Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hashimah Hamidon kongsi cabaran jaga anak istimewa

Jerih payah yang dilalui golongan penjaga pesakit kronik khususnya warga emas disorot dalam siri drama 'Siapa Jaga Mak' (Musim Kedua). Penulis skrip dan juga pelakon drama yang mendapat sambutan ramai ini turut melalui pengalaman penting dan situasi genting sebagai penjaga ibu bapa mahupun anak yang diuji dengan penyakit. BERITA MINGGU melaporkan.
May 21, 2023 | 5:30 AM
BERTEMANKAN KESABARAN: Hashimah Hamidon mempelajari erti kesabaran dan kecekalan menjaga anaknya yang mengalami palsi serebrum, Muhammad Kashif. - Foto ihsan HASHIMAH HAMIDON
BERTEMANKAN KESABARAN: Hashimah Hamidon mempelajari erti kesabaran dan kecekalan menjaga anaknya yang mengalami palsi serebrum, Muhammad Kashif. - Foto ihsan HASHIMAH HAMIDON -

PENGALAMAN menjaga ibu dan ayah di rumah tidak banyak yang dapat dirasakan pelakon veteran Hashimah Hamidon kerana kededuanya meninggal dunia dalam waktu yang singkat selepas dirawat di hospital atau berada di rumah.

Bapanya mengalami serangan jantung dan pergi pada usia muda 40-an tahun di kala Hashimah, kini 60 tahun, bekerja sebagai pramugari Singapore Airlines.

Ibunya pula meninggal pada 2016 selepas dua minggu dirawat di hospital kerana penyakit barah.

Bagaimanapun, pengorbanan dan jerih payah sebagai penjaga dapat Hashimah rasakan ketika membesarkan anaknya Muhammad Kashif, 35 tahun, yang dilahirkan dengan palsi serebrum.

Keadaan itu membuatkan Kashif memiliki daya pemikiran dan keupayaan bertutur sebaya pemuda 20 tahun dengan beliau tidak dapat berjalan.

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Hashimah yang membawa watak ibu buta berpenyakit kencing manis dan ginjal dalam drama Siapa Jaga Mak (Musim Kedua), menceritakan:

"Bagaimana kesabaran dan kecekalan perlu dalam menjaga orang tua, sama juga ketika menangani Kashif dengan bantuan seorang pembantu rumah yang akan menguruskan keperluannya apabila saya keluar bekerja.

"Awal-awal dahulu, tak tahu Kashif adalah anak istimewa kerana dia tidak mampu berjalan. Ramai yang kata mungkin dia lambat belajar berjalan.

"Tapi akhirnya kami dapat tahu tentang keadaannya yang perlu berkerusi roda dan terlantar di katil sampailah sekarang.

"Jaga orang tua, kebiasaannya perlu tangani emosi mereka yang sensitif. Kita perlu jaga pemakanannya dan bersihkannya setiap hari.

"Bersama dengan anak istimewa, ada sahaja perkara baru yang akan dilakukannya. Kebanyakan masa ia tidak dapat dikawal.

"Hari ini dia buat benda baru. Ada perkara dia perlu elakkan agar tidak sakitkan tubuhnya atau lukakan anggota tubuhnya.

"Fungsi otaknya yang membuatkan keadaannya payah nak kita jangkakan. Dia akan beritahu jangan letak gelas air atau lauk panas di depannya. Dia bukan sengaja nak tepis gelas dan bekas lauk tu... tetapi tertepis juga sebab otot tangannya lebih cepat bergerak daripada fungsi mindanya," kata Hashimah.

Kashif adalah anak hasil perkongsian hidup Hashimah dengan suaminya, Keith Williams, 64 tahun, seorang mualaf Serani dan mantan pramugara yang baru bersara setahun lalu.

Disebabkan pengalaman yang dilalui, Hashimah dapat memahami isu penjagaan yang diketengahkan dalam drama Siapa Jaga Mak (Musim Kedua).

Bagi Hashimah, drama ini membuka mata anak-anak agar bersedia menjaga ibu bapa yang sakit dengan situasinya kadangkala menjadi sulit apabila adik-beradik yang ramai masih payah membahagikan tugas bergilir demi menjalankan amanah tersebut.

"Semasa kesihatan mak dan bapa masih okay, taklah difikirkan situasinya. Apabila mereka mula berpenyakit dan dirawat di hospital, tempoh itulah tertanya-tanya bermacam persoalan sehingga ada yang berasakan ia satu bebanan," jelasnya.

Hashimah tentunya tidak dapat lupakan detik beliau mendarat di Singapura daripada penerbangan di Jakarta.

Hatinya berdebar-debar dan terlihat beberapa pegawai kawalan penerbangan menantinya di pintu ketibaan. Beliau kemudian ternampak bapa saudara dan sepupunya yang tidak pernah mengambilnya di lapangan terbang sedang menanti.

'Tiada yang beritahu saya apa yang terjadi. Saya tahu bapa saya sakit tapi tak sangka beliau pergi seawal itu.

"Semasa sampai ke Kuala Lumpur sebelum ke Jakarta, saya tanya ibu saya... beliau kata bapa sedang tidur. Tapi di Jakarta, memang saya payah tidur. Entah mengapa bimbang semacam.

"Rupanya bila pulang ke rumah bersama bapa saudara dan sepupu saya yang enggan beritahu saya apa-apa, bapa saya sedang dikafankan. Ia kenangan yang sangat memilukan," jelasnya.

Beralih pada wataknya dalam Siapa Jaga Mak (Musim Kedua), Hashimah kembali membawakan watak wanita buta.

Peranan orang buta pernah digalasnya di pentas dan televisyen sekitar 1979.

"Apabila membawa watak orang buta ini, kita kadangkala terbuat macam biasa...sepatutnya pandang lurus sebab buta... ini jadi macam orang biasa terpandang pelakon yang bawa watak anak kita, seolah-olah tak buta. T`erpaksa rakam balik babak itu," katanya.

Wataknya ini menjalani dua perkahwinan dan banyak pula timbul isu dengan anak-anak dan juga suami kedua (watak yang dibawa Jasmani Basri) yang berpenyakit jantung.

"Semua orang akan melalui pengalaman baru menjaga orang tua. Mental dan fizikal mestilah nak kuat. Sabar, ikhlas dan bertolak ansur. Tidak harus pentingkan diri sendiri. Kalau semua ini dijaga, kerja susah menjadi senang," jelas Hashimah.

"Bagaimana kesabaran dan kecekalan perlu dalam menjaga orang tua, sama juga ketika menangani Kashif (anak) dengan bantuan seorang pembantu rumah. Awal-awal dahulu, tak tahu Kashif anak istimewa kerana dia tidak mampu berjalan. Ramai yang kata mungkin dia lambat belajar berjalan. Tapi akhirnya kami dapat tahu keadaannya yang perlu berkerusi roda dan terlantar di katil sampailah sekarang.'' - Hashimah Hamidon.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg