanya kerana pertembungan perniagaan kuih tart.

"Seorang buat kuih tart tradisional dan seorang lagi bikin kuih tart moden yang lebih sihat dan sedap."

Sebagai karyawan kesihatan, Haizad mendapati telefilem ini sangat unik kerana turut melibatkan kerjasama Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB).

"Drama ini santai sahaja. Banyak yang boleh dipelajari dari segi komunikasi dalam persahabatan.

"Saya kini main peranan bapa. Jadi perlu gunakan kaca mata dan leperkan rambut. Pihak penerbitan kata saya masih nampak muda. Jadi mereka perlu cari cara bikin wajah saya kelihatan matang," tambahnya.

Haizad bagaimanapun tidak sabar melihat hasil watak yang dibawa dalam Mencari Marina.

Menurutnya, drama ini penuh misteri dan banyak babak imbas balik yang cuba menjelaskan situasi yang berlaku kepada seseorang yang sudah meninggal dunia.

"Lebih istimewa lagi, saya dapat bimbingan pelakon yang berkaliber seperti Sani Hussin dan Izzat Yusoff (pengarah).

"Saya juga tidak akan lepaskan peluang berlakon dengan artis Malaysia yang merendah hati, Fauziah Latiff. Macam tak percaya dan kena cubit diri sendiri... betul ke ni Kak Gee?" katanya lagi.

Mengenai sambutan Hari Raya, beliau gembira dapat meraikannya di rumah baru sekitar Punggol selepas berpindah dari kawasan Sengkang.

"Isteri pun dah siapkan popia goreng, biskut cip coklat dan emping jagung (cornflakes)," jelasnya yang juga suka makan kuih tart, tart onde-onde dan kek kukus.

Baginya, inilah peluang meraikan Lebaran di luar tempoh pandemik.

"Semasa pandemik, memang saya akur banyak langkah keselamatan yang perlu diamalkan.

"Ia tempoh mencabar di mana saya harus pastikan pesakit makan ubat dan menjalani pemulihan yang rapi.

"Semasa tempoh tersebut, memang kita lihat kes-kes kesihatan mental yang membawa kepada keganasan keluarga dan pelbagai masalah lain.

"Bagaimanapun, kepuasan bagi saya adalah apabila dapat melihat pesakit kian pulih," jelasnya.

  1. 'Manisan Syawal' disiarkan pada 22 April mulai 9.30 malam di Suria dan aplikasi meWATCH.

"Tumpuan utama saya adalah pada bidang kerjaya sebagai jururawat yang saya senangi kerana keberkatan melihat pesakit saya sembuh dan menjalani kehidupan yang sejahtera. Justeru, kerana kesibukan berkunjung dari rumah ke rumah bagi rawatan susulan dan kaunseling pesakit, saya tidak mampu menerima tawaran projek seni." - Haizad Imram, pelakon dan penyanyi yang juga jururawat Institut Kesihatan Mental (IMH).

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg