PENGHIBUR Singapura, Roslan Shah, yang berulang-alik dari Singapura ke Malaysia untuk mengacara, menyanyi dan berlakon, sudah merasakan betapa peritnya mencari rezeki sebagai anak seni.
Disebabkan itu, asal sahaja mendengar tentang rakan selebriti yang terjejas sumber pendapatannya dek Covid-19, Roslan, 52 tahun, tidak berlengah membantu.
Oleh sebab rangkaian kenalannya yang ramai di kededua negara, dirinya ibarat jambatan yang menghubungkan artis di Malaysia dan peluang berseni atau meniaga di Singapura.
Beliau juga dijadikan rujukan buat anak seni Singapura yang baru kali pertama ingin meneroka dunia hiburan di seberang.
Dengan terbukanya sempadan Singapura-Malaysia tanpa memerlukan vaksinasi atau kuarantin, Roslan cukup bersyukur dan mengharapkan pintu rezekinya dan teman-teman akan lebih terbuka luas.
Malahan, beliau tangkas menjadi penjalin buat artis Malaysia datang ke Singapura antara untuk peluang bertemu peminat sambil meniaga untuk acara Buzz@Raya anjuran KITA Singapura di Grand Dahlia, Joo Chiat Complex; Iris, City Plaza dan Amaris D Arena, Jurong sempena Ramadan.
Roslan adalah pengacara bazar ini yang diadakan sejak semalam hingga 1 Mei. Antara yang sudah mengesahkan kehadiran ialah usahawan selebriti Datuk Seri Aliff Syukri dan isteri, Datin Seri Shahidah, Ayu Damit, Nazeera Sardi, Acong, Syanie Hisyam dan Didie Alias.
Ketika dihubungi Berita Minggu, Roslan yang juga menerima banyak undangan mengacara dan berlakon di seberang berkata:
"Saya sudah melihat dan melalui sendiri betapa peritnya kesan Covid-19 pada sumber pencarian kami apabila banyak projek seni terpaksa dibatalkan dan ditunda.
"Tak sampai hati dengar kisah artis yang hidup susah kerana sulit mencari rezeki. Dahulu, memang saya selalu uar-uarkan kepada artis Malaysia kalau ada peluang buat persembahan dan meniaga di pameran dagangan Singapore Expo.
"Apabila sempadan dibuka dan dah boleh masuk melalui laluan darat seperti dahulu, kita mula kecil-kecilan dahulu. Ramai di Malaysia yang tak sabar nak berkunjung ke sini seperti dahulu dengan hampir saban minggu ada acara.
"Mudah-mudahan, keadaan akan bertambah baik dalam beberapa bulan mendatang. Saya pun mengharapkan bertambah rezeki mengacara pada acara korporat, majlis Raya, pesta dagangan dan peluang berlakon.
"Kita serumpun bangsa... tak kisahlah Singapura atau Malaysia. Semangat ukhuwah, muhibah dan saling membantu itu harus dikekalkan dan ditebarkan."
TAK SABAR UBATI RINDU
Pihak pengurusan bintang muda Malaysia, Khai Bahar, juga akur penyanyi itu amat merindui peminatnya di Singapura setelah dua tahun tidak ke sini untuk konsert, persembahan 'showcase' atau sesi makan malam bersama peminat.
Sebelum pandemik, Khai, 28 tahun, boleh disifatkan sebagai antara artis Malaysia paling laris dan sering diundang penganjur acara ke Singapura.
Sewaktu dihubungi, Pengurus Perhubungan Awam dan Publisiti Khai, Mohammed Rizal, yang lebih mesra disapa Jai, berkata:
"Khai dan seisi pasukan pengurusannya memang rindu untuk ke Singapura seperti dahulu. Sudah terlalu lama rasanya tidak ke sana.
"Kami terima pertanyaan daripada pihak penganjur acara di Singapura juga tentang peluang Khai buat persembahan di sana tetapi belum ada yang diputuskan."
Beliau mengharapkan yang terbaik agar acara seni Singapura yang melibatkan artis Malaysia kembali rancak seperti dahulu.
RANCANG PROMOSI DI MALAYSIA
Bagi anggota band setempat Life Petal dan D'OtaiBoyz, Luqman, 32 tahun, pembukaan sempadan kededua negara adalah berita baik yang ditunggu-tunggu untuk menyambung rancangan mengadakan konsert dan mempromosikan lagu di Malaysia.
"Kalau tiada halangan, saya akan ke Kuala Lumpur bulan depan atau Jun. Saya ingin berjumpa penganjur seperti Asia Empire Records untuk buat konsert besar-besaran dengan mereka. Sudah lama kami tidak buat persembahan gah di depan penonton di seberang.
"Kami juga ingin menyambung promosi wawancara band Life Petal dan D'OtaiBoyz di radio dan stesen TV3. Semua ini sudah dirancang awal tetapi tergendala kerana wabak Covid-19.
"Alhamdulillah, ada beberapa artis solo Malaysia yang menghubungi saya untuk menerbitkan lagu baru mereka. Kalau menjadi, ia merupakan usaha pertama saya terbitkan lagu," ujarnya.
MASA MANTAPKAN PERSADA SENI SINGAPURA
Penganjur acara Wadah Seni Entertainment, Siti Aminah Ismail, yang pernah menganjurkan acara melibatkan artis veteran Malaysia seperti Datuk Yusni Hamid, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Aishah dan Sri Rahayu Sudarmaji, pula mengalu-alukan pembukaan sempadan ini untuk membawa artis bermutu Malaysia ke sini.
"Saya pernah berurusan dengan Datuk Yusni yang paling tidak cerewet dan rendah hati. Mutu vokal dan budaya kerjanya terbaik. Beliau selalu bikin 'homework' dahulu sebelum hadirkan diri pada sesuatu acara.
"Saya kira pembukaan sempadan ini baik bagi rezeki orang Singapura dan Malaysia. Cuma harapan saya bayaran yang dikenakan pihak Malaysia tidak terlalu tinggi kerana penganjur pun baru nak bangkit semula daripada tamparan pandemik," ujarnya.
Satu hikmah yang diperolehi sewaktu pandemik, ujar Siti Aminah, ialah usaha gigih penganjur Singapura mengetengahkan bakat setempat dalam program digital atau acara seni di mana kemahiran mereka lebih dapat dihargai orang ramai.
"Dalam tempoh itu, kesedaran tentang kehebatan bakat Singapura yang boleh berdiri sama tinggi dengan bakat luar mula dirasakan. Kebiasaannya sebelum pandemik, ramai yang kurang yakin kita juga miliki artis hebat," jelasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg