Bukan sebab berkecil hati, merajuk dan lelah dengan industri hiburan di Malaysia.
Tetapi lebih kerana beliau secara fizikal terasa penat dan inginkan rehat yang selama ini didambakan.
Lantaran itu, Datuk Hattan, 60 tahun, atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin, mengambil keputusan ingin bersara daripada dunia seni pada Jun ini, selepas lebih tiga dekad mengabdikan dirinya dalam bidang yang dicintai.
Namun, sebelum itu, beliau ingin mengotakan harapannya sekian lama untuk berkongsi pentas dengan Datuk M. Nasir yang sudah dianggap sebagai ‘sifu’-nya.
Alhamdulillah, Konsert Sifu & Aku dapat direalisasikan di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu pada 3 Februari. Ia nikmat buat Hattan, bapa seorang anak lelaki.
“Saya bukan merajuk… Itu klise. Cuma saya penat, jadi kena rehat. Saya sudah lama rancang.
“Bukan tidak mahu menyanyi lagi, tetapi tak nak terbabit dalam konsert besar. Setakat majlis kecil-kecilan untuk lepas gian, bolehlah.
“Saya sudah capai apa yang saya hendak. Ketika mula-mula menceburi bidang seni, saya banyak belajar dengan M Nasir.
“Apabila saya dapat berkongsi pentas dengannya pada Konsert Sifu & Aku, saya fikir ini adalah kemuncak dalam kerjaya saya. Sudah sampai masanya untuk saya umumkannya (bersara).
“Insya-Allah, akan ada satu lagi konsert saya, Jun depan. Tetapi saya tidak boleh kongsi lebih lanjut.
“Konsert itu menjadi penutup untuk saya melabuhkan tirai dalam bidang seni,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada sesi latihan Konsert Sifu & Aku bersama M Nasir di Bukit Rahman Putra, baru-baru ini.
Hattan yang popular dengan lagu Rendang Tak Berbuah menambah, beliau tidak akan berganjak dengan keputusannya bersara walaupun dipujuk.
“Bagilah orang lain pula. Saya pun tidak ada apa yang hendak dikejar atau dicapai lagi.
“Tak perlulah pujuk saya… Sudah bersara, bersaralah,” katanya.
Memang kalau sampai usia persaraan, banyak lagi kegiatan bermanfaat yang boleh diceburi. Ramai artis yang membuktikan rezeki tetap ada di mana-mana walaupun tidak lagi menyanyi atau berlakon.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg